Topik diikuti
Pergi ke BHkuSumber: AS, Iran pertimbang lanjut gencatan senjata dua minggu lagi
Sumber: AS, Iran pertimbang lanjut gencatan senjata dua minggu lagi
Laporan: Gencatan senjata Lebanon boleh dikuat kuasa minggu ini
Sumber: AS, Iran pertimbang lanjut gencatan senjata dua minggu lagi
WASHINGTON: Amerika Syarikat dan Iran sedang mempertimbangkan untuk melanjutkan gencatan senjata yang dijadual berakhir pada 21 April selama dua minggu lagi bagi memberi ruang kepada rundingan damai.
Menurut sumber yang mengetahui perkara itu, pengantara antara kedua-dua pihak kini berusaha mengatur perbincangan teknikal bagi menyelesaikan isu paling sensitif, termasuk pembukaan semula Selat Hormuz dan program pengayaan nuklear Iran.
“Jika perbincangan teknikal ini berjaya, ia boleh membuka jalan kepada rundingan peringkat tinggi seterusnya antara Amerika dan Iran,” kata sumber itu kepada Bloomberg.
Seorang pegawai Ameriika memaklumkan bahawa tiada jaminan gencatan senjata akan dilanjutkan. “Washington masih belum membuat keputusan muktamad mengenai lanjutan gencatan senjata ini,” katanya.
Namun Setiausaha Akhbar Rumah Putih Karoline Leavitt berkata dakwaan mengenai lanjutan gencatan senjata semasa antara Amerika dan Iran adalah “tidak benar buat masa ini”, lapor Xinhua.
Cik Leavitt berkata pada sesi taklimat media di Rumah Putih bahawa pentadbiran Trump optimis rundingan yang berterusan mampu menghasilkan satu perjanjian bagi menamatkan perang yang sudah berlarutan sejak beberapa minggu.
Laporan itu dibuat ketika Ketua Tentera Pakistan, Jeneral Asim Munir, mengadakan lawatan rasmi ke Teheran pada 15 April ketika usaha sedang dijalankan bagi menghidupkan semula rundingan antara Iran dan Amerika Syarikat.
Usaha rundingan sebelum ini di Islamabad pada 11 April, yang melibatkan Naib Presiden Amerika, Encik J.D. Vance, dan Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, berakhir tanpa sebarang persetujuan.
Sumber lain berkata kedua-dua negara tidak mahu kembali ke medan perang selepas konflik hampir tujuh minggu yang memberi kesan besar kepada rantau itu.
Presiden AS, Donald Trump, turut meredakan kebimbangan mengenai kemungkinan konflik berulang.
“Perang ini hampir berakhir,” katanya dalam satu temu bual bersama Fox Business.
Konflik yang bermula pada 28 Februari dengan serangan Amerika dan Israel ke atas Iran telah menyebabkan kerosakan besar kepada infrastruktur dan kekuatan ketenteraan Iran. Serangan balas Teheran pula menjejaskan kestabilan Asia Barat dan melonjakkan harga tenaga global, terutama selepas Selat Hormuz hampir ditutup sepenuhnya.
Walaupun usaha diplomatik diteruskan, isu utama antara kedua-dua pihak masih sukar diselesaikan.
Iran bertegas bahawa mereka berhak memperkaya uranium untuk tujuan aman, manakala Amerika menuntut supaya program tersebut dihentikan sepenuhnya bagi menghalang pembangunan senjata nuklear.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmail Baghaei, menegaskan pendirian Teheran. “Penggunaan tenaga nuklear secara aman oleh Iran tidak boleh ditarik balik, namun tahap dan jenis pengayaan masih boleh dirunding,” katanya.
Amerika dan Israel turut menuntut agar stok uranium yang diperkaya tinggi diserahkan atau dimusnahkan.
Dalam perkembangan berkaitan, perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Lebanon dilaporkan boleh dikuat kuasa seawal minggu ini di tengah tekanan AS untuk meredakan ketegangan di Asia Barat.
Menurut laporan Financial Times yang memetik pegawai Lebanon gencatan senjata antara Israel dan Hezbollah dijangka bermula selepas tentera darat Israel melengkapkan penguasaan ke atas bandar utama Bint Jbeil di selatan Lebanon.
Pegawai Lebanon berkata tempoh gencatan senjata itu berkemungkinan bergantung kepada tempoh gencatan senjata antara Amerika dan Iran. “Jika ia diisytiharkan, ia akan menghentikan serangan Israel, tetapi tidak semestinya melibatkan pengunduran tenteranya,” katanya.
Namun, seorang pegawai kanan Amerika menegaskan bahawa gencatan senjata di Lebanon bukan sebahagian daripada rundingan damai antara Washington dan Teheran. “Ini bukan sesuatu yang kami minta dan bukan sebahagian daripada rundingan damai dengan Iran, namun presiden mengalu-alukan berakhirnya permusuhan di Lebanon sebagai sebahagian daripada perjanjian damai antara Israel dan Lubnan,” katanya.
Sebelum ini, tentera Israel mengumumkan pelancaran operasi darat di selatan Lebanon pada 16 Mac. Hezbollah kemudian menggantung operasinya susulan gencatan senjata dua minggu antara Amerika dan Iran, sebelum menyambung semula serangan pada 9 April selepas Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Beirut dan kawasan selatan.
Dalam masa sama, ketegangan meningkat susulan sekatan laut yang dikenakan Amerika terhadap kapal yang keluar masuk pelabuhan Iran sejak 13 April. Teheran mengkritik tindakan itu dan memberi bayangan ia mungkin melanggar syarat gencatan senjata yang dicapai pada 7 April.
Selat Hormuz, yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas dunia, masih belum beroperasi sepenuhnya, sekali gus menjejaskan perdagangan global. - Agensi berita.
