VILLACH (Austria): Pencari suaka Syria yang disyaki melakukan serangan tikaman maut di bandar Villach, Austria telah bersumpah taat setia kepada ISIS dan telah menjadi radikal dalam talian, kata pihak berkuasa pada 16 Februari.
Seorang budak lelaki berusia 14 tahun terbunuh dalam serangan pada petang 15 Februari di tengah-tengah Villach dan lima yang lain cedera, tiga daripadanya berada dalam rawatan rapi, kata polis.
Menteri Dalam Negeri, Encik Gerhard Karner, memberitahu sidang media bahawa lelaki Syria berusia 23 tahun itu, yang ditahan tujuh minit selepas panggilan pertama kepada polis, telah menjadi radikal menerusi Internet dan bendera ISIS turut ditemui di apartmennya.
Encik Karner memberitahu pemberita kejadian itu menimbulkan kesedihan dan simpati terhadap mangsa.
“Tetapi ia juga menimbulkan kemarahan terhadap penyerang yang secara rawak menikam orang yang tidak bersalah di bandar ini,” tambahnya.
Encik Karner turut berkata para pegawai sepatutnya mempunyai kuasa lebih besar untuk menyaring pencari suaka dan perlu ada “pemeriksaan besar-besaran tanpa sebab di banyak kawasan”.
Menurut polis, lelaki itu, yang didakwa atas tuduhan membunuh dan cubaan membunuh, telah membuat rakaman bersumpah taat setia kepada ISIS.
Lebih banyak kemudaratan akan berlaku jika seorang lagi warga Syria, seorang pemandu penghantaran makanan, yang melihat penyerang tampil menghalangnya, kata pihak berkuasa.
ISIS tidak mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut setakat ini.
Bagaimanapun, bahagian media cawangan ISIS Afghanistan dan Khorasan baru-baru ini mengedarkan siaran menyeru serangan persendirian tanpa kumpulan di Amerika Syarikat dan Eropah.
Kejadian di Villach berlaku berikutan kegagalan rancangan pada Ogos untuk melakukan serangan bunuh diri di konsert Taylor Swift di Vienna oleh seorang remaja yang juga telah bersumpah setia kepada ISIS.
Kejadian keganasan terbaru itu berlaku hanya beberapa hari selepas serangan pada 13 Februari di Munich, Jerman, oleh seorang warga Afghanistan yang merempuh kereta yang dipandunya ke arah orang ramai, mencederakan berpuluh-puluh orang, dua daripadanya kemudian meninggal dunia. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg