LOUISIANA (Amerika Syarikat): New Orleans dikejutkan dengan insiden tragik apabila sebuah trak pikap yang dipandu oleh tentera veteran Amerika Syarikat, Shamsud-Din Jabbar, merempuh kawasan sibuk di French Quarter pada awal pagi Tahun Baru, mengorbankan 15 nyawa dan mencederakan kira-kira 30 orang.
Ketua Polis New Orleans, Cik Anne Kirkpatrick, menyifatkan Jabbar sebagai seorang pengganas, manakala Biro Siasatan Federal (FBI) mengesahkan bahawa bendera IS ditemui di dalam kenderaan.
FBI mengenal pasti penyerang, Jabbar, 42 tahun, seorang wargan Amerika dari Texas dipercayai pernah bekerja sebagai ejen hartanah di Houston dan bertugas sebagai pakar teknologi maklumat (IT) dalam tentera dari 2007 hingga 2015, dan kemudian dalam kohort tentera simpanan sehingga 2020.
Kejadian itu turut mencederakan dua pegawai polis dan dipercayai mempunyai kaitan dengan unsur pengganasan.
Serangan berlaku sekitar 3.15 pagi di persimpangan Canal dan Bourbon Streets, lokasi yang terkenal sebagai destinasi pelancongan dengan muzik dan bar.
Jabbar ditembak mati dalam pertembungan dengan polis selepas kejadian tersebut.
Cik Kirkpatrick menyifatkan serangan itu sebagai tindakan “jahat dan kejam”.
“Kami tidak hanya melihatnya sebagai tindakan pengganasan tetapi sebagai lambang kejahatan yang tidak berperikemanusiaan,” kata Cik Kirkpatrick dalam sidang media.
FBI telah mengesahkan penemuan senjata api dan alat yang berpotensi sebagai bahan letupan di dalam lori tersebut.
Selain itu, dua alat letupan lain ditemukan di kawasan French Quarter tetapi berjaya dimatikan.
“Kami yakin Jabbar tidak bertindak sendirian. Siasatan sedang dijalankan untuk menjejaki individu lain yang mungkin terlibat,” jelas Penolong Ejen Khas FBI, Cik Alethea Duncan.
Presiden Joe Biden turut mengecam serangan itu dan menyifatkannya sebagai tindakan “tercela”.
Beliau memaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan bagi menentukan sama ada terdapat kaitan antara serangan itu dengan letupan trak Tesla Cybertruck di luar Trump International Hotel di Las Vegas yang berlaku beberapa jam kemudian.
Menurut Encik Biden, dalam beberapa video yang dimuat naik di media sosial sebelum serangan, Jabbar dikatakan menyatakan sokongannya terhadap IS dan keinginannya untuk melakukan pembunuhan.
Encik Mike dan Cik Kimberly Strickland, pasangan dari Alabama yang berada di lokasi kejadian, menggambarkan suasana ngeri ketika lori itu merempuh orang ramai.
“Kami dengar bunyi enjin meraung, diikuti dentuman kuat, jeritan orang ramai dan serpihan logam di mana-mana,” singkap Cik Kimberly.
Sekitar 400 pegawai polis berada di kawasan French Quarter ketika kejadian itu berlaku, termasuk pasukan yang cuba menghalang kenderaan memasuki kawasan pejalan kaki.
Bagaimanapun, Jabbar berjaya memintas sekatan dengan memandu di atas kaki lima.
Susulan serangan tersebut, perlawanan Sugar Bowl yang dijadual berlangsung di New Orleans pada Hari Tahun Baru telah ditangguhkan selama 24 jam.
Langkah itu diambil bagi memberi ruang kepada polis untuk menyiasat kemungkinan ancaman lain.
New Orleans kini mempercepatkan pemasangan pengadang keluli baru di kawasan Bourbon Street yang dijangka siap sebelum acara Super Bowl pada 9 Februari.
Encik Jon Alterman, pakar Timur Tengah dari Pusat Pengajian Strategik dan Antarabangsa, menyatakan bahawa walaupun IS telah lemah di medan perang, kumpulan itu terus mempengaruhi individu melalui radikalisasi secara dalam talian.
“Tidak memerlukan operasi besar untuk memanipulasi individu yang berada dalam tekanan emosi dan memberikan mereka tujuan hidup yang salah,” katanya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg