Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Syria gegar dicengkam bantahan rakyat

Protes kos sara hidup bertukar desakan mahu saksikan perubahan politik
Sep 11, 2023 | 06:00 AM



Protes antipemerintah mencengkam selatan Syria bagi dua minggu berturut-turut sebelum ini, apabila orang ramai menuntut pembaharuan ekonomi seiring meningkatnya desakan peletakan jawatan Presiden Encik Bashar al-Assad.

Ratusan ribu penunjuk perasaan turun ke jalan-jalan di Sweida dan di bahagian Aleppo yang dikawal pemerintah – sebagai membantah keadaan kehidupan dan ekonomi yang semakin merosot serta kos sara hidup yang tinggi.

Menurut agensi berita Aramme, desakan yang termasuk menggesa pembebasan tahanan politik itu turut diadakan di bandar-bandar di utara Syria yang tertumpu di kawasan luar bandar Idlib dan Aleppo, terutama di kawasan Azaz, Al-Bab, Marea dan Akhtarin.


Sementara itu, ribuan rakyat Syria yang lain turut mengadakan demonstrasi di wilayah Daraa dan Deir Azzor menuntut rejim Bashar bertanggungjawab ke atas jenayah yang dilakukannya.

Daraa merupakan kawasan kebangkitan pada 2011 di Syria yang menentang Presiden Bashar.

Perselisihan terbuka seperti ini jarang berlaku di kawasan yang dikawal oleh pemerintah.

Bandar barat daya Sweida kekal dalam kuasa pemerintah dan sebahagian besarnya terhindar daripada pergolakan yang dilihat di bahagian lain.

Dilaporkan, bantahan berlangsung di wilayah Sweida yang dikawal pemerintah itu disifatkan jarang berlaku dengan kritikan terbuka terhadap pemerintah. Namun protes demikian masih boleh berlaku mengambil kira keadaan ekonomi yang bertambah buruk.

Ia kini menyaksikan ribuan rakyat melakukan bantahan di jalan raya dan melaungkan slogan antipemerintah di bandar Sweida – yang kebanyakannya dalam kalangan etnik Druze yang membantah kenaikan harga petrol.

Penunjuk perasaan berkumpul di Dataran Karama di bandar itu setiap hari.

Lapor Al Jazeera, penunjuk perasaan yang melancarkan bantahan di bandar Sweida menggesa Encik Bashar `membebaskan’ negara itu daripada pemerintahannya.


“Bashar keluar! Bebaskan Syria!,” jerit penduduk yang menyertai bantahan itu.

Protes itu pada mulanya didorong oleh isu inflasi yang tinggi dan kini tumpuan beralih apabila penunjuk perasaan mendesak agar pimpinan Encik Bashar berundur.

Peratusan penduduk menyertai bantahan adalah besar walaupun wujudnya perpecahan dalam kalangan pemimpin masyarakat Druze sendiri berhubung demonstrasi.

Druze merupakan masyarakat minoriti yang sebahagian besarnya kekal berkecuali dalam konflik antara Encik Bashar dengan kumpulan menentang kepemimpinannya sebelum ini.

Malah beberapa penduduk Druze sendiri mengkritik gesaan penunjuk perasaan yang mahu Encik Bashar berundur daripada jawatannya.

Menurut mereka, sebarang penambahbaikan terhadap situasi sosioekonomi semasa negara harus melalui cara dialog.

Rata-rata penunjuk perasaan mengibarkan bendera tiga bintang yang melambangkan kebangkitan Syria, selain membawa papan tanda mengkritik peranan Iran, sekutu utama Encik Bashar. 

Saksi berkata, penunjuk perasaan di sekitar dataran bandar utama mendesak penggulingan Encik Bashar.

“Hidup Syria dan jatuhkan Bashar al-Assad!” demikian laungan penunjuk perasaan berhampiran ibu pejabat polis dan pejabat gabenor ketika pasukan keselamatan berdekatan mengelak konfrontasi.

Penunjuk perasaan turut mengutuk isu rasuah yang berterusan dan kelemahan pada tadbir urus negara.

Krisis ekonomi

Syria sedang mengalami krisis ekonomi merudum yang menyaksikan mata wangnya menjunam kepada rekod 15,500 pound Syria ($8.34) berbanding dolar Amerika pada Rabu dalam kejatuhan bebas yang pesat menjunam.

Ia didagangkan pada 47 pound Syria kepada dolar pada permulaan konflik.

Pemerintah berkata, pemotongan dalam program subsidi untuk meringankan beban kewangan negara yang terkena sekatan hanya memberi kesan kepada golongan paling berada.

Bantahan itu tercetus susulan keputusan kerajaan mengurangkan subsidi bahan api awal bulan ini, termasuk kemerosotan berterusan mata wang Syria.

Bagaimanapun ramai penunjuk perasaan berkata, tindakan itu memburukkan lagi nasib rakyat Syria yang mengalami peperangan selama sedekad dan kini bergelut untuk membeli makanan dan bekalan asas di tengah-tengah inflasi dan pendapatan yang semakin susut.

Pihak berkuasa Syria menyalahkan sekatan Barat di atas kesusahan yang dialami negara itu.

“Ini mengenai mempertanggungjawabkan Bashar al-Assad dan pelaku salah laku, dan menyeru pembebasan tahanan dan orang hilang,” kata seorang penunjuk perasaan berusia 25 tahun dari Sweida, Encik Shadi al-Dubaisi.

Penunjuk perasaan di Sweida menaikkan bendera revolusi Syria dan melaungkan slogan menggesa penggulingan rejim, kebebasan dan maruah negara.

Terdahulu, Gabungan Kebangsaan Pasukan Revolusi Syria dan pembangkang menyatakan sokongan penuh terhadap kebangkitan rakyat di Syria yang menentang rejim Encik Bashar.

Gabungan itu berkata, rakyat menuntut penggulingan rejim Encik Bashar kerana menjadi punca krisis di Syria, termasuk bertanggungjawab terhadap kemerosotan hidup rakyat negara itu.

Gabungan itu menggesa media Arab dan antarabangsa agar memberikan tumpuan kepada kebangkitan rakyat di selatan, bagi menyampaikan suara serta tuntutan mereka terutama di kawasan yang dikawal rejim Encik Bashar.

Ia turut menggesa semua rakyat Syria di setiap wilayah untuk bangkit menentang rejim Encik Bashar bagi membebaskan negara daripada jenayah perang yang telah mengorbankan ribuan orang awam.

Mereka menyekat jalan, mengadakan demonstrasi dan mengalih keluar foto serta papan iklan yang memaparkan wajah rejim Encik Bashar.

Malah, dalam satu video dikongsi dalam talian menunjukkan penunjuk perasaan membakar imej pemimpin itu.

Tindak balas pemerintah

Pasukan pemerintah telah bertindak balas terhadap protes dengan kekerasan, selain pihak keselamatan mengancam menggunakan senjata untuk menakutkan penunjuk perasaan pada beberapa keadaan.

Sebuah saluran televisyen tempatan, Syria Television melaporkan, kejadian tembakan berlaku di Shahba, di utara wilayah itu, tetapi tiada kematian direkodkan.


“Setakat ini, semua pilihan ada di atas meja. Tiada siapa yang tahu sejauh mana kita akan pergi dengan rejim ini, tetapi satu perkara yang pasti ialah kita sebagai rakyat akan meneruskan demonstrasi dan menuntut pemergian rejim,” kata stesen televisyen.

Ketegangan memuncak di bandar yang dikuasai rejim itu selepas penunjuk perasaan membaling batu ke arah bangunan kerajaan dan menyerbunya, mengalihkan gambar besar Encik Bashar, kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria.

Sebelum ini, pada Disember 2022, Kementerian Dalam Negeri Syria menerusi kenyataan memaklumkan penunjuk perasaan telah menyerbu bangunan pemerintah membawa senjata.

“Mereka merosakkan perabot, memecahkan cermin tingkap dan mencuri beberapa fail mengandungi dokumen. Sekumpulan penjenayah membunuh seorang anggota polis ketika cuba menyerbu bangunan ibu pejabat polis,” jelas kenyataan itu.

Laporan media tempatan mendakwa penunjuk perasaan menyerbu bangunan pemerintah dan bertindak membakar beberapa fail dan dokumen rasmi.

Mereka menyertai bantahan yang diadakan selepas solat Jumaat itu sebagai menyahut seruan satu kumpulan di Facebook, Syrian Revolution 2011.

Wilayah Sweida adalah tempat utama puak Druze yang membentuk kurang daripada 3 peratus penduduk sebelum perang Syria.

Sebahagian besarnya telah menjauhkan diri daripada perang saudara negara itu.

Perang itu telah membunuh hampir setengah juta orang sejak ia bermula pada 2011 dengan penindasan kejam protes antipemerintah memecahbelahkan negara dan menyebabkan kejatuhan ekonomi. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >