NAYPYITAW: Myanmar mengurangkan tempoh hukuman terhadap pemimpin terdahulu negara itu, Aung San Suu Kyi, yang kini dipenjarakan, menurut peguamnya.

Cik Suu Kyi, 80 tahun, sebelum ini menjalani hukuman penjara selama 27 tahun atas pelbagai pertuduhan termasuk hasutan, rasuah, penipuan pilihan raya dan pelanggaran undang-undang rahsia negara, yang menurut penyokongnya bermotif politik.

Tempoh hukuman tersebut kini dikurangkan kira-kira satu perenam, bersamaan sekitar empat setengah tahun, namun masih belum jelas sama ada beliau akan dibenarkan menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas presiden Myanmar, Encik Win Myint, turut diberikan pengampunan bagi sabitan yang dikenakan selepas rampasan kuasa tentera pada 2021.

Langkah itu susulan keputusan Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing, meluluskan pengampunan terhadap 4,335 tahanan sempena sambutan Tahun Baharu negara itu.

“Presiden telah memberikan pengampunan kepada Win Myint,” menurut kenyataan pejabat presiden.
Ini merupakan kali ketiga pengampunan besar-besaran dilaksanakan dalam tempoh enam bulan, yang lazimnya diadakan sempena Hari Kemerdekaan dan Tahun Baharu Myanmar.

Namun, masih belum jelas sama ada Encik Win Myint akan dibebaskan sepenuhnya daripada tahanan.

Encik Min Aung Hlaing, yang merampas kuasa daripada pemerintah dipilih rakyat pimpinan Suu Kyi pada 2021, baru-baru ini dilantik sebagai presiden dalam pilihan raya yang dikritik pemerhati antarabangsa sebagai tidak bebas dan tidak adil.

Rampasan kuasa itu mencetuskan krisis politik dan konflik berpanjangan di negara tersebut.

Selain pengampunan, pihak berkuasa turut mengurangkan semua hukuman mati kepada penjara seumur hidup sebagai sebahagian daripada langkah yang dikatakan bertujuan memulihkan keadaan negara.

Di luar Penjara Insein di Yangon, beberapa tahanan dilihat dibebaskan, termasuk pembikin filem dokumentari, Encik Shin Daewe, yang sebelum ini dijatuhi hukuman penjara seumur hidup sebelum dikurangkan kepada 15 tahun.

“Dapat kembali bersama keluarga adalah kegembiraan terbesar. Semua orang mahu melihat keluarga mereka setiap hari,” katanya.

Namun beliau turut menyatakan kesedihan kerana ramai rakan masih ditinggalkan. “Walaupun saya bernasib baik, rakan-rakan saya yang lain masih menangis di dalam. Saya pulang dengan hati yang berat,” katanya.

Menurut kumpulan pemikir Institut Strategi dan Dasar Myanmar, kurang daripada 14 peratus tahanan yang dibebaskan dalam beberapa siri pengampunan sebelum ini merupakan tahanan politik.

Sementara itu, ribuan keluarga terus menunggu di luar penjara dengan harapan ahli keluarga mereka turut dibebaskan. “Adik saya dipenjarakan atas kes politik,” kata Encik Aung Htet Naing, 38 tahun. “Kami tidak meletakkan harapan tinggi kerana beliau tidak termasuk dalam pengampunan sebelum ini.”

Menurut Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik, lebih 30,000 individu telah ditahan atas alasan politik sejak rampasan kuasa 2021.

Di bawah pemerintahan tentera, hukuman mati turut dilaksanakan semula selepas beberapa dekad, dengan lebih 130 individu dijatuhi hukuman tersebut, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Rampasan kuasa itu berlaku selepas tentera menuduh pemerintah Suu Kyi melakukan penipuan besar-besaran dalam pilihan raya 2020, dakwaan yang ditolak oleh pemantau antarabangsa.

Sejak itu, Myanmar dilanda perang saudara antara pasukan tentera, pejuang pro-demokrasi dan kumpulan etnik bersenjata.

Walaupun pihak berkuasa menggambarkan pengampunan ini sebagai langkah ke arah perdamaian, pengkritik menyifatkannya sebagai usaha kosmetik untuk memperbaiki imej pemerintahan tentera.

Perkembangan terbaru ini menunjukkan bahawa walaupun terdapat tanda-tanda pelonggaran, masa depan politik Myanmar masih tidak menentu dan bergantung kepada perubahan yang lebih menyeluruh. - Agensi berita