Topik diikuti
Pergi ke BHkuLetupan bom di kafe Damsyik ragut sekurang-kurangnya 9 nyawa, 22 cedera
Letupan bom di kafe Damsyik ragut sekurang-kurangnya 9 nyawa, 22 cedera
Seorang suspek ditahan; tiada pihak mengaku bertanggungjawab
Letupan bom di kafe Damsyik ragut sekurang-kurangnya 9 nyawa, 22 cedera
DAMSYIK: Sekurang-kurangnya sembilan orang maut manakala 22 lagi cedera selepas satu letupan bom menggegarkan sebuah kafe yang sesak di tengah ibu kota Syria, Damsyik, pada 2 Julai, menurut laporan media pemerintah Syria.
Letupan berlaku di sebuah kafe popular di Jalan al-Nasr, kawasan al-Hijaz, kira-kira 100 meter dari pintu utama Istana Kehakiman di pusat bandar Damsyik.
Media pemerintah melaporkan siasatan awal mendapati serangan dilakukan menggunakan alat letupan buatan sendiri (IED) yang diletakkan di bawah sebuah meja di dalam kafe berkenaan sebelum meletup ketika kawasan itu dipenuhi pengunjung.
Rakaman video yang tersebar di media sosial menunjukkan beberapa mangsa terbaring berlumuran darah di lantai kafe, manakala serpihan kaca dan kerusi bertaburan akibat kesan letupan kuat itu.
“Beberapa pihak cuba menggugat kestabilan Syria ketika pemerintah sedang berusaha membina semula negara dan memperbaiki keadaan ekonomi serta keselamatan,” kata Gabenor Damsyik, Encik Maher Idlibi, kepada wartawan di luar Istana Kehakiman sejurus selepas kejadian.
Beliau berkata sekurang-kurangnya seorang suspek yang melarikan diri dari lokasi kejadian berjaya ditahan pihak keselamatan, manakala siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada terdapat individu lain yang terbabit.
“Beberapa jam akan datang akan mendedahkan segala-galanya dan mereka yang menumpahkan darah rakyat Syria akan menerima balasan. Syria akan terus teguh selagi rakyatnya bersatu dan insiden ini tidak akan menggugat negara Syria,” katanya.
Setakat ini tiada mana-mana kumpulan mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.
Insiden berkenaan menambah cabaran keselamatan kepada pemerintah Presiden Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, yang mengambil alih kuasa selepas menggulingkan mantan Presiden Bashar al-Assad, pada penghujung 2024.
Kejatuhan Encik Assad menamatkan perang saudara lebih 14 tahun di Syria, namun negara itu masih berdepan ancaman keselamatan termasuk serangan kumpulan militan dan saki-baki penyokong pemerintah lama.
Penganalisis politik Syria, Encik Kamal Abdo, berkata terdapat kemarahan dalam kalangan penyokong pemerintah yang lalu susulan perbicaraan beberapa tokoh penting era Encik Assad yang sedang berlangsung di Istana Kehakiman berkenaan.
Menurutnya, sehingga 10,000 individu yang mempunyai kaitan dengan pemerintah terdahulu masih bebas, termasuk bekas pegawai tentera, anggota perisikan dan saki-baki militia pro-pemerintah.
“Mereka mempunyai pengalaman panjang dalam melaksanakan operasi seperti ini,” katanya kepada Al Jazeera.
Antara individu berprofil tinggi yang sedang dibicarakan di Istana Kehakiman ialah bekas ketua keselamatan terkenal, Atef Najib, yang dituduh menyeksa pelajar sekolah di Daraa pada 2011 sehingga mencetuskan kebangkitan rakyat Syria.
Turut dibicarakan ialah komander militia, Wassim al-Assad, dan bekas Mufti Besar Syria, Ahmad Badreddin Hassoun.
Sumber keselamatan berkata terdapat kemungkinan suspek mahu meneruskan serangan ke bangunan mahkamah yang terletak berhampiran.
Kawasan al-Hijaz dikenal pasti sebagai antara lokasi paling sibuk di Damsyik kerana ribuan orang mengunjungi Istana Kehakiman setiap hari.
Kafe yang diserang itu juga sering dikunjungi peguam, kakitangan mahkamah dan orang awam yang berurusan di kompleks kehakiman terbabit.
Al Jazeera berkata jumlah mangsa tinggi kerana kawasan itu sentiasa sesak dengan pengunjung dan kenderaan.
Pegawai hospital memaklumkan beberapa mangsa yang dirawat di Hospital al-Mouwasa berada dalam keadaan kritikal dan jumlah korban dijangka meningkat.
Serangan itu berlaku ketika Syria terus berdepan ketidakstabilan keselamatan walaupun pemerintah baharu cuba memperkukuh kawalan negara.
Pada Mei lalu, satu letupan bom kereta berhampiran pusat pengurusan persenjataan di Bab Sharqi mengorbankan seorang anggota tentera Syria dan mencederakan 18 yang lain.
Pada 22 Jun pula, satu serangan bom menyasarkan Gereja Mar Elias di Dwelaa dan kemudian didakwa dilakukan kumpulan militan Islamic State.
Kumpulan itu sebelum ini mengumumkan “fasa baharu” operasi terhadap pemerintah Encik Sharaa selepas cuba mengambil kesempatan daripada kekosongan keselamatan susulan kejatuhan Encik Assad.
Walaupun kekuatan kumpulan militan itu jauh berkurangan berbanding ketika mereka menguasai sebahagian besar Syria dan Iraq sebelum 2019, pegawai Syria dan Barat masih melihat mereka sebagai ancaman utama kepada proses peralihan politik negara itu.
Encik Maher Idlibi mengakui Syria masih memerlukan masa untuk mencapai kestabilan sepenuhnya.
“Sedikit demi sedikit, pihak keselamatan akan menjejaki mereka yang cuba menggugat keselamatan Syria. Semakin Syria stabil, semakin ramai pihak mahu merosakkannya,” katanya.
Sementara itu, Encik Kamal Abdo berkata pemerintah baharu setakat ini menunjukkan keupayaan lebih baik daripada jangkaan dalam mengawal keselamatan negara.
Namun beliau memberi amaran Syria masih berdepan “tugas keselamatan yang sangat besar” untuk menghalang serangan baharu daripada pihak yang mahu menggagalkan proses peralihan politik negara itu. – Agensi berita.
