Iran sudah siapkan pelan hadapi perang
TEHERAN: Ketika perhatian antarabangsa tertumpu kepada rundingan nuklear Iran dengan Amerika Syarikat dan ancaman serangan ketenteraan, kepimpinan Teheran sebenarnya sedang menjalankan satu projek jauh lebih mendalam daripada persediaan perang biasa.
Mereka sedang merangka pelan kelangsungan negara – satu strategi menyeluruh untuk memastikan Republik Islam terus berfungsi walaupun pusat kuasa diserang, komunikasi lumpuh, atau pemimpin tertinggi terbunuh.
Di tengah-tengah struktur itu muncul seorang tokoh yang semakin dominan iaitu Ali Larijani.
Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, telah memberi mandat kepada Encik Larijani untuk memastikan negara bertahan dalam sebarang senario daripada serangan udara Amerika hingga cubaan pembunuhan kepimpinan tertinggi. Peranan itu bukan sekadar pentadbiran keselamatan, tetapi penyelarasan keseluruhan sistem negara ketika krisis.
Walaupun Iran masih mempunyai presiden, realitinya banyak keputusan strategik kini melalui Encik Larijani.
Encik Larijani, 67 tahun, bukan figura baharu dalam sistem.
Beliau bekas komander Kor Pengawal Revolusi, pernah menjadi Speaker Parlimen selama lebih sedekad dan kini mengetuai Majlis Keselamatan Negara Tertinggi.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, beliau menyelia operasi keselamatan dalam negara, hubungan dengan Russia dan negara Teluk serta rundingan dengan Washington.
Dalam satu wawancara di Doha bersama Al Jazeera, beliau menggambarkan keyakinan kepimpinan Iran.
“Kami telah memperbaiki kelemahan kami dalam beberapa bulan terakhir. Kami tidak mahukan perang, tetapi jika dipaksa, kami akan bertindak balas,” katanya.
Peningkatan pengaruh beliau secara tidak langsung mengehadkan peranan Presiden Masoud Pezeshkian, seorang pakar bedah jantung yang kerap mengakui keterbatasan pengalamannya dalam politik.
“Saya seorang doktor, bukan ahli politik,” kata Presiden Pezeshkian, satu pengakuan yang menggambarkan realiti struktur kuasa sebenar di Teheran.
Penganalisis konservatif Iran, Encik Nasser Imani, berkata tahap kepercayaan Ayatollah Khamenei terhadap Encik Larijani menjadi faktor utama.
“Pemimpin tertinggi melihat Larijani sebagai tokoh paling sesuai ketika krisis keselamatan. Beliau bergantung kepadanya untuk mendapatkan nasihat praktikal serta laporan keadaan sebenar,” katanya.
Perancangan Iran tidak hanya tertumpu pada pertahanan ketenteraan semata-mata, bahkan turut menjawab persoalan paling asas iaitu apakah yang akan berlaku sekiranya kepimpinan tertinggi terbunuh?
Menurut pegawai kanan Iran, Khamenei telah mengarahkan setiap jawatan penting mempunyai sehingga empat pengganti.
Tanggungjawab turut diagihkan kepada kumpulan kecil penasihat yang boleh membuat keputusan walaupun komunikasi dengan beliau terputus.
Ketika bersembunyi semasa perang dengan Israel pada 2025, beliau juga telah menamakan calon pengganti, walaupun identitinya dirahsiakan.
Pakar Iran di Johns Hopkins, Encik Vali Nasr, melihat langkah itu sebagai persediaan ideologi dan strategik secara serentak.
“Beliau menjangka kemungkinan terbunuh dalam konflik, maka beliau sedang menyediakan negara untuk terus berfungsi selepas ketiadaannya. Ini pelan pewarisan dan pelan perang pada masa yang sama,” katanya.
Dengan kata lain, Iran sedang membina sistem yang tidak bergantung kepada seorang individu – satu perubahan besar bagi negara yang selama ini berpusat kepada figura Pemimpin Tertinggi.
Pada masa sama, Iran menganggap serangan Amerika sebagai kemungkinan nyata. Semua cabang tentera diletakkan pada tahap berjaga-jaga tertinggi.
Pelancar peluru berpandu balistik ditempatkan berhampiran sempadan Iraq dan di pesisir Teluk Parsi – lokasi yang membolehkan serangan ke arah Israel serta pangkalan Amerika.
Ujian peluru berpandu pula dijalankan secara berkala dengan penutupan sementara ruang udara.
Latihan ketenteraan turut dijalankan di Selat Hormuz, laluan tenaga terpenting dunia.
Langkah itu bukan sekadar persiapan perang, bahkan juga isyarat geopolitik kepada pasaran sejagat.
Khamenei sendiri menyampaikan amaran terbuka dalam ucapannya pada 16 Februari lalu.
“Kuasa ketenteraan paling kuat di dunia mungkin menerima tamparan sehingga tidak mampu bangkit,” katanya.
Kepimpinan Iran menyedari ancaman terbesar bukan sekadar serangan dari luar, tetapi juga potensi kebangkitan dari dalam.
Justeru, strategi keselamatan turut merangkumi pengawalan masyarakat.
Jika perang tercetus, unit khas polis, ejen perisikan dan militia Basij akan mengawal bandar utama, mendirikan sekatan jalan dan memburu ejen asing.
Langkah itu bertujuan mencegah bantahan daripada berkembang menjadi pemberontakan ketika negara berada dalam keadaan lemah.
Penganalisis Kumpulan Krisis Antarabangsa, Encik Ali Vaez, berkata sistem Iran lebih bergantung pada kestabilan dalaman berbanding kekuatan ketenteraan.
“Khamenei ialah pengikat utama yang menyatukan sistem. Tanpanya, struktur politik boleh berpecah,” katanya.
Kepimpinan Iran turut mempertimbangkan senario paling ekstrem iaitu penubuhan pentadbiran sementara sekiranya kepimpinan tertinggi tidak lagi berfungsi.
Encik Larijani berada di kedudukan teratas sebagai tokoh pengurus krisis, diikuti Speaker Parlimen, Encik Mohammad Bagher Ghalibaf, dan mantan Presiden, Encik Hassan Rouhani.
Model itu menyerupai keadaan Venezuela di mana pentadbiran sementara diwujudkan semasa krisis politik.
Namun, semua calon berdepan isu penerimaan awam terhadap tuduhan rasuah dan peranan dalam tindakan keras terhadap penunjuk perasaan.
Ini menunjukkan kepimpinan Iran sendiri tidak yakin kestabilan boleh dipertahankan melalui kekuatan ketenteraan semata-mata – keabsahan politik kekal menjadi persoalan utama.
Menariknya, semua persediaan itu berlaku ketika rundingan nuklear masih berjalan.
Encik Larijani berulang-alik ke Moscow dan Timur Tengah sambil memantau rundingan dengan Washington.
Dalam satu kejadian, utusan Amerika cuba menghubungi Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, bagi mengelakkan salah faham ketika tindakan keras terhadap bantahan.
Namun, Presiden Iran sendiri perlu mendapatkan kebenaran Encik Larijani sebelum komunikasi dilakukan – gambaran jelas tentang pusat kuasa sebenar.
Ini menunjukkan strategi Iran bukan memilih antara perang atau diplomasi, tetapi melakukan kedua-duanya serentak sebagai bentuk tekanan politik.
Keseluruhan langkah Teheran menggambarkan perubahan pemikiran besar dalam kepimpinan Iran.
Mereka tidak lagi hanya cuba mengelak konflik, tetapi merancang bagaimana sistem akan bertahan selepas konflik.
Kuasa diagihkan, pengganti disiapkan, tentera dikerahkan ke lokasi strategik, masyarakat dikawal dan diplomasi diteruskan.
Iran sedang mempersiap diri untuk satu kemungkinan yang jarang disebut secara terbuka oleh mana-mana negara iaitu kelangsungan rejim selepas serangan besar. – Agensi berita.

