WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berkata pada 3 Februari bahawa tiada “jaminan” bahawa gencatan senjata yang rapuh di Gaza akan bertahan, ketika beliau bersedia untuk membincangkan masa depan gencatan senjata tersebut dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu.
Encik Netanyahu yang berada di Washington untuk rundingan dengan pentadbiran Encik Trump mengenai fasa kedua gencatan senjata dengan Hamas, yang masih belum dimuktamadkan, berkata beliau berharap fasa kedua itu dapat memastikan berakhirnya kekerasan secara kekal.
Sebelum berlepas ke Washington, Encik Netanyahu memberitahu wartawan beliau akan membincangkan mengenai kemenangan ke atas Hamas dalam usaha untuk mengekang Iran serta pembebasan semua tebusan tatkala beliau dijangka bertemu Encik Trump.
Pertemuan itu adalah yang pertama bagi Encik Trump dengan pemimpin asing sejak kembali ke Rumah Putih pada Januari, satu keutamaan yang Encik Netanyahu sifatkan sebagai cerminan “kekuatan hubungan Israel-Amerika”.
“Pada masa ini, kami sudah bersedia untuk memulakan perbincangan mengenai butiran fasa kedua ini,” kata seorang pegawai Hamas yang enggan dikenali dalam perbincangan dengan agensi berita, AFP.
Beliau turut menambah bahawa “kami menunggu pihak pemudah cara untuk memulakan perbincangan pusingan seterusnya”.
Setakat dua minggu selepas gencatan senjata berkuat kuasa, dua pegawai Hamas mengatakan mereka sudah bersedia memulakan perbincangan mengenai fasa kedua.
Langkah itu diharapkan dapat memastikan penghentian keganasan yang lebih mampan.
Sementara itu, rundingan di Washington juga dijangka akan menyentuh usaha pemulihan hubungan antara Israel dengan Arab Saudi, yang telah dibekukan Riyadh pada awal konflik Gaza.
Dalam satu kenyataan berasingan, Encik Trump turut memberi amaran beliau mungkin akan menghentikan penglibatan Amerika dengan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan meneruskan penangguhan dana kepada Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PPB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) yang dibiayai Amerika.
Encik Netanyahu mengkritik keras UNRWA, menuduh agensi itu menyebarkan hasutan anti-Israel dan mendakwa kakitangannya terlibat dalam kegiatan pengganasan.
“UNRWA sudah lama kehilangan statusnya sebagai badan kemanusiaan bebas, dan kini telah bertukar menjadi badan yang dikawal oleh Hamas,” katanya.
Encik Trump sendiri pernah menghentikan pembiayaan untuk UNRWA semasa penggal pertamanya, menyatakan bahawa Palestin perlu bersetuju menyambung kembali rundingan damai dengan Israel dan mendesak pembaharuan yang tidak spesifik.
Pada Januari 2024, Presiden Amerika ketika itu, Encik Joe Biden, turut menggantung dana Amerika kepada UNRWA selepas Israel mendakwa beberapa kakitangan UNRWA terlibat dalam serangan 7 Oktober 2023 yang membawa kepada peperangan di Gaza.
Pada masa yang sama, Duta Israel ke PBB, Encik Danny Danon, memuji langkah yang diambil Encik Trump, dengan mengatakan bahawa Majlis Hak Asasi Manusia PBB “secara agresif mempromosikan anti-Semitisme”.
Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya UNRWA, Encik Philippe Lazzarini, mengutuk kempen penyebaran maklumat palsu yang sengaja menjadikan agensi itu sasaran untuk menggambarkan ia sebagai sebuah organisasi pengganas. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg