Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Sunak kekalkan beberapa menteri kanan demi kestabilan peralihan pentadbiran

Antara yang dikekalkan ialah Menteri Kewangan, Jeremy Hunt, Setiausaha Luar, James Cleverly dan Setiausaha Pertahanan Ben Wallace
Oct 27, 2022 | 05:30 AM



LONDON: Perdana Menteri baru Britain, Encik Rishi Sunak semalam mengumumkan barisan Kabinetnya dengan mengekalkan beberapa menteri kanan daripada pasukan pendahulunya Cik Liz Truss, termasuk Encik Jeremy Hunt sebagai menteri kewangan, ketika beliau melayari gelora pergolakan politik dan ekonomi negara itu sambil melaksanakan peralihan yang stabil.



Encik Sunak, 42 tahun, mengekalkan Setiausaha Luar, Encik James Cleverly dan Setiausaha Pertahanan Ben Wallace, walaupun kedua-duanya sebelum ini menyokong bekas Perdana Menteri, Boris Johnson.



Dalam langkah yang mengejutkan, beliau turut melantik semula Suella Braverman sebagai Menteri Dalam Negeri, yang bertanggungjawab ke atas perkara berkaitan keselamatan, polis dan kawalan imigresen.



Cik Braverman kembali selang beberapa hari beliau meletak jawatan daripada Kabinet Cik Truss.



Encik Sunak juga mengekalkan saingan kepimpinan terbarunya, Cik Penny Mordaunt, yang menarik diri daripada persaingan kepimpinan Isnin lalu selepas gagal mendapatkan sokongan Ahli Parlimen Tory yang mencukupi, sebagai Ketua Dewan Rakyat.



Peranan menyelia urusan kerajaan di parlimen - bukanlah kenaikan pangkat atau penurunan pangkat, tetapi mungkin mengecewakan Cik Mordaunt, yang telah disebut-sebut untuk menyandang jawatan yang lebih kanan seperti menteri luar.



Pelantikan itu kelihatan bertujuan menandakan kesinambungan dalam portfolio teratas selepas pergolakan dramatik yang dilihat di bawah Cik Truss.



Encik Grant Shapps, penyokong setia Encik Johnson yang telah lama menggantikan Cik Braverman di kementerian dalam negeri dan menyokong Encik Sunak dalam pertandingan kepimpinan terbaru, dinamakan sebagai setiausaha perniagaan.



Jawatan itu turut melibatkan pengawasan terhadap sebahagian dasar iklim.



Encik Shapps menggantikan sekutu rapat Encik Johnson, Encik Jacob Rees-Mogg, yang merupakan salah seorang daripada sekurang-kurangnya 10 menteri yang meninggalkan Kabinet di bawah pemerintahan baru Encik Sunak.



Pelantikan lain termasuk Encik Simon Hart sebagai ketua cemeti atau Whip yang bertanggungjawab ke atas disiplin parti di Dewan Rakyat, yang jatuh di bawah Cik Truss dan menyebabkan urusan kerajaan menjadi kucar-kacir.



Encik Oliver Dowden pula dinamakan canselor duchy of Lancaster, menjadikannya penyelesai masalah utama di seluruh jabatan Kabinet.



Encik Nadhim Zahawi menjadi menteri tanpa portfolio, pada masa yang sama juga dilaporkan dilantik sebagai pengerusi Parti Konservatif.



Encik Sunak sebelum ini Sunak mempertimbangkan untuk menangguhkan pembentangan laporan fiskal yang sepatutnya berlangsung minggu depan bagi mengisi 'kelompangan' sebanyak 40 bilion pound ($65.2 bilion) dalam pentadbiran kewangan negara itu.



Menurut laporan The Times, Encik Sunak dijangka bertemu Menteri Kewangan, Encik Jeremy Hunt untuk membincangkan lebih terperinci mengenai cadangan untuk meningkatkan kadar cukai dan memberi tekanan terhadap perbelanjaan awam.



Katanya, laporan itu bagaimanapun perlu dibentangkan sebelum 3 November ini bagi memberi kesediaan kepada Bank of England mengumumkan rancangannya untuk kenaikan kadar faedah.



Menurut akhbar itu lagi, laporan fiskal terbabit bagaimanapun boleh ditolak bagi dikaji semula untuk dibentangkan sebagai belanjawan penuh.



Kemungkinan itu boleh berlaku selepas jurucakap bekas Perdana Menteri Britain, Cik Liz Truss minggu lalu menyatakan bahawa penggantinya akan memutuskan sama ada untuk meneruskan pelan fiskal yang dijadualkan pada 31 Oktober ini.



Encik Hunt menentang pelan pertumbuhan ekonomi Cik Truss pada 17 Oktober lalu selepas tempoh pergolakan politik dan pasaran di UK selama beberapa minggu sehingga membuatkan pemimpin itu meletakkan jawatan beberapa hari kemudian.



Selepas pelantikannya, Encik Hunt berkata, kerajaan akan berusaha memulihkan kestabilan, keyakinan dan pertumbuhan jangka panjang, sambil mengakui negara itu berdepan masa sukar. - AFP, Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >