Saudi catat rekod baharu jemaah umrah, lebih 900,000 dalam sehari
Saudi catat rekod baharu jemaah umrah, lebih 900,000 dalam sehari
RIYADH: Arab Saudi mencatat rekod baharu jumlah jemaah umrah apabila seramai 904,000 orang menunaikan ibadah itu dalam satu hari pada 4 Ramadan 1447 Hijrah, menurut pihak pengurusan Masjidil Haram.
Angka tersebut jauh mengatasi rekod tahun2025 yang merekodkan sekitar 500,000 jemaah pada 7 Mac, sekali gus mencerminkan peningkatan ketara kehadiran umat Islam ke Tanah Suci pada bulan Ramadan.
Pihak berkuasa menyatakan lonjakan jumlah jemaah memerlukan langkah keselamatan dan pengurusan orang ramai dipertingkat bagi memastikan ibadah berjalan lancar. “Kawasan mataf diperuntukkan khusus untuk jemaah umrah sepanjang hari bagi memastikan tawaf dapat dilaksanakan dengan selamat,” menurut kenyataan pengurusan Haramain.
Sepanjang Ramadan, terutama pada hari Jumaat serta waktu Maghrib, Isyak, Tarawih dan Tahajud pada 10 malam terakhir, ruang solat di Masjidil Haram dipenuhi dengan cepat.
Jemaah diarahkan menggunakan kawasan lapang dan ruang solat tambahan yang ditetapkan sekiranya ruang utama penuh.
Pihak berkuasa turut melarang jemaah berkumpul di laluan pejalan kaki, jalan raya dan halaman masjid bagi mengelakkan kesesakan berbahaya. “Pergerakan masuk dan keluar mesti mengikut papan tanda arah yang ditetapkan,” menurut pihak pengurusan masjid.
Bagi mengurangkan kesesakan di sekitar masjid, laluan pejalan kaki khas diwujudkan di kawasan tengah kota Makkah, manakala kenderaan tidak dibenarkan memasuki zon tersebut untuk tempoh tertentu sekitar waktu solat.
Motosikal dan basikal tanpa kebenaran turut diharamkan di kawasan berkenaan, sementara kenderaan yang menghalang keselamatan pejalan kaki akan ditunda serta dikenakan saman trafik.
Pengangkutan jemaah diselaraskan menggunakan bas awam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz dan 14 kawasan parkir khas termasuk sembilan di dalam kota suci serta lima di laluan masuk ke Makkah.
Jemaah yang tidak dapat memasuki Masjidil Haram akibat kesesakan akan diarahkan ke masjid berhampiran dan dewan solat yang dilengkapi kemudahan.
Pihak berkuasa menegaskan langkah ini penting bagi memastikan keselamatan jutaan jemaah sepanjang musim ibadah yang dianggap paling sibuk setiap tahun.
“Semua prosedur dilaksanakan bagi melindungi keselamatan jemaah dan memastikan kelancaran ibadah,” menurut kenyataan itu. - Agensi berita

