INDIANAPOLIS (Amerika Syarikat): Pasukan mencari dan menyelamat pada 26 Mei menyelongkar puing-puing bangunan yang runtuh akibat ribut petir dan puting beliung yang melanda dataran selatan Amerika Syarikat dan Pergunungan Ozarks, membunuh sekurang-kurangnya 14 orang dan memusnahkan ratusan bangunan.
Di Indiana, penganjur terpaksa membatalkan permulaan Perlumbaan 500 Batu Indianapolis, atau Indy 500 – acara perlumbaan kereta utama Amerika – yang secara tradisinya diadakan sempena Hari Peringatan pada hujung minggu.
Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dan hampir 100 cedera pada malam 25 Mei apabila puting beliung yang kuat melanda utara Texas berhampiran sempadan Oklahoma, kata Gabenor Greg Abbott kepada media.
Beliau berkata dua kanak-kanak – berumur dua dan lima tahun – daripada satu keluarga adalah antara yang maut dalam kejadian di dalam dan sekitar bandar kecil Cooke County di Texas, yang teruk terjejas.
Lebih 200 rumah dan struktur lain disenaraikan sebagai musnah, dengan 120 bangunan lagi rosak dalam zon yang menjangkau lebih 80 kilometer, kata Encik Abbott.
Berpuluh-puluh pemandu meninggalkan kenderaan mereka di lebuh raya dan melarikan diri ke perhentian trak berhampiran untuk mencari perlindungan.
Menurut Encik Abbott, seramai 125 orang berlindung di dalam stesen minyak itu ketika puting beliung menghancurkan kemudahan itu.
Mereka semua terselamat tetapi pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira sejam untuk membebaskan mangsa yang terperangkap dalam serpihan.
Seorang pegawai perkhidmatan cuaca berkata puting beliung di Texas itu membawa angin berkelajuan 217 kilometer sejam.
Ketika skala bencana semakin jelas pada 26 Mei, para pegawai telah menyelesaikan operasi mencari dan menyelamat, kata Encik Abbott lagi.
Menurutnya, tiada orang dilaporkan hilang sejauh ini.
Syerif Ray Sappington di Cooke County berkata beberapa rumah treler di kawasan itu “telah hilang sepenuhnya” selepas ribut melanda.
Rakaman video menunjukkan banyak rumah dan bangunan berkecai atau menjadi timbunan runtuhan.
Beberapa kenderaan remuk dan pokok-pokok tercabut.
Puting beliung turut melanda Denton County di barat laut Dallas pada malam 25 Mei, merosakkan rumah dan harta benda serta merobohkan talian elektrik.
Lebih 450,000 pelanggan terputus bekalan elektrik di 10 wilayah pada 26 Mei – dari Texas ke Michigan – menurut laman web poweroutages.us.
Dalam pada itu, Amerika sedang bersiap sedia untuk apa yang disebut musim taufan Atlantik 2024 yang mempunyai risiko “luar biasa” bermula pada 1 Jun. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg