Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis M’sia teliti rekod anggota polis disyaki curi barang kemas

Nov 5, 2024 | 2:00 PM
Foto hiasan
Foto hiasan - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sedang meneliti rekod perkhidmatan empat anggota polis yang dipercayai terlibat dalam kes kehilangan barang kemas milik seorang wanita yang ditemukan meninggal dunia dalam kereta di Setapak, Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas tanpa amaran terhadap mereka mahupun mana-mana anggota dan pegawai polis jika didapati melakukan perbuatan melanggar undang-undang hingga menjejas nama pasukan.

“Tiada lagi amaran, tindakan lebih berkesan daripada kata-kata,” katanya ketika dihubungi Bernama pada 4 Oktober, lapor Malaysiakini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata kertas siasatan kes berkenaan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Pada 1 November lalu empat anggota berpangkat konstabel hingga koperal berusia lingkungan 28 hingga 35 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan barang kemas milik seorang wanita yang ditemukan mati akibat sakit jantung dalam kereta, di tempat letak kenderaan kondominium di Setapak 1 Oktober lalu.

Susulan penahanan itu polis merampas resit serta seketul logam berwarna kekuningan dengan berat anggaran 11.52 gram dan kes yang pada awalnya diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis (KEP) telah diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, media melaporkan seorang bekas pegawai kanan polis berusia 59 tahun membuat laporan di Balai Polis Setapak pada 8 Oktober lalu selepas mendapati barang kemas dipakai anak perempuannya ketika meninggal dunia, didapati hilang.

Beliau mendakwa selepas jenazah anaknya yang berusia 26 tahun itu selesai dikebumikan di Banting, Selangor, beliau cuba mencari rantai, loket dan gelang emas pemberian nenek serta kakaknya itu.

Katanya, beliau dimaklumkan pihak hospital dan polis bahawa anaknya tidak memakai barang kemas ketika anaknya ditemukan dalam kenderaan itu.

Berdasarkan gambar daripada pihak bomba yang memecahkan cermin kenderaan berkenaan yang berkunci, terdapat rantai dan gelang emas dipakai mangsa sebelum jenazah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg