WASHINGTON/RIYADH: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menepis kritikan berhubung rancangannya menerima sebuah pesawat mewah bernilai AS$400 juta ($521 juta) daripada keluarga diraja Qatar, sambil menyifatkan ia sebagai “bodoh” jika ditolak.
Beliau berkata demikian sebelum memulakan lawatan rasmi empat hari ke Asia Barat yang bermula di Arab Saudi pada 13 Mei.
“Saya rasa ini satu isyarat yang baik dari Qatar. Saya amat menghargainya. Saya bukan jenis orang yang akan tolak tawaran pesawat percuma yang sangat mahal,” kata Encik Trump kepada wartawan di Rumah Putih sebelum berlepas ke Timur Tengah.
“Saya mungkin dianggap bodoh kalau saya kata, ‘Tidak, kami tidak mahu pesawat mahal secara percuma,’” tambah beliau.
Pesawat Boeing 747-8 itu dijangka dijadikan pesawat rasmi Air Force One.
Namun, pengumuman itu mencetuskan kritikan hebat daripada ahli politik Demokrat dan kumpulan pemantau integriti pemerintah yang menyifatkan ia sebagai konflik kepentingan dan berpotensi menyalahi Perlembagaan.
Senator Demokrat Encik Brian Schatz, Encik Chris Murphy, Encik Cory Booker dan Encik Chris Coons dalam satu kenyataan bersama berkata: “Penerimaan hadiah sebesar ini menimbulkan konflik kepentingan yang nyata, persoalan keselamatan negara yang serius, dan membuka ruang kepada pengaruh asing.”
Jurucakap Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, menjelaskan bahawa urusan perundangan berkaitan sumbangan itu kepada Jabatan Pertahanan masih dalam proses dan pentadbiran Encik Trump tidak bimbang dengan apa yang mungkin diminta Qatar sebagai balasan.
Encik Trump menyatakan bahawa tawaran pesawat itu adalah sebagai tanda penghargaan terhadap bantuan ketenteraan Amerika di rantau tersebut.
Beliau turut meluahkan kekecewaan terhadap kelewatan Boeing dalam menghantar pesawat Air Force One baru yang telah ditempah semasa penggal pertamanya.
Lawatan Encik Trump kali ini termasuk pertemuan bersama Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman, dan perjumpaan bersama pemimpin negara Teluk serta tokoh perniagaan termasuk Elon Musk. Forum Pelaburan Arab Saudi-Amerika juga dijadualkan berlangsung pada 13 Mei.
Lawatan empat hari yang turut merangkumi persinggahan di Doha, Qatar dan Abu Dhabi, Amiriah Arab Bersatu (UAE), menyerupai kunjungan sulung antarabangsa beliau pada 2017 yang menjadikan Arab Saudi sebagai destinasi pertama.
Sementara itu, Hamas membebaskan tebusan terakhir warga Amerika yang masih hidup, Encik Edan Alexander, seorang warganegara Amerika-Israel yang ditahan sejak serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
Pembebasan Encik Alexander berlaku menjelang ketibaan Encik Trump ke rantau itu dan dianggap oleh Hamas sebagai usaha mendapatkan sokongan Amerika bagi perjanjian yang lebih luas untuk menamatkan perang Gaza.
Encik Alexander, 21 tahun, yang pernah berkhidmat dalam tentera Israel, dilaporkan ditahan dalam terowong bawah tanah dengan tangan dan kaki diikat serta hanya diberi makanan dalam jumlah kecil.
Dalam gambar dan video yang dikongsikan oleh pihak berkuasa Israel, Encik Alexander dilihat tersenyum dan memeluk ahli keluarganya dengan penuh emosi.
Berbeza dengan tebusan lain, beliau dibebaskan tanpa gencatan senjata rasmi antara Hamas dengan Israel, yang menggambarkan kegagalan rundingan lebih besar untuk menamatkan konflik.
Ketika ini, Hamas masih menahan sekurang-kurangnya 20 tebusan hidup serta menyimpan sekitar 40 mayat, termasuk beberapa rakyat Amerika.
Namun, kumpulan itu enggan melepaskan lebih ramai tebusan selagi Israel tidak bersetuju untuk merundingkan penamatan perang secara menyeluruh. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg