Topik diikuti
Pergi ke BHkuTeheran dibanjiri jutaan rakyat iringi pengebumian Ayatollah Ali Khamenei
Teheran dibanjiri jutaan rakyat iringi pengebumian Ayatollah Ali Khamenei
Iran perkukuh sokongan rakyat ketika ketegangan dengan AS dan Israel masih membara
Teheran dibanjiri jutaan rakyat iringi pengebumian Ayatollah Ali Khamenei
TEHERAN: Iran memulakan perarakan pengebumian besar-besaran bagi pemimpin tertinggi negara itu, Ali Khamenei, di Teheran pada 6 Julai dengan jutaan rakyat dijangka membanjiri ibu kota dalam satu upacara penuh emosi dan kawalan keselamatan ketat.
Keranda Khamenei yang diselubungi bendera Iran dibawa melalui jalan utama Teheran selepas dua hari ditempatkan di Kompleks Keagamaan Grand Mosalla untuk penghormatan terakhir rakyat.
Turut dibawa bersama ialah keranda beberapa anggota keluarga beliau yang terbunuh dalam serangan udara Israel pada 28 Februari lalu, pada permulaan perang melibatkan Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran.
Pihak penganjur berkata perarakan berlangsung antara 10 hingga 12 jam bermula jam 6 pagi waktu tempatan sebelum dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Mehrabad.
Pemerintah Iran berharap kehadiran jutaan rakyat dapat menunjukkan sokongan besar terhadap republik Islam itu ketika negara masih bergelut dengan kesan perang selama lima minggu dengan Israel dan Amerika.
Televisyen negara Iran melaporkan perarakan telah bermula sejak awal pagi dengan lautan manusia memenuhi jalan-jalan utama Teheran.
Pihak berkuasa turut menutup beberapa jalan utama, ruang udara dan sebahagian aktiviti harian sepanjang tempoh berkabung nasional yang akan berakhir 9 Julai ini apabila Khamenei dikebumikan di makam Imam Reza di Mashhad, bandar kelahirannya.
Langkah keselamatan luar biasa turut dilaksanakan bagi mengelakkan tragedi seperti pengebumian pengasas republik Islam Iran, Ruhollah Khomeini, pada 1989.
Ketika itu, kira-kira 10 juta orang dilaporkan menghadiri pengebumian Khomeini, menyebabkan rempuhan besar yang mengorbankan lebih 10 orang dan mencederakan lebih 10,000 yang lain.
Dalam kejadian itu juga, pihak berkuasa terpaksa menggunakan helikopter untuk membawa jenazah Khomeini selepas orang ramai menyerbu kenderaan yang membawa mayatnya sehingga kain kafan terkoyak dan jenazah terjatuh ke tanah.
Bagi mengelakkan insiden sama berulang, tembok konkrit besar dipasang di sekitar kawasan penghormatan terakhir di Grand Mosalla bagi memisahkan orang ramai daripada keranda Khamenei.
Ribuan rakyat Iran sebelum ini memenuhi kompleks berkenaan pada 5 Julai untuk memberi penghormatan terakhir kepada Khamenei dan empat anggota keluarganya.
Selain menjadi upacara pengebumian seorang pemimpin yang memerintah Iran lebih tiga dekad, majlis itu juga dilihat sebagai usaha pemerintah Iran memperlihatkan ketahanan politik negara selepas perang dengan Israel dan Amerika.
Speaker Parlimen Iran yang juga ketua perunding dengan Amerika, Encik Mohammad Bagher Ghalibaf, memuji rakyat Iran kerana menunjukkan solidariti besar terhadap negara dan kepimpinan republik Islam itu.
“Bangsa Iran yang gagah dan tidak dapat ditewaskan telah memberi penghormatan kepada syahid mereka dengan penuh kesatuan,” katanya menerusi platform X.
Perarakan di Teheran pada 6 Julai ini akan disusuli upacara serupa di pusat keagamaan Qom pada 7 Julai sebelum diteruskan di bandar suci Najaf dan Karbala di Iraq pada 8 Julai.
Pengebumian terakhir Khamenei dijadual berlangsung di Mashhad pada 9 Julai.
Dalam perkembangan lain, tiga anak lelaki Khamenei membuat kemunculan awam yang jarang berlaku ketika majlis penghormatan pada 5 Julai lalu.
Namun, perhatian ramai tertumpu kepada ketiadaan Encik Mojtaba Khamenei yang dinamakan sebagai pemimpin tertinggi baharu Iran sejurus selepas kematian bapanya.
Setakat ini beliau masih belum muncul di khalayak ramai.
Pegawai Iran sebelum ini memaklumkan Encik Mojtaba cedera dalam serangan udara Israel, namun tahap kecederaannya masih tidak diketahui.
Komander baharu Pengawal Revolusi Iran, Encik Ahmad Vahidi, yang menggantikan pemimpin terdahulu yang terbunuh dalam serangan 28 Februari, turut muncul buat kali kedua dalam upacara pengebumian selepas tidak kelihatan sepanjang perang berlangsung.
Ketua Pasukan Quds, Encik Esmail Qaani, yang jarang muncul di khalayak awam, juga dilihat menghadiri upacara tersebut.
Walaupun pemerintah Iran berusaha mempamerkan imej perpaduan nasional, beberapa bekas presiden Iran yang pernah mempunyai hubungan tegang dengan Khamenei dilaporkan tidak kelihatan dalam majlis itu.
Di tengah suasana berkabung, tuntutan membalas dendam terhadap Israel dan Amerika terus kedengaran dalam kalangan rakyat Iran.
“Pembunuh Khamenei mesti dihukum,” kata seorang lelaki berusia 38 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Miremadi kepada AFP.
“Kami menyokong revolusi dan pemimpin kami. Kami menuntut pembalasan terhadap darah orang yang kami sayangi,” kata seorang wanita berusia 39 tahun dikenali sebagai Bakand.
Khamenei selama ini terkenal dengan pendirian tegas terhadap Barat dan menjadi tokoh utama yang menyokong kumpulan bersenjata anti-Amerika dan anti-Israel di Asia Barat termasuk Hamas di Palestin dan Hezbollah di Lebanon.
Delegasi Hamas dan Hezbollah turut dilihat menghadiri upacara pengebumian tersebut.
Sementara itu, rundingan antara Amerika dan Iran berkaitan pembukaan semula Selat Hormuz, program nuklear Iran dan usaha menamatkan perang secara kekal dilaporkan masih ditangguhkan sehingga selesai pengebumian Khamenei. - Agensi berita
