Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Temuan Trump, pemimpin Afrika S jadi konfrontasi

May 22, 2025 | 10:39 AM
Trump, Pejabat Bundar
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump (kanan), menayangkan video yang dikatakan mengenai ‘Genosid Kulit Putih’ (kiri) ketika bertemu dengan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa (dua dari kanan), di Pejabat Bundar, Rumah Putih, Washington DC, pada 21 Mei 2025. Lawatan Encik Ramaphosa berlangsung seminggu selepas Encik Trump mendakwa berlakunya genosid berterusan di Afrika Selatan, dan memberikan status pelarian kepada 59 warga Afrikaner. - Foto EPA-EFE

WASHINGTON: Dalam satu pertemuan mengejut yang disiarkan secara langsung dari Pejabat Bundar, Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, secara terbuka menegur dan mencabar Presiden Afrika Selatan, Encik Cyril Ramaphosa, dengan mendakwa terdapat “pembunuhan beramai-ramai” petani kulit putih Afrikaner (orang keturunan Eropah yang dilahirkan di Afrika), satu naratif yang telah lama dipertikaikan.

Encik Trump dilaporkan telah memadamkan lampu dalam bilik mesyuarat dan menayangkan video yang kononnya menunjukkan bukti penganiayaan terhadap petani kulit putih di Afrika Selatan.

Beliau juga menunjukkan cetakan artikel dan gambar yang menurutnya membuktikan keganasan yang disasarkan terhadap kaum tersebut.

“Kami menerima banyak aduan mengenai apa yang berlaku di Afrika. Mereka mendakwa perkara-perkara buruk sedang berlaku di sana, dan itulah yang akan kami bincangkan hari ini (21 Mei),” kata Encik Trump.

Pertemuan itu dijangka tegang sejak awal lagi, susulan tindakan Encik Trump menggantung bantuan Amerika kepada Afrika Selatan dan membuka laluan khas imigresen kepada warga Afrikaner, sementara ribuan pelarian lain terus disekat masuk ke Amerika.

Presiden Ramaphosa, yang turut membawa dua pemain golf terkenal dari negaranya, Ernie Els dan Retief Goosen, sebagai isyarat mesra untuk meredakan ketegangan, kelihatan tenang pada awal perbincangan.

Namun keadaan berubah apabila seorang wartawan bertanya sama ada Encik Trump akan mempertimbangkan untuk menilai semula dakwaannya mengenai “genosid kulit putih” di Afrika Selatan.

“Itu hanya akan berlaku jika Presiden Trump sanggup mendengar suara rakyat Afrika Selatan sendiri,” jawab Encik Ramaphosa.

Encik Trump terus mengarahkan tayangan video yang memaparkan rakaman yang didakwanya menunjukkan seruan keganasan terhadap petani kulit putih.

Salah satu babak menunjukkan deretan salib putih di tepi jalan, yang sebenarnya adalah sebahagian daripada protes terhadap jenayah, bukan kawasan perkuburan sebenar.

Encik Trump kemudian membelek timbunan kertas dengan berkata: “Kematian, kematian, kematian.”

Salah satu klip video memaparkan laungan “Kill the Boer” – frasa yang sering dipetik oleh kumpulan pelobi Afrikaner sebagai bukti dakwaan penganiayaan.

Namun, frasa itu telah lama ditolak oleh Parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC), parti pemerintah yang diketuai Encik Ramaphosa.

“Video itu tidak menggambarkan keseluruhan hakikat sebenar di negara kami,” tegas Encik Ramaphosa.

“Kami adalah sebuah demokrasi pelbagai parti yang memberi ruang kepada kebebasan bersuara. Dasar pemerintahan kami sama sekali tidak menyokong apa yang dikatakan oleh Presiden Trump,” tambahnya.

Encik Ramaphosa mengakui bahawa Afrika Selatan berdepan masalah jenayah, namun menekankan bahawa keganasan tidak tertumpu kepada satu kaum sahaja.

Kajian dan data polis menunjukkan bahawa warga kulit putih tidak lebih terdedah kepada jenayah berbanding kumpulan etnik lain, malah secara purata berada dalam kedudukan sosioekonomi yang jauh lebih baik.

Pertemuan itu memperlihatkan bagaimana Encik Trump menumpukan perhatian hanya kepada naratif tertentu yang selari dengan agendanya, ketika beliau mengkritik Afrika Selatan sebuah negara demokrasi kerana didakwa menindas penduduk kulit putih.

Ketegangan memuncak apabila seorang pegawai wanita berkulit hitam daripada delegasi Encik Ramaphosa cuba menjelaskan situasi sebenar jenayah yang turut menimpa rakyat kulit hitam.

Namun Encik Trump memotong percakapan, sebaliknya mengalih perhatian kepada tokoh kulit putih seperti pemain golf dan jutawan, Johann Rupert.

Encik Trump juga menyebut nama Encik Elon Musk, yang turut hadir di bilik tersebut, sebagai “penasihat tidak rasmi” dalam hal ehwal Afrika Selatan.

“Elon berasal dari Afrika Selatan. Ini apa yang Elon mahukan,” katanya sambil merujuk kepada kritikan terbuka Encik Musk terhadap pemerintahan Ramaphosa di media sosial.

Presiden Ramaphosa tetap cuba meredakan suasana dengan menawarkan buku mengenai golf dan berbicara tentang potensi kerjasama perdagangan.

Namun Encik Trump dilihat kurang berminat, dan sebaliknya menyerahkan dokumen yang mendakwa berlaku rampasan tanah di Afrika Selatan.

“Saya mahu awak kelihatan baik, bukan buruk,” kata Encik Trump kepada Encik Ramaphosa sebelum kembali kepada naratif kegemarannya.

Encik Ramaphosa dengan penuh diplomasi berkata: “Kami diajar oleh Nelson Mandela bahawa apabila ada perbezaan dan masalah, kita duduk semeja dan berbincang. Itulah cara kami membina negara ini.” Beliau merujuk kepada seorang tokoh yang menentang pemerintahan golongan minoriti kulit putih di Afrika Selatan. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg