Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suspek dikena tujuh tuduhan bunuh, hadapi hukuman penjara seumur hidup

Jul 7, 2022 | 6:26 AM
PENUH EMOSI: Penduduk Highland Park memberi reaksi selepas diumumkan suspek serangan di kawasan itu Isnin lalu telah dikenakan tujuh tuduhan membunuh. - Foto REUTERS
PENUH EMOSI: Penduduk Highland Park memberi reaksi selepas diumumkan suspek serangan di kawasan itu Isnin lalu telah dikenakan tujuh tuduhan membunuh. - Foto REUTERS -

HIGHLAND PARK (Illinois): Lelaki yang dituduh melepaskan tembakan dengan senapang dari atas bumbung ke arah orang ramai yang menonton perarakan 4 Julai berhampiran Chicago, telah dikenakan tujuh tuduhan membunuh.

Jika sabit kesalahan, suspek, Robert E. Crimo III, 21 tahun, akan menghadapi hukuman penjara maksimum seumur hidup tanpa kemungkinan parol, kata peguam negara Illinois, Encik Eric Reinhart, ketika mengumumkan tuduhan itu pada sidang akhbar kelmarin.

Pendakwa raya berkata tuduhan itu akan disusuli dengan puluhan tuduhan tambahan sebelum siasatan selesai.

Beliau juga akan meminta agar Crimo kekal dalam tahanan tanpa jaminan pada penampilan pertama suspek di mahkamah semalam.

Pihak berkuasa menyatakan Crimo telah merancang serangan itu sejak beberapa minggu dan telah mendapat perhatian pihak berkuasa sekurang-kurangnya dua kali sebelum ini mengenai laporan bahawa dia mengancam membunuh diri atau membahayakan orang lain, kata pegawai tempatan kelmarin.

Dalam serangan Isnin lalu, suspek melepaskan lebih 70 das tembakan dari atas bumbung secara rambang ke arah orang ramai yang menonton perarakan di Highland Park, Illinois.

Dia kemudian melarikan diri dengan bergaul bersama orang ramai yang panik, kata pihak berkuasa.

Crimo, yang mempunyai tatu muka tersendiri, memakai pakaian wanita pada hari kejadian dalam usaha untuk menutup identitinya apabila cuba melarikan diri.

Selepas melarikan diri dari tempat kejadian, suspek telah memandu ke Wisconsin dan kembali ke Illinois sebelum keretanya ditahan dan dia kemudiannya diberkas.

Suspek mempunyai sejarah tingkah laku yang tidak menentu, kata pihak berkuasa, tetapi mereka belum menawarkan sebarang motif pembunuhan.

Polis menyemak semula jumlah mangsa yang disahkan terbunuh daripada kejadian tembakan itu kepada tujuh orang, dengan mangsa ketujuh dan terbaru meninggal dunia akibat kecederaannya.

Antara yang maut ialah Encik Nicholas Toledo, seorang datuk dari Mexico berusia 70-an tahun, yang meraikan acara 4 Julai itu bersama keluarganya. - Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg