Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki rempuh pasar Krismas di Jerman berdepan tuduhan bunuh

Dec 23, 2024 | 11:52 AM

Orang ramai meletakkan jambangan bunga dan menyalakan lilin pada 22 Disember sebagai penghormatan berhampiran pasar Krismas, ‘Alter Markt’, lokasi seorang lelaki memandu kereta ke arah orang ramai melalui laluan kecemasan pada 20 Disember di Magdeburg, Jerman.
Orang ramai meletakkan jambangan bunga dan menyalakan lilin pada 22 Disember sebagai penghormatan berhampiran pasar Krismas, ‘Alter Markt’, lokasi seorang lelaki memandu kereta ke arah orang ramai melalui laluan kecemasan pada 20 Disember di Magdeburg, Jerman. - Foto REUTERS

MAGDEBURG (Jerman): Seorang lelaki yang disyaki memandu kereta dan melanggar orang ramai di pasar Krismas di Magdeburg, Jerman, sehingga menyebabkan lima kematian dan mencederakan berpuluh-puluh orang, kini berdepan pelbagai tuduhan membunuh dan cubaan membunuh, kata polis pada 22 Disember.

Serangan pada 20 Disember itu mengejutkan negara dan mencetuskan ketegangan berhubung isu imigrasi.

Suspek, seorang lelaki berusia 50 tahun dari Arab Saudi yang telah tinggal di Jerman selama hampir dua dekad, merupakan seorang pakar psikiatri dengan sejarah retorik anti-Islam.

Walaupun motif serangan itu masih belum jelas, pihak berkuasa telah memulakan siasatan menyeluruh.

“Serangan ini menunjukkan kekejaman yang luar biasa. Walaupun dia jelas bersikap anti-Islam, tindakannya menyerupai serangan pengganas,” kata Menteri Dalam Negeri, Cik Nancy Faeser, dalam satu kenyataan.

Susulan kejadian itu, kira-kira 2,100 orang penyokong sayap kanan mengadakan tunjuk perasaan di Magdeburg pada 21 Disember malam, membawa sepanduk besar tertulis, “penghijrahan semula”, yang menyeru pengusiran besar-besaran imigran.

Polis melaporkan beberapa kekecohan kecil semasa perhimpunan itu, tetapi keadaan tetap terkawal.

Di sebalik ketegangan itu, penduduk tempatan berkumpul untuk memberi penghormatan kepada mangsa serangan.

Lautan bunga menghiasi pekarangan Gereja St John, berhampiran lokasi serangan.

“Saya ke sini semalam dan datang lagi hari ini. Tragedi ini benar-benar menyentuh hati saya,” kata seorang penduduk tempatan, Encik Ingolf Klinzmann.

Di tempat peringatan, sepanduk tertulis, “Mengapa?” menjadi lambang persoalan masyarakat tentang punca serangan.

Polis melaporkan bahawa suspek menggunakan laluan kecemasan untuk memasuki pasar Krismas dan memecut ke arah orang ramai, melanggar lebih 200 individu dalam tempoh tiga minit sebelum ditahan di lokasi kejadian.

Mangsa yang maut termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dan empat wanita berusia antara 45 dengan 75 tahun.

Sekitar 40 orang lain mengalami kecederaan serius atau genting, menjadikan serangan ini salah satu yang paling tragik dalam sejarah terkini Jerman.

Tragedi ini mencetuskan kritikan terhadap kelemahan sistem keselamatan Jerman.

“Terdapat amaran awal tentang suspek ini yang diabaikan. Kita perlu memastikan penyelarasan yang lebih baik antara pihak berkuasa negeri dengan persekutuan,” ujar pemimpin parti BSW, Cik Sahra Wagenknecht.

Canselor Olaf Scholz, yang menghadiri upacara penghormatan di Katedral Magdeburg, menyeru masyarakat agar bersatu dan mengambil iktibar daripada kejadian itu.

Dengan pilihan raya semakin hampir, serangan itu menjadi isu penting dalam perbincangan politik negara, terutama mengenai imigrasi dan keselamatan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg