Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

S’pura perantara jujur, konsisten di sidang puncak iklim: Grace Fu

Banyak pihak hargai, tahu republik ini lakukan tugas amat baik dalam wakili pandangan mereka di COP28
Dec 10, 2023 | 04:53 PM



Singapura adalah “broker yang jujur” dan pendiriannya dalam memainkan peranan sebagai penghubung antara negara-negara dalam membuat keputusan di sidang puncak iklim Persidangan Parti, atau COP28, sangat konsisten, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu.

Beliau berkata demikian dalam satu temu bual bersama akhbar, The Straits Times baru-baru ini.


Cik Fu adalah penyelaras bersama bagi rundingan mengenai mitigasi – satu kunci utama Perjanjian Paris yang memerlukan pengurangan pelepasan gas rumah hijau sejagat bagi mengehadkan ambang pemanasan kepada 1.5 darjah Celsius. 

Apabila ditanya bagaimana cara Singapura berunding memandangkan negara ini dikenali dengan peranannya sebagai penghubung antara negara, beliau berkata banyak pihak menghargai dan tahu bahawa Singapura akan melakukan tugas yang amat baik dalam mewakili pandangan mereka. 

“Ia bukan hanya sesuatu yang kita bangunkan dalam sekelip mata, tetapi ia benar-benar mengambil masa berdekad lamanya untuk membina kepercayaan dan kewibawaan Singapura.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua diplomat dan semua pegawai kami yang telah bertungkus-lumus membangunkan kredibiliti kita di peringkat antarabangsa,” ujar beliau. 

Dalam temu ramah itu Cik Fu turut berkongsi bagaimana Singapura mengimbangi kepentingan negara dan peranannya sebagai penyelaras bersama dalam rundingan di COP28. 

Beliau menyatakan rundingan sedemikian harus dilakukan secara berhati-hati agar orang ramai tahu bahawa Singapura tidak menjejaskan peranan penyelaras bersama dengan kepentingan negara.

“Kita perlu melakukannya dengan berhati-hati, supaya orang ramai tahu bahawa kita tidak menjejaskan peranan fasilitator bersama dengan kepentingan negara kita.

“Tetapi sudah tentu saya di sini juga untuk melindungi kepentingan Singapura, jadi saya perlu melakukan kerja pengimbangan ini dengan berhati-hati,” tambah beliau.

Pada masa yang sama, Cik Fu turut kongsi tiga perkara mengenai sidang COP yang mungkin tidak diketahui ramai. 

Pertama, menurut beliau rundingan dijalankan secara tertutup, jadi kebanyakan masa rundingan itu tidak kelihatan berlangsung. 

Kedua, memandangkan rundingan diadakan secara berkumpulan, beliau menambah adalah penting untuk Singapura memahami tentang kumpulan-kumpulan yang berbeza itu.


Ini bermakna Singapura perlu mula memutuskan “pendirian kumpulan” sejak awal lagi dalam proses rundingan.

“Singapura sebahagian daripada kumpulan rundingan yang dikenali sebagai Perikatan Negara-Negara Kecil, yang merangkumi banyak negara kepulauan Pasifik.

“Beberapa contoh kumpulan rundingan lain ialah Kesatuan Eropah, G77 dan China, serta negara-negara paling kurang membangun,” terang beliau.

Ketiga, Cik Fu juga menyatakan bahawa mengenakan pakaian yang betul untuk COP adalah penting. 

“Hari ini saya memakai batik dan mengingatkan orang ramai tentang warisan Asia Tenggara.

“Kadangkala (perwakilan lain) mungkin tersilap menyangka Singapura adalah daripada kumpulan etnik berbeza, dan sebagainya. 

“Jadi, adalah penting untuk saya menunjukkan bahawa penduduk Asia Tenggara diwakili, orang Asia diwakili, dan Singapura juga diwakili,” ujar beliau.     

Dengan rundingan iklim berlangsung dalam minggu kedua di sidang kemuncak iklim COP28 di Dubai, menteri kemampanan dan sekitaran dari seluruh dunia kini cuba membentangkan satu keputusan yang akan memuaskan semua negara. 

COP menghimpunkan perwakilan dari hampir 200 negara untuk cuba mencapai keputusan penting dalam menangani perubahan iklim.

Ini termasuk sasaran mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, meningkatkan pelaburan tenaga boleh diperbaharui dan menyediakan dana untuk membantu negara membangun menghijaukan ekonomi mereka serta menyesuaikan diri dengan kesan iklim yang semakin teruk.

Tetapi keputusan perlu dicapai secara konsensus dan rundingan sering padat. 

Kepentingan bahan api fosil telah lama mengekang kemajuan. Ia juga menghadapi kekurangan dana dari negara kaya.

COP diadakan di bawah Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC), satu perjanjian pelbagai hala yang diterima pakai pada 1992. 

Perjanjian Paris 2015, pakatan iklim utama dunia, dipersetujui pada COP21 di Paris. 

Antara 70,000 dengan 80,000 orang dijangka hadir pada COP28. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >