ORLANDO, FLORIDA: Seorang lelaki yang disyaki mencuri dua pasang anting-anting berlian bernilai lebih AS$770,000 (S$1 juta) telah menelannya sebaik sahaja ditahan polis.
Suspek, Jaythan Gilder, 32 tahun, didakwa menyamar sebagai wakil kepada seorang atlet profesional semasa berada di butik Tiffany & Co. di Orlando, Florida. Gilder mendakwa bahawa dia ingin membeli anting-anting berlian serta sebentuk cincin berlian bagi pihak seorang pemain bola keranjang pasukan Orlando Magic.
Helah itu berjaya memperdayakan kakitangan kedai untuk menunjukkan kepadanya beberapa barang kemas bernilai tinggi di bilik VIP pada 28 Februari lalu.
Namun, tanpa diduga, sebaik sahaja diberikan akses kepada barang kemas, Gilder melompat dari tempat duduk, merampas anting-anting dan cuba melarikan diri.
Pekerja butik sempat menjatuhkan sebentuk cincin berlian bernilai AS$587,000 genggaman suspek sebelum dia berjaya melarikan diri.
Seorang pekerja butik mengalami kecederaan ringan ketika cuba menghalangnya.
Menurut jurucakap polis Orlando, Gilder berjaya dikesan dan ditahan beberapa jam selepas kejadian. Pihak berkuasa berjaya menjejaki Gilder dengan menggunakan rakaman kamera keselamatan pusat beli-belah, yang menunjukkan nombor plat keretanya.
Melalui teknologi tag reader, polis mengesan bahawa suspek sedang memandu menuju ke Texas melalui lebuh raya Florida Turnpike dan Interstate 10.
Akhirnya, keretanya diberhentikan oleh polis peronda di Washington County, kira-kira 550 kilometer dari lokasi jenayah.
Ketika ditahan di tepi lebuh raya Florida Panhandle, polis melihat suspek menelan beberapa objek yang dipercayai barang kemas yang dicurinya.
“Suspek dipercayai menelan dua pasang anting-anting berlian yang dicuri bagi mengelak polis merampas barang tersebut,” kata laporan polis.
Hasil imbasan X-ray menunjukkan terdapat objek asing dalam saluran pencernaan Gilder, yang dipercayai barang kemas dari butik mewah tersebut.
Siasatan lanjut mendapati ini bukan kali pertama Gilder melakukan jenayah terhadap Tiffany & Co.. Polis mendedahkan bahawa beliau pernah merompak butik jenama sama di Texas pada tahun 2022.
Lebih mengejutkan, rekod menunjukkan terdapat 48 waran tangkap terhadapnya di negeri Colorado atas kesalahan lain.
Suspek kini menghadapi pertuduhan rompakan dengan topeng serta pencurian besar-besaran peringkat pertama, yang melibatkan barang curi melebihi AS$100,000.
Setakat ini, pihak polis masih belum mengesahkan sama ada barang kemas yang ditelan suspek telah berjaya diperoleh semula.
“Kami masih dalam proses mengumpul bukti yang dipercayai adalah barang kemas dari butik Tiffany & Co,” ujar polis. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg