BAITULMAKDIS: Seorang ibu yang dibebaskan dari tahanan di Jaluran Gaza bersama anak lelakinya memberitahu saudara mara bahawa mereka terpaksa tidur di atas kerusi.
Seorang nenek berusia 85 tahun daripada keluarga berbeza pula menghitung hari untuk menjejaki masa.
Pada Ahad, dua hari selepas kumpulan pertama 13 tebusan dibebaskan dan dibawa pulang ke Israel, maklumat mula muncul mengenai hampir 50 hari hidup sebagai tawanan yang disingkap oleh tebusan yang dibebaskan pada Sabtu di Gaza.
Tebusan yang dibebaskan tidak bercakap terus kepada media dan kebanyakannya masih dirawat di ruang peribadi hospital di Israel.
Kebanyakan maklumat tentang di mana dan bagaimana mereka ditahan masih menjadi satu rahsia.
Saudara-mara yang telah bercakap atau bertemu dengan beberapa tebusan yang dibebaskan berkata mereka menghabiskan minggu mereka dalam kurungan yang terputus dari dunia luar dan tubuh mereka kelihatan lebih kurus daripada sebelumnya.
“Mereka makan, tetapi tidak kerap dan tidak sepanjang masa,” kata Encik Merav Mor Raviv, sepupu kepada Cik Keren Munder, 54 tahun, yang dibebaskan pada Jumaat bersama anaknya, Ohad Munder-Zichri, sembilan tahun, dan ibunya, Cik Ruth Munder, 78 tahun.
“Mereka makan banyak nasi dan roti,” kata Encik Raviv, sambil menambah bahawa Cik Keren memberitahunya bahawa berat badan beliau dan ibunya telah susut antara 6 dengan 8 kilogram.
Encik Raviv menceritakan bahawa Cik Keren telah tidur di tiga buah kerusi yang telah ditolak dan dicantumkan dalam bilik tetamu dan apabila mereka ingin pergi ke bilik mandi, mereka perlu mengetuk pintu dan menunggu – kadangkala sehingga dua jam.
Cik Adva Adar, menyatakan neneknya, Cik Yaffa Adar, 85 tahun, yang dibebaskan pada Jumaat, kelihatan semakin kurus sepanjang penahanan hampir 50 hari.
Encik Raviv dan Cik Adva bercakap kepada wartawan pada Ahad melalui panggilan video yang dianjurkan oleh Forum Tebusan dan Keluarga Hilang, sebuah kumpulan bukan pemerintah yang ditubuhkan untuk menyokong tebusan dan keluarga mereka, dan Media Central, kumpulan bukan mencari untung Israel yang menyediakan perkhidmatan kepada wartawan.
Dalam petunjuk betapa terpencilnya tebusan, Encik Raviv berkata Cik Ruth hanya mengetahui anaknya, Roi, telah dibunuh semasa serangan 7 Oktober, selepas dibebaskan.
Tetapi Cik Munder juga menerima beberapa berita yang lebih baik – suaminya, Encik Avraham Munder, yang disangkanya telah terbunuh dalam serangan itu, terbukti masih hidup dan telah dibawa secara berasingan ke Gaza. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg