ISLAMABAD: Tentera Afghanistan dan Pakistan bertempur singkat di kawasan sempadan pada 6 November, ketika rundingan damai antara kedua-dua negara diteruskan di Istanbul, Turkey. Walaupun tiada korban dilaporkan, insiden itu menambah ketegangan di sepanjang sempadan sejauh 2,600 kilometer yang sudah lama bergolak.
Kedua-dua pihak saling menuduh satu sama lain memulakan tembakan berhampiran bandar sempadan Spin Boldak di selatan Afghanistan. Namun, jurucakap tentera dari kedua-dua negara menegaskan bahawa mereka kekal komited kepada gencatan senjata yang dipersetujui di Doha pada 19 Oktober lalu.
“Kami berharap kebijaksanaan akan mengatasi emosi, dan keamanan dapat dipulihkan di rantau ini,” kata Menteri Pertahanan Pakistan, Encik Khawaja Asif, pada sidang media di Islamabad pada 5 November.
Beliau menjelaskan bahawa Pakistan kini mengutamakan satu agenda utama meyakinkan pihak Afghanistan supaya mengekang kumpulan militan yang menyerang tentera Pakistan dari wilayah mereka.
“Kami hanya menuntut agar sempadan kami tidak dijadikan tempat perlindungan bagi kumpulan yang menentang Pakistan,” tambahnya.
Jurucakap Taliban, Encik Zabihullah Mujahid, menulis di platform X bahawa pasukan Pakistan telah melepaskan tembakan ke arah kawasan Spin Boldak pada petang 6 November.
“Pasukan Afghanistan tidak membalas tembakan itu demi menghormati pasukan rundingan yang sedang berunding di Istanbul serta bagi mengelak korban awam,” katanya.
Bagaimanapun, Kementerian Penerangan Pakistan menafikan dakwaan tersebut dan menuduh pasukan Afghanistan yang terlebih dahulu memulakan serangan. “Pasukan keselamatan Pakistan bertindak balas secara terkawal dan bertanggungjawab. Keadaan kini terkawal dan gencatan senjata kekal utuh,” menurut kenyataan kementerian itu di platform X.
Kementerian itu turut menegaskan bahawa Islamabad kekal komited terhadap rundingan damai yang sedang berlangsung dan mengharapkan “timbal balik yang sama daripada pihak berkuasa Afghanistan.”
Ketegangan antara kedua-dua negara meningkat sejak Taliban kembali berkuasa di Kabul pada 2021. Pakistan menuduh Taliban melindungi kumpulan militan Tehrik-i-Taliban Pakistan (TTP) yang sering melancarkan serangan ke atas tentera Pakistan.
Kabul menolak tuduhan itu dan mendakwa tidak mempunyai kawalan terhadap kumpulan tersebut.
Pertempuran berdarah pada Oktober lalu yang melibatkan serangan udara Pakistan di Kabul bagi memburu pemimpin TTP menyebabkan lebih 50 orang awam terbunuh dan hampir 450 cedera di Afghanistan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Tentera Pakistan pula melaporkan 23 anggota maut dan 29 cedera dalam pertempuran itu.
Rundingan damai yang ditaja Turkey kini diteruskan di Istanbul dengan harapan untuk memperkukuh gencatan senjata yang rapuh. Delegasi Pakistan diketuai oleh Ketua Perisikan Tentera, Encik Asim Malik, manakala pasukan Afghanistan dipimpin oleh Ketua Perisikan, Encik Abdul Haq Wasiq.
Turkey sebagai tuan rumah, mengesahkan bahawa kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menubuhkan mekanisme pemantauan dan pengesahan bagi memastikan gencatan senjata dipatuhi serta mengenakan tindakan terhadap pihak yang melanggar perjanjian.
“Kami melihat perkembangan positif, namun masih ada perbezaan pandangan mengenai isu kumpulan militan dan sempadan,” kata seorang diplomat Turkey kepada media tempatan.
Sementara itu, semua lintasan sempadan utama antara kedua-dua negara kekal ditutup sejak 12 Oktober lalu, menjejaskan perdagangan dan pergerakan orang awam. Walaupun Pakistan telah membuka dua lintasan bagi membolehkan pelarian Afghanistan pulang ke tanah air, hubungan perdagangan masih belum pulih.
Walaupun pertempuran pada 6 November berakhir tanpa korban, penganalisis keselamatan memberi amaran bahawa gencatan senjata yang rapuh boleh runtuh jika isu utama kehadiran kumpulan militan dan pelanggaran wilayah tidak ditangani segera.
“Selagi kedua-dua pihak saling menuduh tanpa mekanisme penguatkuasaan yang jelas, insiden seperti Spin Boldak akan terus berulang,” kata seorang penganalisis di Islamabad. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg