Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prabowo beri bayangan sedia rombak Kabinet

Feb 6, 2025 | 10:45 AM
Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto (tengah), dalam upacara ulang tahun ke-102 Nahdlatul Ulama di Jakarta pada malam 5 Februari.
Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto (tengah), dalam upacara ulang tahun ke-102 Nahdlatul Ulama di Jakarta pada malam 5 Februari. - Foto INSTAGRAM PRABOWO

JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, memberi isyarat bahawa beliau bersedia merombak Kabinetnya selepas menilai prestasi barisan menteri dalam tempoh 100 hari pertama pemerintahannya.

Dalam ucapan sempena ulang tahun ke-102 Nahdlatul Ulama di Jakarta pada 5 Februari, beliau menegaskan bahawa pemimpin yang gagal menunaikan tanggungjawab kepada rakyat tidak akan diberi tempat dalam pentadbirannya.

Encik Prabowo, yang mengangkat sumpah sebagai presiden pada 20 Oktober, secara rasmi mencapai tempoh 100 hari pentadbiran pada 28 Januari berkata:

“Saya telah berkali-kali memberi amaran bahawa sesiapa yang enggan bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk rakyat, atau tidak mengamalkan tata kelola yang baik, akan berdepan dengan saya,” katanya.

Kenyataan itu menguatkan spekulasi mengenai rombakan Kabinet yang berkemungkinan dilakukan dalam waktu terdekat.

Encik Prabowo menegaskan bahawa keutamaan beliau adalah mewujudkan pentadbiran yang bersih, telus, dan benar-benar berpihak kepada rakyat.

“Kita mahu pemerintah yang benar-benar bersih dan bekerja dengan jujur. Kepentingan utama hanyalah untuk rakyat dan negara, tiada agenda lain,” tambahnya.

Encik Prabowo turut memberi amaran kepada para pegawai pemerintah agar segera memperbaiki prestasi mereka atau berdepan dengan tindakan tegas daripada pihaknya.

“Kami memberi peluang sepanjang 100 hari pertama untuk mereka membetulkan diri. Jika masih ada yang tidak mahu berubah, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan,” katanya.

Isyarat yang diberikan Encik Prabowo hadir di tengah-tengah desakan agar Kabinetnya yang terdiri daripada 109 individu, termasuk 48 kementerian dan beberapa agensi pemerintah dikaji semula.

Beberapa menteri terpalit dengan kontroversi yang menimbulkan kritikan awam, termasuk Menteri Tenaga dan Sumber Mineral, Encik Bahlil Lahadalia, yang memperkenalkan peraturan baru berkaitan penjualan gas bersubsidi pada 1 Februari.

Peraturan tersebut mengehadkan penjualan gas bersubsidi kepada pengedar sah, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat yang bergantung kepada silinder LPG tiga kilogram untuk keperluan harian mereka.

Laporan Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-Undang (Celios) yang melibatkan kajian terhadap 95 wartawan menyenaraikan beberapa menteri dengan prestasi paling lemah.

Antara yang tersenarai adalah Encik Bahlil, Menteri Hak Asasi Manusia, Encik Natalius Pigai; Menteri Koperasi, Encik Budi Arie; Menteri Perhutanan, Raja Juli Antoni; serta Menteri Pembangunan Wilayah Terpinggir, Encik Yandri Susanto.

Malah, Encik Budi Arie, yang merupakan penyokong setia mantan Presiden Joko Widodo, dilaporkan mengunjungi kediaman peribadi Encik Jokowi di Surakarta, Jawa Tengah.

Langkah itu mencetuskan spekulasi beliau mungkin sedang mencari sokongan untuk mengekalkan jawatannya dalam Kabinet Encik Prabowo.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan rombakan Kabinet, Encik Prabowo menjawab secara ringkas: “Saya sudah katakan dalam bahasa yang jelas.”

Encik Prabowo turut menegaskan beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai pemerintah yang enggan berkhidmat dengan telus dan bersih.

“Seratus hari pertama saya telah berulang kali memberi peringatan.

“Sekarang, siapa yang degil, siapa yang enggan mematuhi tuntutan rakyat untuk pemerintah yang bersih, mereka akan dikenakan tindakan,” katanya, disambut sorakan hadirin. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg