Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tanda keretakan dalam Kabinet jelang pilihan raya Indonesia

Jan 26, 2024 | 12:17 PM
KEMELUT POLITIK: Suasana janggal semakin ketara dalam kalangan anggota Kabinet akibat perbezaan politik yang dinafikan oleh Presiden Joko Widodo (depan enam dari kiri) dan beliau menyatakan Kabinet Maju Indonesia masih meneruskan kerja seperti biasa.
KEMELUT POLITIK: Suasana janggal semakin ketara dalam kalangan anggota Kabinet akibat perbezaan politik yang dinafikan oleh Presiden Joko Widodo (depan enam dari kiri) dan beliau menyatakan Kabinet Maju Indonesia masih meneruskan kerja seperti biasa. - Foto KABINET INDONESIA MAJU

JAKARTA: Tanda-tanda keretakan dalam pentadbiran Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo berhubung politik pilihan raya, telah menimbulkan keraguan terhadap keberkesanan pemerintah pada tahun terakhir Presiden memegang jawatan, di tengah-tengah tuduhan bahawa pegawai atasan secara rahsia menyokong calon tertentu.

Spekulasi mengenai peletakan jawatan kabinet beramai-ramai, dan pengakuan baru tentang rasa tidak senang yang semakin meningkat di kalangan menteri menjelang pilihan raya pada 14 Februari, telah membayangi bulan-bulan terakhir Encik Jokowi memegang jawatan.

Menteri Penyelaras Politik, Undang-undang dan Ehwal Keselamatan, Encik Mahfud MD, mendakwa dalam temu bual YouTube pada 25 Januari, bahawa interaksi di kalangan menteri pada mesyuarat Kabinet tidak sehangat seperti sebelum ini.

“Dalam mesyuarat, biasanya, dahulu, banyak bergurau senda sebelum mesyuarat bermula. Sebaik sahaja (mesyuarat) bermula, suasana bertukar menjadi serius. Apabila mesyuarat selesai, kami bergurau lagi,” kata Encik Mahfud kepada penemuduga dan pakar ekonomi, Encik Rhenald Kasali.

“Tetapi sekarang apabila kita masuk, tiada lagi jenaka,” ujarnya seperti dilaporkan akhbar The Jakarta Post.

Encik Mahfud, yang juga bertanding jawatan naib presiden atas tiket calon presiden, Encik Ganjar Pranowo, berkata pada 23 Januari, bahawa beliau telah merancang untuk keluar dari Kabinet, sebagai protes terhadap menteri yang tidak dinamakan yang dakwanya, secara senyap-senyap menyokong calon tertentu.

Kenyataannya itu susulan gesaan daripada pasangannya, Encik Ganjar, supaya semua calon dan menteri meletakkan jawatan dalam pemerintah, bagi mengelak penyalahgunaan kuasa negara.

Keretakan Kabinet berlaku di tengah-tengah tuduhan yang semakin meningkat, bahawa Encik Jokowi telah bergerak untuk berpegang kepada kuasa dan menubuhkan dinasti politiknya sendiri, dengan mengumpulkan sokongan untuk calon presiden dan Menteri Pertahanan, Encik Prabowo Subianto, yang bertanding bersama anak sulung Presiden, Encik Gibran Rakabuming Raka.

Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Encik Muhadjir Effendy, berkata pada 25 Januari, bahawa beberapa kejanggalan telah ketara dalam kalangan anggota Kabinet akibat perbezaan politik, walaupun beliau berkata hubungan itu tidak menjadi dingin.

“Ada sedikit (kejanggalan). Ia adalah tahun politik,” kata Encik Muhadjir.

“Keadaan ini telah dijangkakan,” tambahnya.

“Presiden memberi amaran dua tahun lalu, tentang keperluan untuk menjangkakan suasana kerja yang tidak terlalu kondusif, semasa tahun politik. Dengan cara itu kami akan bersedia dari segi psikologi, “ ujarnya.

Minggu lalu, ahli ekonomi Universiti Indonesia (UI), Encik Faisal Basri, berkata pada forum awam, bahawa 15 menteri merancang meletak jawatan, berikutan kebimbangan mengenai pelanggaran etika pemerintah.

Ulasan itu disuarakan berikutan keputusan kontroversi Mahkamah Perlembagaan yang membenarkan Encik Gibran bertanding jawatan naib presiden.

Antara tokoh yang disebutkan, termasuk Menteri Kewangan, Sri Mulyani Indrawati; Menteri Luar, Cik Retno Marsudi dan Menteri Kerja Raya dan Perumahan, Encik Basuki Hadimuljono.

Bagaimanapun, Encik Jokowi menafikannya dengan berkata Kabinetnya kekal kukuh dan semua menteri komited dengan peranan mereka sehingga akhir penggalnya.

Encik Jokowi menjelaskan bahawa perkara seperti itu sengaja ditimbulkan di tengah musim kempen politik menjelang Pilihan Raya Umum 2024 pada 14 Februari. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg