Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Tempoh tetap pilihan raya M'sia adalah lebih baik, adil dan menjimatkan

Oct 14, 2022 | 05:30 AM



PERDANA Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini mengumumkan pembubaran Parlimen sekali gus memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) negara itu.



Ini setelah berminggu-minggu spekulasi tentang berlangsungnya PRU, pada tahun ini atau tahun depan.



Namun spekulasi itu dikatakan menimbulkan teka-teki dan keadaan tidak menentu tentang pembubaran Parlimen dengan terlalu banyak tumpuan diberi kepada langkah itu.



Keadaan itu juga menimbulkan ketidaktentuan dan gangguan pada kegiatan harian kerajaan dan ekonomi negara selain menjejas pelaburan dalam dan luar negara.



Oleh itu, apabila Speaker Parlimen (Dewan Rakyat), Tan Sri Azhar Azizan Harun, menyarankan agar ditetapkan tarikh PRU secara automatik selepas genap mandat lima tahun bagi sesebuah kerajaan, banyak pihak mengalu-alukannya.



Beliau berkata kaedah itu akan membantu dalam memudahkan urusan berkaitan pelaksanaan pilihan raya negara, selain menjimatkan kos.



Tambahnya, jika sistem itu dilaksanakan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga akan mempunyai tempoh masa persediaan yang mencukupi bagi menyempurnakan tugasnya.



Beliau menambah, kaedah itu sudah digunapakai berdekad lamanya di banyak negara demokrasi contohnya di Amerika Syarikat, Australia dan Norway.



Sebaliknya, Tan Sri Azhar yang pernah menjawat Pengerusi SPR, berkata apabila pilihan raya diadakan secara mengejut, kos yang terpaksa dibelanjakan SPR dan kerajaan juga akan menjadi lebih tinggi.



Menyambut baik saranan itu, Pensyarah Undang-Undang dan Dasar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata Peruntukan Perlembagaan Persekutuan, khususnya membabitkan fasal 2 Perkara 55, perlu dipinda.



Pindaan itu membabitkan pembatalan keseluruhan fasal berkenaan.



"(Ini) Terutama kuasa Yang di-Pertuan Agong berkaitan membubarkan Parlimen, dengan kata lain, bagi mewujudkan penggal Parlimen tetap, kuasa Agong untuk membubarkan Parlimen lebih awal dari tempoh terbubar dengan sendirinya secara lima tahun itu akan ditamatkan.



"Ini melainkan keadaan apabila berlaku undi tidak percaya, maka kuasa itu mungkin boleh dikekalkan dengan beberapa pengubahsuaian. Maksudnya, apabila berlaku keadaan di mana perdana menteri hilang sokongan, perdana menteri berkenaan boleh meletak jawatan atau meminta Agong untuk membubarkan Dewan," katanya kepada media.



Memberitahu Berita Harian (BH), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata saranan itu adalah baik untuk menyuburkan amalan dan proses demokrasi di Malaysia.



Namun ia perlu diselaraskan dengan Perlembagaan, dengan kuasa Yang Dipertuan Agong dikekalkan berkaitan pembubaran Parlimen.



"Contohnya, ini bermakna bagi tempoh setiap empat tahun, ia (pembubaran Parlimen) boleh dicadangkan lebih awal oleh perdana menteri kerana ia perlu perkenan Yang Dipertuan Agong.



"Jika diadakan buat tempoh lima tahun, maka ia akan hilangkan kuasa perkenan Agong dan memberi kesan terhadap ketetapan Perlembagaan negara.



"Apa pun, perubahan ini tidak boleh mengurangkan kuasa dan hak Agong sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan," jelasnya.



Dalam kalangan pemimpin politik, ramai menyambut baik saranan itu sambil menyifatkannya lebih demokratik dan adil kepada pengundi dan mereka yang terbabit dengan urusan pilihan raya.



Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata cadangan itu wajar dilaksanakan kerana ia memberi beberapa kebaikan kepada pengundi dan parti politik.



"Ini boleh dibuat kemudian (selepas PRU15)... dan lebih sesuai kerana memerlukan pindaan Perlembagaan atau ada akta tertentu yang perlu dipinda," katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).



Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata beliau setuju dengan penetapan tarikh PRU seperti mana yang dibuat banyak negara lain.



Katanya, langkah itu lebih jelas dan dapat membantu mengelak pelbagai spekulasi yang mengalih tumpuan parti politik dan rakyat daripada perkara lebih penting.



"Selain itu, penetapan tarikh itu juga menidakkan kelebihan tidak adil yang ada kepada perdana menteri dan parti kerajaan yang memutuskan tarikh pembubaran Parlimen," ujarnya.



Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Encik Chang Lih Kang, mengalu-alukan cadangan itu yang dilihat dapat membantu agensi kerajaan yang terbabit urusan pilihan raya dan mereka tidak perlu membazir wang.



"Dengan adanya penggal tetap, semua agensi terbabit boleh membuat persiapan awal dan merancang jadual dengan lebih cekap.



"Rakyat juga tidak perlu dibebankan dengan ura-ura tarikh PRU. Selain politik, ekonomi negara amat sensitif dengan tarikh PRU, terutamanya kalau penggal tidak tetap.



"Ekonomi pasaran tidak suka dengan 'kejutan'. Sebarang kejutan akan menjejas keyakinan pelabur. Maka, penggal tetap adalah penting supaya kestabilan ekonomi tidak terjejas," katanya kepada media.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >