Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura sokong resolusi PBB tuntut gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza

S’pura turut taja bersama resolusi yang disokong oleh majoriti negara
Dec 13, 2023 | 6:02 PM
SOKONG RESOLUSI: Resolusi ‘Protection of civilians and upholding legal and humanitarian obligations’“, diterima pakai semasa Sesi Khas Tergempar (ESS) Ke-10 UNGA yang disambung semula dengan 153 undi menyokong, 10 menentang dan 23 lagi berkecuali.
SOKONG RESOLUSI: Resolusi ‘Protection of civilians and upholding legal and humanitarian obligations’“, diterima pakai semasa Sesi Khas Tergempar (ESS) Ke-10 UNGA yang disambung semula dengan 153 undi menyokong, 10 menentang dan 23 lagi berkecuali. - Foto AFP

Singapura menggesa gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan pada 13 Disember, menekankan lagi sokongan Singapura bagi resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNGA) terbaru yang disokong majoriti anggotanya.

Singapura, sebagai penaja bersama resolusi itu telah menyertai kumpulan 153 negara yang menyokong resolusi bernama Perlindungan orang awam dan menegakkan kewajipan undang-undang dan kemanusiaan itu.

Resolusi itu diterima pakai semasa Sesi Khas Tergempar (ESS) Ke-10 UNGA yang disambung semula dengan 153 undi menyokong, 10 menentang manakala 23 lagi berkecuali.

Dr Balakrishnan berkata resolusi gencatan senjata kemanusiaan itu akan menyokong pengagihan bantuan yang diperlukan dengan segera.

“Singapura menggesa semua pihak supaya patuh pada tanggungjawab di bawah undang-undang antarabangsa, terutama undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Nyawa orang yang tidak bersalah harus dilindungi, walau Israel menjalankan haknya untuk melindungi warga dan kawasan yang dikuasainya menyusuli serangan pengganas yang keji oleh Hamas pada 7 Oktober 2023.”

“Kami menggesa supaya semua tebusan dibebaskan dengan segera dan tanpa syarat,” kata beliau, menulis di Facebook pada 13 Disember.

Menurut Dr Balakrishnan, Wakil Tetap Singapura ke PBB di New York, Encik Burhan Gafoor, akan menyampaikan Kenyataan Nasional Singapura apabila sesi UNGA diteruskan pada Jumaat.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata pelaksanaan resolusi itu adalah satu perkembangan positif.

“PBB telah meluluskan resolusi penting pada 12 Disember yang menuntut gencatan senjata kemanusiaan dengan segera di Jaluran Gaza. Resolusi itu menggesa gencatan senjata kemanusiaan dengan segera, pembebasan tebusan serta-merta tanpa syarat dan memastikan akses penuh bantuan kemanusiaan.

“Kami berdoa agar keamanan akan segera dicapai dan bantuan kemanusiaan dapat sampai kepada penduduk Gaza dengan segera,” ujar beliau, menulis di Facebook.

Pada 12 Disember, PBB menerima pakai resolusi menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza sedang Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, memberi amaran kepada Israel mengenai kehilangan sokongan antarabangsa susulan pengeboman “sewenang-wenang” terhadap orang awam.

Sebanyak 10 negara yang menentang itu termasuk Amerika, Israel dan Austria manakala 23 negara berkecuali termasuk United Kingdom (UK), Jerman, Italy dan Ukraine.

Resolusi tidak mengikat itu dibentangkan oleh Mesir pada Perhimpunan Agung 193 anggota yang berhimpun bagi sesi khas tergempar mengenai Palestin.

Perhimpunan yang dijalankan itu dilaksanakan susulan kegagalan resolusi gencatan senjata dalam Majlis Keselamatan PBB (UNSC) pada 8 Disember. Amerika lantang menyuarakan undian tidak setuju manakala UK pula berkecuali dalam perhimpunan tersebut.

Singapura juga telah menaja bersama resolusi tersebut.

Namun, selepas usaha resolusi itu gagal diteruskan pada UNSC, Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, mengambil langkah luar biasa apabila menggunakan Artikel 99 Piagam PBB, yang membolehkan beliau mengeluarkan amaran tentang ancaman serius terhadap keamanan antarabangsa.

Undian itu dibuat selepas Israel menerima tentangan hebat daripada negara antarabangsa yang menggesa kekejaman tersebut dihentikan segera yang mana setakat ini telah mengakibatkan lebih 18,000 rakyat Palestin terkorban.

Resolusi terbaru itu juga menuntut pembebasan segera dan tanpa syarat semua tebusan serta “memastikan akses kemanusiaan”.

Di samping menuntut gencatan senjata, resolusi itu menyuarakan kebimbangan terhadap “situasi kemanusiaan” di Jaluran Gaza dan penderitaan orang awam di Palestin.

Resolusi terbabit turut menekankan bahawa penduduk awam Palestin dan Israel “mesti dilindungi” berdasarkan undang-undang kemanusiaan antarabangsa sambil menuntut semua pihak untuk mematuhi kewajipan mereka terutama mengenai perlindungan orang awam.

Pihak Berkuasa Palestin turut mengalu-alukan resolusi itu dan menggesa negara-negara untuk meningkatkan tekanan ke atas Israel supaya menerima gencatan senjata.

Sokongan padu terhadap resolusi itu oleh sekumpulan negara mencerminkan komitmen tidak berbelah-bahagi masyarakat antarabangsa untuk mencari penyelesaian adil, berkekalan dan damai terhadap konflik Israel-Palestin.

Sebelum resolusi itu diluluskan, Encik Biden mengesahkan Israel kini mendapat sokongan daripada ‘sebahagian besar dunia’ termasuk Amerika dan Kesatuan Eropah. “Tetapi mereka mula kehilangan sokongan itu dengan pengeboman semberono yang berlaku,” katanya dalam satu acara amal di Washington.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg