WASHINGTON: Wartawan Amerika Syarikat, Evan Gershkovich, dan kolonel perisikan Russia yang dipenjarakan berkaitan pembunuhan di Berlin, adalah antara puluhan banduan yang dibebaskan pada 1 Ogos, dalam pertukaran tahanan Timur-Barat terbesar sejak Perang Dingin.
Perjanjian berbilang negara yang disifatkan rumit itu menyaksikan pembebasan wartawan, Wall Street Journal, dan lain-lain termasuk bekas anggota marin Amerika, Encik Paul Whelan.
ia melibatkan rundingan rahsia selama berbulan-bulan dan berakhir dengan pertukaran dramatik di landasan lapangan terbang di ibu negara Turkey, Ankara.
Ahli keluarga yang sangat gembira muncul di Rumah Putih bersama Presiden Amerika, Encik Joe Biden, yang berkata mereka boleh menelefon orang tersayang yang telah dibebaskan, dari Pejabat Oval.
“Sengsara yang mereka alami telah berakhir,” kata Encik Biden pada satu sidang akhbar.
Beliau telah menghubungi pemimpin sekutunya di Jerman, Poland, Slovenia dan Norway untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana bersetuju membebaskan tahanan Russia di bawah perjanjian tersebut.
Turkey pula bersetuju menjadi tuan rumah penyerahan itu.
“Mereka membuat keputusan berani untuk membebaskan warga Russia yang ditahan kerana pengintipan dan jenayah lain sebagai balasan kepada penentang Barat dan Russia serta aktivis hak asasi manusia,” katanya.
Secara keseluruhan, 10 warga Russia – termasuk dua kanak-kanak bawah umur – ditukar dengan 16 warga Barat dan Russia yang dipenjarakan di Russia, kata kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat presiden Turkey.
Antara yang kembali ke Moscow ialah Encik Vadim Krasikov, seorang ejen perisikan Russia yang dipenjarakan di Jerman kerana membunuh bekas komander pemberontak Chechnya.
Canselor Jerman, Olaf Scholz, berkata pertukaran “sukar” telah “menyelamatkan nyawa.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg