YANGON: Pemimpin demokrasi Myanmar yang ditahan, Cik Aung San Suu Kyi, mengadakan pertemuan dengan wakil Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) pada 3 Ogos, dalam pertemuan pertama yang diumumkan secara rasmi dengan seorang pegawai asing sejak beliau digulingkan menerusi rampasan kuasa tentera pada 2021.

Pejabat Presiden Myanmar dalam satu kenyataan memaklumkan, Wakil Tetap ICRC ke Myanmar, Encik Arnaud de Baecque, bertemu Cik Suu Kyi pada pagi 3 Ogos.

Kenyataan itu disertakan beberapa gambar yang menunjukkan Cik Suu Kyi berjabat tangan dengan individu dipercayai Encik de Baecque, selain gambar beliau memotong kek hari jadi yang tertera tulisan ‘Happy Birthday Aunty Suu’.

Agensi berita AFP melaporkan gambar berkenaan tidak dapat disahkan secara bebas, namun semakan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) tidak menemui sebarang petunjuk bahawa imej itu dimanipulasi.

AFP turut mendapatkan reaksi daripada ICRC, namun organisasi itu belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.

Pertemuan itu dilihat sebagai perkembangan penting selepas bertahun-tahun keadaan Cik Suu Kyi menjadi tanda tanya berikutan pihak berkuasa Myanmar tidak pernah mendedahkan lokasi sebenar beliau ditahan atau membenarkan lawatan bebas oleh pihak antarabangsa.

Seorang veteran Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD), parti yang dipimpin Cik Suu Kyi, menyambut baik penyiaran gambar berkenaan.

“Kami gembira melihat gambar beliau. Jika benar itu pertemuannya dengan ICRC, sekurang-kurangnya kini kami tahu beliau masih hidup.

“Namun, beliau perlu dibebaskan segera kerana penahanannya adalah tidak sah,” katanya kepada AFP dengan syarat identitinya dirahsiakan.

Cik Suu Kyi, 81 tahun, digulingkan oleh tentera Myanmar pada Februari 2021 ketika partinya bersedia memulakan penggal baharu selepas memenangi pilihan raya umum secara besar-besaran.

Rampasan kuasa itu mencetuskan bantahan besar-besaran yang kemudian berkembang menjadi perang saudara yang masih berlarutan sehingga kini.

Menurut pelbagai pertubuhan pemantau, konflik berkenaan mengorbankan lebih 100,000 orang daripada semua pihak sejak empat tahun lalu.

Selepas rampasan kuasa, Cik Suu Kyi didakwa atas pelbagai pertuduhan termasuk rasuah, melanggar undang-undang pilihan raya dan kesalahan berkaitan keselamatan negara.

Pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa bagaimanapun berpendapat kebanyakan pertuduhan itu direka bagi menyingkirkan beliau daripada arena politik serta melemahkan NLD.

Pada April lalu, pemimpin rampasan kuasa Myanmar, Encik Min Aung Hlaing, yang kemudian dilantik sebagai presiden awam selepas pilihan raya yang dikritik masyarakat antarabangsa, mengumumkan baki hukuman penjara Cik Suu Kyi diringankan dan beliau dipindahkan ke tahanan di rumah.

Bagaimanapun, pihak berkuasa masih tidak mendedahkan lokasi sebenar kediaman berkenaan di ibu negara Naypyidaw atau tempoh hukuman yang masih perlu dijalaninya.

Anak lelaki Cik Suu Kyi yang menetap di Britain, Encik Kim Aris, sebelum ini berulang kali meminta bukti bebas bahawa ibunya masih hidup selepas dipindahkan ke tahanan rumah.

Beliau juga memaklumkan sudah bertahun-tahun tidak dapat berhubung secara langsung dengan ibunya.

Walaupun sudah dipenjarakan sejak 2021, Cik Suu Kyi masih dianggap tokoh politik paling berpengaruh di Myanmar dan terus mendapat sokongan meluas dalam kalangan penyokong demokrasi.

Sejak rampasan kuasa, Myanmar berdepan pengasingan diplomatik apabila banyak negara Barat mengenakan sekatan terhadap pemerintah tentera.

Pada masa sama, negara anggota Asean turut mengehadkan penyertaan kepemimpinan Myanmar dalam sidang peringkat tertinggi blok itu kerana kegagalan melaksanakan Konsensus Lima Perkara yang dipersetujui pada 2021 bagi menamatkan krisis politik negara berkenaan.

Bagaimanapun, Thailand sejak kebelakangan ini meningkatkan usaha membawa Myanmar kembali menyertai proses diplomatik serantau, sama ada secara dua hala mahupun melalui Asean.

Selepas memegang jawatan presiden, Encik Min Aung Hlaing sudah mengadakan lawatan rasmi ke India, China dan Laos, selain dijadual mengadakan lawatan ke Thailand minggu ini.

Namun, penahanan berterusan Cik Suu Kyi kekal menjadi antara isu utama yang menghalang usaha memulihkan hubungan Myanmar dengan masyarakat antarabangsa.

Asean sebelum ini berulang kali menggesa agar utusan khasnya dibenarkan bertemu Cik Suu Kyi sebagai sebahagian daripada usaha mencari penyelesaian politik, namun permintaan itu belum diluluskan oleh pemerintah Myanmar.

Menteri Luar Thailand, Encik Sihasak Phuangketkeow, bulan lalu berkata rakan sejawatnya dari Myanmar, Encik Tin Maung Swe, memberi jaminan bahawa Cik Suu Kyi berada dalam keadaan sihat.

“Kami dimaklumkan beliau dijaga dengan baik, tetapi perkara itu perlu dibuktikan,” katanya.

Pertemuan antara Cik Suu Kyi dan wakil ICRC itu dilihat sebagai petanda pertama yang memberi sedikit gambaran mengenai keadaan bekas penerima Hadiah Nobel Keamanan itu selepas lebih empat tahun beliau hampir sepenuhnya terputus daripada hubungan dengan dunia luar. – Agensi berita.