Suasana Ramadan pudar di tengah kemusnahan perang Timur Tengah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suasana Ramadan pudar di tengah kemusnahan perang Timur Tengah

Hilang tempat tinggal dek serangan udara, selain berdepan kenaikan mendadak harga barang
Mar 11, 2026 | 10:22 AM

Suasana Ramadan pudar di tengah kemusnahan perang Timur Tengah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
ramadan, asia barat
Penduduk yang kehilangan tempat tinggal duduk di luar sebuah khemah sambil menikmati juadah berbuka puasa, susulan peningkatan ketegangan antara Hezbollah dan Israel di tengah konflik Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran, di Beirut, Lebanon, pada 8 Mac. - Foto REUTERS

DUBAI: Suasana Ramadan di banyak kawasan Asia Barat berubah sama sekali apabila peperangan antara Iran, Amerika Syarikat dan Israel tercetus.

Di beberapa negara rantau tersebut, suasana yang lazimnya meriah dengan juadah berbuka puasa, solat berjemaah dan kunjungan keluarga kini digantikan dengan bunyi siren serangan udara, letupan bom serta kesulitan ekonomi yang semakin meruncing.

Di Lebanon, ribuan keluarga kini hidup dalam keadaan tidak menentu selepas serangan udara Israel memusnahkan banyak kawasan sejak awal minggu lalu.

Serangan itu dilancarkan sebagai tindak balas terhadap serangan Hezbollah, yang menurut kumpulan tersebut dilakukan bagi membalas kematian pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dalam serangan Amerika dan Israel ke atas Iran.

Konflik tersebut telah mengorbankan lebih 400 orang di Lebanon dan memaksa kira-kira 700,000 penduduk meninggalkan rumah mereka.

Salah seorang penduduk yang terjejas ialah Cik Zainab El Masry, 40 tahun, yang sebelum ini menjalani Ramadan seperti biasa bersama keluarganya di Lebanon.

Pada awal Ramadan, beliau masih sempat menyediakan sup lentil dan salad ‘fattoush’ untuk berbuka puasa bersama suami dan anak-anak.

Namun selepas rumahnya musnah akibat pengeboman, Cik Masry kini tidur bersama keluarganya di kaki lima sebuah dataran di Beirut.

“Kami tidak mempunyai makanan atau minuman, hanya sedikit roti,” katanya dengan nada sedih.

Keadaan yang sama dirasai oleh ramai penduduk lain yang kini berlindung di sekolah yang dijadikan pusat perlindungan sementara.

Cik Hala Hawila, 70 tahun, berkata walaupun hidup dalam kesusahan, ramai yang tetap berusaha menunaikan ibadah Ramadan.

“Semua orang masih mahu berpuasa, solat dan mengambil wuduk seperti biasa. Mereka juga ingin membeli sesuatu untuk dimasak,” katanya sambil terdengar tangisan kanak-kanak kedengaran di sekeliling pusat perlindungan tersebut.

Beliau bimbang tentang masa depan keluarganya kerana wang simpanan mereka hampir habis.

“Kami hampir kehabisan wang. Apa yang akan kami lakukan selepas ini?” katanya.

Di Iran pula, kehidupan seharian turut terjejas teruk sejak bermulanya serangan ketenteraan Amerika dan Israel.

Penduduk menghadapi tekanan ekonomi yang semakin berat dengan kenaikan harga barang serta kekurangan bahan api.

Encik Mohammad, 38 tahun, yang bekerja di sebuah ladang ternakan ayam di Bandar Abbas, berkata kos barangan asas meningkat dengan mendadak dalam tempoh singkat.

“Barang-barang menjadi sangat mahal. Contohnya, harga satu tin minyak masak meningkat daripada 400,000 toman ($ 2.10) kepada 2.2 juta toman,” katanya.

Walaupun serangan udara menjadi perkara biasa sejak kebelakangan ini, sebahagian penduduk cuba meneruskan kehidupan seperti biasa.

Seorang pengurus kafe di bandar Boukan di timur laut Iran berkata orang ramai masih keluar untuk minum kopi walaupun letupan kedengaran di sekitar bandar.

“Apa yang paling mengejutkan saya ialah orang ramai masih duduk di teres untuk menyaksikan pengeboman, seolah-olah ia satu pertunjukan,” kata Encik Reza, 36 tahun.

Beliau berkata masalah sebenar yang dihadapi penduduk ialah kekurangan wang tunai kerana bank mengehadkan pengeluaran dan banyak kad bank tidak dapat digunakan.

“Walaupun keadaan huru-hara, kedai-kedai masih penuh. Tetapi masalah terbesar ialah wang tunai,” katanya.

Keadaan itu mendorong beliau mengambil keputusan membantu pelanggan yang kesempitan wang.

“Di kafe saya, jika seseorang tidak mampu membayar kopi, saya berikan sahaja secara percuma,” katanya.

Keadaan tidak jauh berbeza di Baitulmakdis Timur yang diduduki Israel.

Kawasan tersebut sudah pun terjejas akibat kemerosotan sektor pelancongan susulan perang Gaza, dan konflik terbaru menjadikan keadaan lebih sukar.

Lorong-lorong yang biasanya dipenuhi pengunjung pada Ramadan kini hampir kosong.

Masjid Al-Aqsa, tapak suci ketiga umat Islam, turut ditutup.

Tentera Israel ditempatkan di pintu masuk bandar lama untuk memeriksa kad pengenalan penduduk selepas pihak berkuasa mengisytiharkan keadaan darurat.

Peniaga yang biasanya bergantung kepada Ramadan untuk meningkatkan pendapatan kini menghadapi kerugian besar.

“Keadaan sangat terdesak,” kata Encik Abu Imad, 83 tahun, peniaga tempatan sambil memegang tasbihnya.

“Tiada orang luar dibenarkan masuk ke bandar ini. Hanya penduduk sahaja yang boleh masuk,” katanya.

Di negara Teluk seperti Bahrain, Kuwait, Qatar dan Dubai, suasana Ramadan turut berubah apabila penduduk hidup dalam kebimbangan selepas Iran melancarkan serangan balas menggunakan peluru berpandu dan dron.

Negara tersebut menjadi sasaran kerana menempatkan pangkalan tentera Amerika Syarikat.

Cik Hessa Mohamed, 42 tahun, berkata kehidupan harian kini jauh berbeza daripada sebelum perang.

“Tiada lagi kehidupan seperti dahulu. Rutin harian kami berubah sepenuhnya,” katanya selepas menunaikan solat di sebuah masjid di Bahrain.

Di beberapa negara, jalan raya dan pusat beli-belah menjadi sunyi sebaik sahaja siren amaran berbunyi.

Malah solat berjemaah juga kadangkala dipendekkan atau hanya dilakukan pada waktu tertentu.

Seorang guru di Kuwait, Cik Niama Hamdi, berkata suasana Ramadan tahun ini penuh dengan kebimbangan.

“Ramadan kali ini dipenuhi rasa curiga dan ketakutan,” katanya.

Seorang ahli akademik dari Bahrain, Cik Loulwa Hassan, pula berkata beliau tidak akan melupakan Ramadan kali ini.

“Saya tidak akan melupakan Ramadan ini. Kami melaluinya dalam keadaan yang sangat sukar dan bukan pilihan kami,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini masyarakat di rantau tersebut menunggu ketibaan Ramadan dengan penuh kegembiraan.

“Sekarang keadaan ini merampas kegembiraan untuk bertemu orang tersayang. Kami hanya berharap dapat kembali kepada kehidupan yang normal,” katanya.

Bagi Ibrahim Ali Ibrahim, pelajar berusia 15 tahun di Bahrain, perang itu turut menjejaskan kehidupannya sebagai pelajar.

Dia kini mengikuti kelas secara dalam talian selepas negaranya beberapa kali menjadi sasaran serangan dron Iran.

“Saya sangat tertekan. Setiap kali siren berbunyi, saya hilang tumpuan,” katanya.

“Ramadan kali ini sangat berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya. Saya rindu rakan-rakan dan sekolah saya,” tambah beliau. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg