Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jordan, Turkey, Afrika Selatan timbulkan konflik Israel-Palestin di sidang puncak iklim

Dec 2, 2023 | 6:22 PM
SUARAKAN PENDAPAT: Raja Abdullah Al Hussein memberi ucapannya di sidang puncak COP28 di Dubai.
SUARAKAN PENDAPAT: Raja Abdullah Al Hussein memberi ucapannya di sidang puncak COP28 di Dubai. - Foto AFP

DUBAI:  Sebahagian pemimpin dunia di sidang puncak iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP28), yang sedang berlangsung di Dubai telah mengecam Israel pada 1 Disember dan menggesa konflik di Gaza dihentikan. 

Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, berkata: 

“Sementara berunding mengenai krisis iklim, kita tidak boleh mengabaikan krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di Palestin yang berada di sebelah kita.”

Bercakap kepada pemimpin dunia dalam ucapan rasmi di sidang COP28 itu, Encik Erdogan berkata keadaan yang sedang berlaku di Gaza adalah satu jenayah perang.

“Keadaan yang sedang wujud di Gaza pada masa ini adalah jenayah perang dan konflik itu adalah perang menentang kemanusiaan; mereka yang bertanggungjawab harus dipertanggungjawabkan di bawah undang-undang antarabangsa,” kata beliau. 

Presiden Afrika Selatan, Encik Cyril Ramaphosa, bersependapat dan berkata:

“Afrika Selatan tidak dapat menerima tragedi kejam yang sedang berlaku di Gaza. Perang ke atas orang yang tidak bersalah di Palestin ialah jenayah perang yang harus dihentikan.”

Raja Abdullah dari Jordan berkata adalah sukar untuk memberi tumpuan kepada isu penghangatan bumi apabila konflik sedang berlangsung. 

“Peserta sidang tahun ini perlu sedar bahawa kita tidak boleh berbincang tentang perubahan iklim secara sendiri tanpa mengambil kira tragedi kemanusiaan yang sedang berlaku di sekeliling kita,” kata beliau.

Sekumpulan pembantah yang mengadakan bantahan di sidang itu menyarungkan kemeja yang menunjukkan kata-kata ‘gencatan senjata’ dan melaungkan kata-kata ‘Bebaskan Palestin’.

Seorang pegawai Israel memberitahu Reuters tentera Israel mematuhi undang-undang antarabangsa dan bertekad menghapuskan Hamas. 

Bantahan, yang sebelum ini ciri yang biasa dilihat di sidang iklim, kurang dilihat di Amiriah Arab-Arab Bersatu (UAE), yang menjadi tuan rumah bagi COP28.

Seorang jurucakap COP28 berkata:

“UAE melindungi hak untuk membantah yang selaras dengan persetujuan antarabangsa yang relevan.”

Mengulas mengenai tindakan Israel yang menyambung semula serangan ke atas Gaza pada 1 Disember, peserta sidang,  Encik Mohammed Ursof, warga Palestin yang menuntut di Qatar, berkata beliau akan cuba meningkatkan kesedaran mengenai konflik itu di sidang tersebut. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg