WASHINGTON: Rumah Putih menuduh Indonesia antara lebih 40 negara yang membantu China mengelak tarif tinggi Amerika Syarikat dengan mengalihkan barangan melalui negara yang dikenakan cukai import lebih rendah sebelum memasuki pasaran Amerika.

Dalam laporan setebal 24 halaman bertajuk “Penipuan Besar Perdagangan Transit” atau The Great Transshipment Scam, Rumah Putih mendakwa China menggunakan kaedah pemindahan barangan atau transshipment secara sistematik, termasuk menukar label negara asal walaupun kandungan atau komponen produk itu masih berasal dari China.

Selain Indonesia, lebih 40 negara dan Kesatuan Eropah (EU), termasuk Canada, Mexico dan Jepun, dikenal pasti dalam laporan tersebut.

Rumah Putih menganggarkan amalan itu membabitkan perdagangan bernilai sekitar AS$60 bilion ($76.5 bilion), walaupun laporan pemerintah Amerika dan sektor swasta lain menganggarkan jumlah barangan yang dipindahkan bagi mengelak tarif boleh mencecah antara AS$40 bilion dengan AS$303 bilion.

Pengarah Pejabat Dasar Perdagangan dan Pembuatan Rumah Putih, Encik Peter Navarro, berkata China menggunakan kaedah yang “amat canggih” untuk mengalihkan barangan sejak Presiden Donald Trump mula mengenakan tarif terhadap Beijing pada 2018.

“Selama bertahun-tahun, penipuan pemindahan barangan ini membolehkan China komunis ‘mencuci’ eksportnya melalui lebih 40 negara, menyebabkan Perbendaharaan kita kehilangan puluhan bilion dolar dan merampas pendapatan pekerja Amerika,” katanya.

Laporan itu meletakkan Indonesia bersama Malaysia dan Vietnam dalam kategori “Tahap 2”, iaitu negara yang menurut Washington mempunyai “jumlah pemindahan barangan haram yang ketara dengan integrasi lebih mendalam dalam rantaian bekalan dan sumber input berkaitan China”.

“Memandangkan kedudukan mereka yang dekat dengan China, tidak menghairankan banyak negara Asia Tenggara memainkan peranan penting dalam rangkaian itu, daripada Kemboja, Indonesia dan Malaysia hingga Thailand dan Vietnam,” menurut laporan tersebut.

Washington turut memberi perhatian khusus kepada koridor Batam-Bekasi di Indonesia, yang disifatkannya sebagai antara pusat utama dalam rangkaian perdagangan tersebut.

Laporan itu mendakwa peningkatan pengendalian barangan berkaitan China, khususnya kotak dan peti plastik, melalui Indonesia memberi tekanan kepada syarikat pembungkusan Amerika di Houston, Lake Charles, Beaumont dan Tulsa.

Rumah Putih mendakwa amalan tersebut menyebabkan Amerika kehilangan hasil tarif bernilai puluhan bilion dolar setiap tahun.

Perbezaan kadar tarif antara China dengan negara lain menjadi antara faktor yang mendorong barangan dialihkan melalui negara ketiga.

Sejak kembali berkuasa pada 2025, Encik Trump menggunakan tarif sebagai instrumen utama dasar perdagangannya untuk memberi tekanan kepada rakan dagang dan mengurangkan apa yang dianggap Washington sebagai amalan perdagangan tidak adil.

Pada Februari lalu, Jakarta dan Washington mencapai perjanjian perdagangan bagi meredakan pertikaian tarif antara kedua-dua negara.

Antara syarat yang dipersetujui Indonesia ialah mewujudkan “peraturan negara asal” yang diperlukan bagi menghalang negara ketiga daripada mengambil kesempatan terhadap kadar tarif lebih rendah yang diberikan kepada barangan Indonesia.

Peraturan itu penting kerana ia menentukan negara tempat sesuatu produk sebenarnya dihasilkan, bukan sekadar negara tempat produk berkenaan dihantar atau dieksport.

Wakil Perdagangan Amerika Syarikat, Encik Jamieson Greer, berkata faedah daripada perjanjian tarif Encik Trump seharusnya hanya dinikmati negara yang memeterai perjanjian tersebut.

“Pemindahan barangan adalah satu bentuk mengambil kesempatan terhadap perjanjian Presiden Trump dan dilakukan pengeksport yang bertindak dengan niat tidak baik,” katanya.

Washington kini turut menggunakan teknologi untuk mengesan amalan tersebut.

Agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika (CBP) mula menggunakan sistem berasaskan kecerdasan buatan (AI), dikenali sebagai “Detective Border”, bagi mengenal pasti kandungan produk dengan lebih tepat dan memastikan negara asalnya dilabel dengan betul untuk menentukan tarif.

Encik Greer menjangkakan usaha itu dapat menghasilkan tambahan puluhan bilion dolar dalam kutipan tarif serta mewujudkan ribuan pekerjaan di Amerika.

Rumah Putih turut memberi amaran bahawa amalan tersebut mungkin tidak lagi terhad kepada China.

Menurut laporan itu, negara lain yang kini berdepan tarif Amerika lebih tinggi juga mungkin menggunakan kaedah serupa bagi mengalihkan eksport melalui negara ketiga.

Jakarta setakat ini belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai tuduhan terbaru Washington.

Tuduhan itu meletakkan Indonesia dalam kedudukan rumit kerana China merupakan antara rakan ekonomi terbesarnya.

Gabungan pelaburan China dan Hong Kong di Indonesia berjumlah sekitar AS$11.5 bilion pada separuh pertama 2026, manakala import dari tanah besar China menghampiri AS$49 bilion dalam tempoh sama. Import dari Hong Kong pula sekitar AS$1.2 bilion.

Barangan Indonesia yang memasuki Amerika ketika ini dikenakan tarif 10 peratus susulan siasatan yang mendakwa Jakarta gagal menghalang import barangan yang dikaitkan dengan buruh paksa.

Laporan terbaru itu muncul ketika hubungan perdagangan Washington-Beijing kekal tegang meskipun Encik Trump dan Presiden China, Encik Xi Jinping, mencapai gencatan perdagangan selama setahun di Busan, Korea Selatan, Oktober lalu.

Encik Xi dijangka melakukan kunjungan balas ke Washington dalam tempoh sekitar enam minggu selepas menerima Encik Trump di Beijing pada Mei.

Dengan Washington memperketat pemeriksaan negara asal produk, isu pemindahan barangan kini dijangka menjadi satu lagi cabaran kepada Indonesia dalam mengimbangi hubungan perdagangan pentingnya dengan Amerika dan China. - Agensi berita