JAKARTA: Menteri Kewangan Indonesia, Dr Sri Mulyani Indrawati menafikan sekeras-kerasnya spekulasi bahawa beliau akan meletakkan jawatan daripada Kabinet Merah Putih pimpinan Presiden Prabowo Subianto.
Beliau memberi jaminan akan terus kekal memegang jawatan dan berkhidmat sepenuhnya untuk menguruskan kewangan negara secara profesional.
Dalam satu sidang media yang diadakan susulan kejatuhan mendadak Indeks Harga Saham Gabungan (IHSG) pada 18 Mac, Dr Sri Mulyani tampil menjelaskan kedudukannya.
“Saya di sini, berdiri teguh dan tidak mengundurkan diri. Saya akan terus menguruskan belanjawan negara dan memastikan kestabilan fiskal sebagai instrumen utama pembangunan seperti yang diarahkan oleh Presiden Prabowo,” tegas beliau di Pejabat Pusat Cukai, Jakarta, pada 18 Mac 2025.
Pasaran saham Indonesia merudum hingga 7.1 peratus – kejatuhan harian terbesar sejak 2011 – sebelum pulih sedikit kepada penurunan 3.8 peratus, disebabkan khabar angin mengenai rombakan kabinet serta kemungkinan pengunduran Dr Sri Mulyani.
Penurunan ini turut mendorong campur tangan Bank Indonesia untuk menyokong nilai rupiah.
Selain isu ekonomi global dan ketidaktentuan fiskal, pasaran juga dibayangi laporan bahawa Dr Sri Mulyani mungkin akan digantikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Encik Thomas Djiwandono, yang juga anak saudara kepada Presiden Prabowo.
Khabar ini diperkukuh lagi dengan dakwaan kononnya kuasa Dr Sri Mulyani dalam kabinet semakin mengecil.
Namun begitu, kenyataan rasmi dari pelbagai pihak pemerintah bertindak menenangkan pelabur dan rakyat. Timbalan Speaker Parlimen, Encik Sufmi Dasco Ahmad, menyatakan:
“Saya memberi jaminan bahawa Sri Mulyani tidak meletakkan jawatan. Kedudukan fiskal negara juga masih kukuh.”
Pejabat Komunikasi Presiden melalui jurucakapnya, Encik Hariqo Wibawa Satria, turut mengesahkan melalui video di Instagram bahawa dakwaan pengunduran Sri Mulyani adalah tidak benar dan merupakan ‘berita palsu’ yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Dr Sri Mulyani, yang telah menerajui Kementerian Kewangan selama 14 tahun daripada 20 tahun terakhir, dianggap sebagai antara arkitek utama kestabilan fiskal Indonesia. Beliau memainkan peranan penting semasa krisis Covid-19, memperkenalkan dasar pembiayaan hutang bersama Bank Indonesia untuk membiayai pakej rangsangan ekonomi.
Hasil kepimpinan tegas beliau, Indonesia berjaya menurunkan defisit bajet kepada di bawah had undang-undang iaitu 3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setahun lebih awal daripada sasaran.
Selain itu, reformasi percukaian dan belanjawan yang diketengahkan olehnya menyumbang kepada dua peningkatan penarafan kredit pelaburan oleh S&P Global Ratings.
Sementara itu, Menteri Koordinator Bidang Ekonomi, Airlangga Hartarto, yang turut dikaitkan dengan khabar perombakan kabinet, juga menafikan akan berundur.
“Tiada rancangan untuk meletak jawatan. Saya dan Ibu Sri Mulyani masih menjalankan tugas seperti biasa. Kami berkomunikasi dan bekerja sepenuh masa,” katanya di Kompleks Istana Presiden, Jakarta.
Sri Mulyani pula menegaskan bahawa fokusnya kekal terhadap tanggungjawab yang diamanahkan.
“Saya terus fokus melaksanakan kepercayaan presiden untuk menguruskan belanjawan dan kewangan negara secara profesional. Ini bagi menjelaskan kepada masyarakat dan pasaran bahawa saya tidak akan mengundur diri,” ujar beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg