Topik diikuti
Pergi ke BHkuIsrael undur: Tentera Lebanon dikerah ke bandar selatan
Israel undur: Tentera Lebanon dikerah ke bandar selatan
Langkah selaras dengan pelan dirangka AS sebagai perantara
Israel undur: Tentera Lebanon dikerah ke bandar selatan
BEIRUT: Pasukan tentera Lebanon mula dikerahkan ke bandar Zawtar al-Gharbiyeh di selatan Lebanon pada 21 Julai selepas tentera Israel berundur dari kawasan berkenaan.
Demikian menurut seorang pegawai kanan keselamatan Lebanon, selaras dengan pelan yang dirangka Amerika Syarikat sebagai perantara.
Di bawah pelan tersebut, tentera Lebanon akan melucutkan senjata kumpulan Hezbollah yang disokong Iran di beberapa bahagian di selatan Lebanon, manakala tentera Israel pula akan berundur dari kawasan berkenaan secara berperingkat.
Pihak tentera Israel pada 20 Julai berkata pelan yang dinamakan program zon rintis itu telah pun bermula.
Namun, mereka tidak mengeluarkan perincian lanjut pada 21 Julai.
Penyerahan wilayah pada 21 Julai merupakan ujian pertama bagi pelan berkenaan.
Lebanon berharap agar langkah tersebut dapat mengembalikan kawalannya ke atas kawasan selebar kira-kira 10 kilometer di dalam wilayah negara itu yang masih diduduki tentera Israel.
Puluhan kampung di kawasan berkenaan telah diratakan, dengan prasarana awam turut dimusnahkan termasuk hospital, stesen kuasa dan pam air.
Puluhan ribu penduduk Lebanon yang menetap di kawasan tersebut masih belum dapat pulang ke kediaman masing-masing.
Pertempuran pusingan terbaru antara Hezbollah dengan Israel meletus pada awal Mac, dua hari selepas Amerika dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran.
Menurut Hezbollah, tindakan tersebut diambil sebagai tanda sokongan terhadap Teheran.
Tentera Lebanon mengesahkan unitnya mula ditempatkan di Zawtar al-Gharbiyeh dalam wilayah Nabatieh pada 21 Julai.
Pihak tentera sekali lagi menyeru penduduk supaya tidak memasuki bandar berkenaan sehingga keadaan keselamatan kembali stabil, selain mematuhi arahan unit tentera yang bertugas demi keselamatan masing-masing.
Tentera Israel pada 20 Julai mengesahkan penempatan semula pasukannya sebagai sebahagian daripada program rintis berkenaan.
“Program rintis ini bertindak sebagai ujian terhadap kedaulatan Angkatan Tentera Lebanon di tiga kampung rintis berkenaan, selaku satu-satunya pihak berkuasa rasmi yang dibenarkan memiliki senjata di kawasan itu,” kata seorang pegawai tentera Israel.
Pegawai Israel menyatakan rasa ragu-ragu terhadap keupayaan Lebanon untuk melucutkan senjata Hezbollah, namun Israel melihat perjanjian yang dicapai pada Jun sebagai langkah penting ke arah membina kedamaian jangka panjang dengan Lebanon.
Sementara itu Presiden Lebanon, Encik Joseph Aoun, dijadualkan bertemu Presiden Amerika, Encik Donald Trump, di Washington pada 21 Julai. – Reuters.
