Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Srettha Thavisin dari Parti Pheu Thai dipilih jadi PM Thai yang baru

Aug 22, 2023 | 7:02 PM
PERDANA MENTERI THAILAND KE-30: Calon perdana menteri dari Parti Pheu Thai, Encik Srettha Thavisin, adalah satu-satunya yang dicalonkan bagi undian di Parlimen Thailand.
PERDANA MENTERI THAILAND KE-30: Calon perdana menteri dari Parti Pheu Thai, Encik Srettha Thavisin, adalah satu-satunya yang dicalonkan bagi undian di Parlimen Thailand. - Foto REUTERS

BANGKOK: Teka-teki mengenai siapa yang bakal dilantik sebagai Perdana Menteri Thailand yang baru, terjawab apabila Parti Pheu Thai pada Selasa secara rasmi mencalonkan jutawan hartanah, Encik Srettha Thavisin, selaku perdana menteri.

Pencalonan beliau sebagai perdana menteri itu mendapat sokongan Parlimen Thailand menerusi undian yang dijalankan di Parlimen pada Selasa.

Beliau bakal menjadi Perdana Menteri Thailand yang ke-30.

Encik Srettha mengetuai gabungan kontroversi termasuk beberapa parti protentera daripada pihak kerajaan.

Terdahulu, pemimpin Pheu Thai, Encik Cholnan Srikaew, mengumumkan gabungan 11 parti untuk membentuk kerajaan baru Thailand, melibatkan 314 kerusi di Dewan Rakyat.

Pheu Thai bakal mengisi lapan portfolio menteri dan sembilan lagi jawatan timbalan menteri, termasuk perdana menteri.

Dalam kenyataan bersama 11 parti itu, mereka telah bersetuju untuk mencalonkan Encik Srettha sebagai calon tunggal jawatan perdana menteri apabila Parlimen bermesyuarat pada Selasa.

Mereka juga bersetuju tidak akan menyentuh Perkara 112 Kanun Jenayah dan tidak akan menyertakan Parti Move Forward (MFP) sebagai rakan gabungan.

Thailand berada di bawah kerajaan sementara selama hampir lima bulan selepas tawaran pemimpin MFP untuk menjadi perdana menteri disekat dua kali oleh parti lawan konservatif dan protentera.

Encik Srettha dilahirkan di Bangkok dan mendapat pendidikan di Amerika Syarikat.

Beliau pernah bekerja di syarikat Procter & Gamble Thailand sehingga 1990 sebelum menjadi presiden Sansiri, pemaju hartanah yang diasaskan oleh keluarga ibunya.

Syarikat Sansiri disenaraikan di Bursa Saham Thailand pada 1995 dan mempelopori pembangunan hartanah berorientasikan gaya hidup di negara tersebut sebelum berkembang ke luar negara melalui pemerolehan seperti kumpulan hotel Standard International.

Encik Srettha meletak jawatan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sansiri pada April, sebelum mendaftarkan diri untuk pilihan raya pada 14 Mei.

Namanya tidak pernah muncul dalam kertas undi, bagaimanapun, kerana perlembagaan tidak mewajibkan perdana menteri menjadi ahli parlimen. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg