COLOMBO: Sri Lanka yang dilanda bencana taufan dan banjir besar telah mengumumkan pakej pampasan untuk mangsa membina semula rumah yang rosak atau runtuh.
Pemerintah telah mengesahkan 607 kematian, dengan 214 orang lagi dilaporkan hilang dan dikhuatiri mati, dalam apa yang digelar oleh Presiden Anura Kumara Dissanayake sebagai bencana alam paling mencabar di negaranya.
Lebih daripada 2 juta orang – hampir 10 peratus daripada populasi – telah terjejas.
Mereka yang terselamat akan ditawarkan sehingga 10 juta rupee ($42,000) untuk membeli tanah di lokasi yang lebih selamat dan membina rumah baru, kata kementerian kewangan dalam satu kenyataan pada lewat 5 Disember.
Pemerintah juga menawarkan satu juta rupee sebagai pampasan bagi setiap orang yang terkorban atau hilang upaya kekal.
Pusat Pengurusan Bencana (DMC) berkata lebih 71,000 rumah rosak, termasuk hampir 5,000 yang musnah sepenuhnya akibat banjir dan tanah runtuh minggu lalu.
Kira-kira 150,000 orang masih berada di tempat perlindungan yang diuruskan pemerintah, turun daripada jumlah tertinggi 225,000.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berkata ia sedang mempertimbangkan permintaan Sri Lanka untuk tambahan AS$200 juta ($260 juta), sebagai tambahan kepada pinjaman AS$347 juta yang sepatutnya diterima negara itu bulan ini.
“IMF kekal bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Sri Lanka dalam tempoh yang mencabar ini, dan komited untuk menyokong negara itu ketika ia menjalankan usaha pemulihan, membina semula dan meningkatkan daya tahan untuk masa depan,” kata pemberi pinjaman yang berpangkalan di Washington itu.
Taufan Ditwah telah memusnahkan sebahagian besar Sri Lanka ketika ia baru pulih daripada krisis ekonomi terburuknya pada 2022, susulan pinjaman selama empat tahun sebanyak AS$2.9 bilion daripada IMF yang dipersetujui pada awal 2023.
Encik Dissanayake memberitahu parlimen pada 5 Disember bahawa ekonomi Sri Lanka telah mencapai pemulihan yang ketara, tetapi tidak cukup kuat untuk menahan kejutan terbaru itu.
DMC berkata lebih banyak hujan dijangka turun di banyak bahagian negara, termasuk wilayah tengah yang paling teruk terjejas, mencetuskan kebimbangan tentang lebih banyak tanah runtuh.
Bagaimanapun, penduduk yang dipindahkan dari kawasan berbukit yang mudah terdedah kepada tanah runtuh telah diberitahu supaya jangan segera kembali ke rumah mereka demi keselamatan masing-masing.
Amaran kejadian tanah runtuh baru telah dikeluarkan pada 5 Disember untuk kawasan yang tidak diliputi oleh amaran sebelumnya. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg