Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tentera Israel undur dari koridor pemisah utara, selatan Gaza

Feb 10, 2025 | 12:31 PM
Penduduk Palestin yang terpaksa berpindah-randah dek serangan Israel berbondong-bondong melintasi Koridor Netzarim menuju ke utara Gaza, sejurus sahaja tentera Israel berundur dari koridor tersebut pada 9 Februari.
Penduduk Palestin yang terpaksa berpindah-randah dek serangan Israel berbondong-bondong melintasi Koridor Netzarim menuju ke utara Gaza, sejurus sahaja tentera Israel berundur dari koridor tersebut pada 9 Februari. - Foto AFP

JALURAN GAZA: Tentera Israel telah berundur dari Koridor Netzarim, zon tentera yang memisahkan bahagian utara dan selatan Jaluran Gaza.

Beratus-ratus rakyat Palestin yang menaiki kereta dan pedati sarat berisi tilam dan barangan keperluan rumah mula kembali ke utara Gaza berikutan pengunduran Israel itu.

Mereka sedih dan pilu melihatkan rumah mereka hancur menyembah bumi.

Pengunduran Israel selaras dengan perjanjian gencatan senjata Israel-Hamas pada 19 Januari.

Seramai 16 tebusan Israel dan 566 tahanan Palestin telah dibebaskan di bawah perjanjian itu setakat ini.

Menurut perjanjian gencatan senjata itu, tarikh akhir pengunduran tentera Israel ialah pada 9 Februari.

“Apa yang kami lihat adalah malapetaka, kemusnahan mengerikan. Tentera Israel memusnahkan semua rumah, kedai, ladang, masjid, universiti dan mahkamah,” kata penduduk al-Maghraqa di utara Netzarim, Encik Osama Abu Kamil.

Lelaki berusia 57 tahun itu, yang melarikan diri lebih setahun ke bandar Khan Younis, di selatan Gaza, berkata beliau kini merancang “mendirikan khemah untuk saya dan keluarga saya di sebelah runtuhan rumah kami”.

“Kami tiada pilihan,” tambahnya dengan nada sedih.

Pengunduran penuh Israel dari koridor itu berlaku sehari selepas Hamas dan Israel melakukan pertukaran tebusan dengan tahanan buat kali kelima, yang menyaksikan kumpulan Palestin itu membebaskan tiga tebusan Israel sebagai pertukaran bagi 183 tahanan Palestin yang ditahan di penjara Israel.

Pertukaran itu berlaku pada hari yang sama Israel menghantar satu delegasi ke Qatar untuk rundingan fasa kedua perjanjian gencatan senjata.

Fasa pertama gencatan senjata bermula pada 19 Januari dan dijangka berlangsung sekurang-kurangnya enam minggu.

Menjelang akhir peringkat pertama gencatan senjata dalam masa tiga minggu, 33 tebusan dan 1,900 banduan dijangka dibebaskan.

Israel berkata lapan daripada 33 tebusannya yang ditahan di Gaza telah mati.

Setakat tiga minggu selepas gencatan senjata berkuat kuasa, dua pegawai Hamas sebelum ini menyatakan mereka sudah bersedia memulakan perbincangan mengenai fasa kedua.

Fasa pertama gencatan senjata

Sehingga kini, syarat gencatan senjata yang dilakukan di bawah penyeliaan negara pengantara – Amerika Syarikat, Qatar dan Mesir – dipatuhi sebahagian besarnya.

Langkah itu diharapkan dapat memastikan penghentian keganasan dan membolehkan kerja membina semula Gaza dapat dijalankan. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg