DAMSYIK: Pihak berkuasa Syria mengumumkan berjaya menumpaskan satu sel yang mempunyai kaitan dengan kumpulan militan ISIS dan dipercayai bertanggungjawab terhadap dua letupan bom di Damsyik ketika lawatan Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, awal minggu ini.

Menteri Dalam Negeri Syria, Encik Anas Khattab, berkata semua anggota sel berkenaan telah ditahan selepas operasi serentak dijalankan di beberapa lokasi di Damsyik dan kawasan sekitarnya.

“Sel yang bertanggungjawab melakukan serangan pengganas di Damsyik dua hari lalu kini berada dalam tahanan kami,” katanya menerusi hantaran di platform X.

Beliau berkata identiti semua suspek, peranan mereka serta rangkaian hubungan mereka akan diumumkan kepada orang ramai selepas siasatan selesai.

“Kami akan mendedahkan identiti anggota kumpulan itu, peranan mereka dan semua kaitan mereka selepas siasatan disempurnakan,” katanya.

Letupan yang berlaku pada 7 Julai lalu mengorbankan seorang mangsa dan mencederakan sekurang-kurangnya 36 yang lain berhampiran hotel penginapan Encik Macron di ibu negara Syria.

Insiden itu berlaku sejurus selepas Encik Macron meninggalkan hotel berkenaan untuk menghadiri pertemuan rasmi dengan Presiden Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, di Istana Presiden.

Walaupun letupan itu berlaku berhampiran lokasi lawatannya, Encik Macron menegaskan serangan berkenaan tidak akan menjejaskan sokongan Perancis terhadap Syria.

“Kita mesti berdiri bersama mangsa yang cedera, terus bertegas dalam aspek keselamatan, tetapi tidak boleh membiarkan serangan seperti ini menggugat kestabilan kita,” katanya dalam sidang media bersama Encik Sharaa.

Encik Macron menjadi ketua negara pertama dari Kesatuan Eropah (EU) melawat Syria sejak kejatuhan bekas Presiden Bashar al-Assad pada Disember 2024.

Ketua Keselamatan Dalam Negeri bagi wilayah Damsyik, Encik Ahmad al-Dalati, berkata siasatan awal mendapati sel yang ditahan mempunyai hubungan langsung dengan ISIS.

“Kami berjaya menjejaki seorang anggota sel yang bertanggungjawab terhadap letupan pada 7 Julai, dan melalui pemantauan ke atasnya kami berjaya mengenal pasti anggota lain dalam kumpulan tersebut,” katanya kepada televisyen pemerintah Syria.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, operasi menangkap suspek dijalankan serentak di empat kawasan sekitar Damsyik, termasuk dua kawasan yang majoriti penduduknya terdiri daripada masyarakat Alawi.

Dalam perkembangan berasingan, kementerian itu turut mengumumkan penahanan seorang pemimpin kanan ISIS, Firas al-Dagher, bersama beberapa individu yang didakwa bertanggungjawab mengendalikan operasi pembunuhan dan pembiayaan kumpulan itu di selatan Syria.

Operasi tersebut dijalankan hasil kerjasama antara unit khas Kementerian Dalam Negeri dan Perkhidmatan Perisikan Am Syria.

Menurut kementerian, siasatan mendapati Dagher pernah memegang beberapa jawatan kanan dalam struktur ISIS sebelum dilantik sebagai “gabenor” bagi Lebanon dan Palestin, selain pernah menjadi pengawal peribadi kepada ketua kumpulan itu.

Pihak berkuasa turut mendakwa sel berkenaan terbabit dalam beberapa siri pembunuhan, rompakan kedai emas dan penjualan emas curi bagi membiayai operasi ISIS.

Suspek juga mengaku terbabit dalam pembunuhan dua anggota Kementerian Dalam Negeri Syria, satu cubaan membunuh di sebuah kedai gunting rambut yang mengorbankan orang awam, selain memantau serta membunuh sepasang suami isteri.

Kesemua suspek telah diserahkan kepada pihak pendakwaan bagi menghadapi proses perundangan.

Kementerian Dalam Negeri sebelum ini memaklumkan seramai 235 anggota ISIS ditahan dalam tempoh tiga bulan hasil operasi berterusan memburu saki-baki kumpulan itu.

Daripada jumlah tersebut, 198 adalah warga Syria manakala 37 lagi warga asing.

Pihak berkuasa turut memusnahkan tujuh sel ISIS dan menggagalkan tujuh rancangan serangan, selain merampas 25 senjata api, 22 bahan letupan yang siap digunakan serta 67 peralatan elektronik.

Walaupun ISIS kehilangan sebahagian besar wilayah yang dikuasainya di Syria dan Iraq pada 2019, kumpulan itu masih melancarkan serangan secara berkala, terutama terhadap pasukan keselamatan pemerintah.

Menurut laporan Institut Timur Tengah yang diterbitkan pada Jun lalu, jumlah serangan ISIS di Syria menurun dengan ketara sepanjang tahun 2026 ini.

Laporan itu menyatakan kumpulan berkenaan hanya melancarkan lapan serangan pada Mei, mengorbankan empat orang, jauh lebih rendah berbanding purata 29 serangan sebulan sepanjang 2025.

Penganalisis kumpulan militan, Encik Ahmad Abazeid, berkata ISIS kini mengubah strategi daripada menguasai wilayah kepada beroperasi melalui sel-sel kecil yang sukar dikesan.

“Selepas kehilangan kubu terakhirnya di Al-Baghouz pada 2019, ISIS beralih kepada operasi menggunakan sel tersembunyi di setiap kawasan sambil mengekalkan struktur organisasi yang ketat,” katanya.

Beliau berkata pendekatan itu membolehkan kumpulan berkenaan terus melancarkan serangan walaupun berada di bawah tekanan berterusan daripada pasukan keselamatan Syria. – Agensi berita.