WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengumumkan cadangan mengenakan tarif baru ke atas barangan import dari 14 negara dan wilayah ekonomi, termasuk Singapura, China, Jepun dan Kesatuan Eropah (EU), sekali gus meningkatkan ketegangan perdagangan global.

Langkah yang diumumkan pada 25 November itu mencerminkan kesungguhan Encik Trump meneruskan dasar perdagangan utamanya meskipun berdepan tentangan politik, cabaran undang-undang dan kebimbangan mengenai peningkatan kos sara hidup rakyat Amerika.

China berdepan kadar tarif tertinggi sehingga 40 peratus, diikuti Vietnam (35 peratus), manakala Malaysia, Indonesia, Kemboja, Thailand, Korea Selatan, Taiwan dan India masing-masing berdepan kadar sehingga 25 peratus.

Singapura, Jepun, Switzerland, Bangladesh dan EU pula disenaraikan dengan kadar tarif 20 peratus.

Bagaimanapun, kadar sebenar yang dikenakan mungkin lebih rendah bagi sesetengah negara, tertakluk pada perjanjian perdagangan yang telah dimeterai dengan Washington.

Tarif baru itu dijangka hanya berkuat kuasa pada 2027 selepas melalui proses mendapatkan maklum balas awam dan kemungkinan sesi pendengaran.

Wakil Perdagangan Amerika, Encik Jamieson Greer, berkata langkah tersebut bertujuan menangani amalan perdagangan tidak adil yang menjejaskan daya saing industri dan pekerja Amerika.

“Langkah ini akan mewujudkan persaingan yang adil bagi pekerja Amerika dan menetapkan hala tuju baru yang lebih mampan bagi ekonomi dunia,” katanya.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Pentadbiran Encik Trump menuduh beberapa rakan dagang utamanya menghasilkan barangan secara berlebihan sehingga menjejaskan daya saing pengeluar Amerika, selain menyumbang kepada peningkatan defisit perdagangan negara itu.

Antara amalan yang menjadi perhatian Washington termasuk pemberian subsidi pemerintah, pengurusan mata wang, sokongan kepada syarikat milik negara serta peraturan ekonomi, buruh dan alam sekitar.

Washington turut mengemukakan cadangan berasingan untuk menaikkan tarif ke atas eksport gula dan pesawat Brazil.

Tarif terbaru itu akan dilaksanakan di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974, yang membolehkan pemerintah Amerika menyiasat amalan perdagangan tidak adil negara lain dan mengambil tindakan sebagai tindak balas.

Pentadbiran Encik Trump memulakan dua siasatan pada Mac selepas Mahkamah Agung Amerika memutuskan bahawa tarif yang diumumkan Encik Trump sempena ‘Hari Pembebasan’ pada April 2025 adalah tidak sah.

Siasatan pertama memberi tumpuan kepada kegagalan beberapa negara menangani amalan buruh paksa, manakala siasatan kedua meneliti masalah pengeluaran berlebihan dalam sektor perkilangan.

Pensyarah ekonomi Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Dr Chang Pao-Li, berkata tarif terbaru itu mempunyai asas undang-undang lebih kukuh berbanding tarif yang diumumkan Encik Trump pada April 2025.

Sebelum ini, Encik Trump menggunakan kuasa darurat presiden untuk mengenakan tarif, manakala pendekatan terbaru bersandarkan kuasa Wakil Perdagangan Amerika untuk menangani amalan perdagangan tertentu negara lain.

Menurut Dr Chang, meskipun tarif tersebut masih berkemungkinan dicabar di mahkamah, terdapat duluan yang menunjukkan tarif di bawah Seksyen 301 boleh terus berkuat kuasa.

Banyak tarif yang dikenakan di bawah peruntukan tersebut semasa penggal pertama Encik Trump terus dikekalkan ketika pentadbiran mantan Presiden Joe Biden.

Pengumuman itu dibuat ketika Encik Trump berdepan tekanan politik susulan kekalahan Parti Republikan dalam pilihan raya pertengahan penggal, yang menyaksikan parti itu kehilangan penguasaan di kedua-dua dewan Kongres.

Pasaran saham Wall Street turut merosot dengan ketara pada awal dagangan 25 November, sedang data pemerintah menunjukkan kadar inflasi meningkat 3.8 peratus pada Oktober berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Defisit perdagangan Amerika pula mencecah AS$105 bilion ($135 bilion) pada September, paras kedua tertinggi sejak Encik Trump kembali memegang jawatan.

Antara faktor yang menyumbang kepada defisit itu ialah perkembangan pesat industri kecerdasan buatan (AI), yang mendorong syarikat Amerika mengimport semikonduktor dan komponen komputer bernilai tinggi.

Beberapa pemilik perniagaan memberi amaran bahawa tarif baru itu boleh memaksa mereka menaikkan harga barangan sekali lagi, sekali gus menambah beban kewangan pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif Fireside Games, sebuah syarikat penerbit permainan papan di Texas, Cik Anne-Marie De Witt, berkata langkah itu mengecewakan, terutama selepas pengundi menyuarakan dengan jelas kesan tarif terhadap kewangan isi rumah Amerika.

Bagaimanapun, Kesatuan Pekerja Keluli Amerika (United Steelworkers) menyambut baik langkah tersebut, dengan menyifatkan tindakan menangani masalah pengeluaran berlebihan global sebagai sesuatu yang sudah lama diperlukan.

Sementara itu, EU mempertikaikan dakwaan bahawa Eropah menjadi punca masalah pengeluaran berlebihan dan menggesa Washington menghormati perjanjian perdagangan yang telah dimeterai.

Ketua Ahli Ekonomi Amerika Utara di Capital Economics, Encik Stephen Brown, pula berpandangan kesan tarif terbaru itu mungkin tidak seburuk yang disangkakan kerana sebahagian besarnya menggantikan tarif yang diumumkan sebelum ini.

“Peningkatan kadar tarif sebenar nampaknya sedikit lebih rendah daripada yang kami jangkakan dalam unjuran kami, meskipun tarif baru itu masih akan menyebabkan sedikit kenaikan harga,” katanya. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti