QUETTA (Pakistan): Pasukan keselamatan Pakistan pada 12 Mac menggempur kereta api yang telah dirampas militan pemisah, membunuh kesemua 33 penyerang dan menamatkan kebuntuan selama sehari melibatkan ratusan tebusan, kata tentera.
Sehari sebelum itu, militan pemisah Baloch telah meletupkan landasan kereta api dan melontar roket ke arah Jaffar Express ketika ia dalam perjalanan ke Peshawar di wilayah Khyber Pakhtunkhwa dari ibu kota Balochistan, Quetta, membawa 440 penumpang.
Menurut pihak tentera, 21 tebusan dan empat askar terbunuh dalam operasi tersebut.
“Hari ini kami membebaskan sejumlah besar orang, termasuk wanita dan kanak-kanak... Operasi terakhir dijalankan dengan penuh berhati-hati,” kata jurucakap tentera, Encik Ahmed Sharif Chaudhry.
Sebelum pengumuman tentera, Tentera Pembebasan Baloch (BLA), yang mendakwa melancarkan serangan itu, berkata ia telah membunuh 50 penumpang pada petang 12 Mac.
Ketika melakukan serangan itu, ia mendakwa telah menahan 214 orang, kebanyakannya anggota keselamatan.
Kumpulan itu kemudian mengancam membunuh mereka melainkan pihak berkuasa memenuhi tarikh akhir 48 jam untuk pembebasan tahanan politik Baloch, aktivis dan orang hilang yang dikatakan telah diculik oleh tentera Pakistan.
BLA adalah yang terbesar daripada beberapa kumpulan bersenjata etnik yang memerangi pemerintah di Balochistan, yang bersempadan dengan Afghanistan dan Iran.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, golongan militan telah meningkatkan kegiatan mereka dengan menggunakan taktik baru untuk meragut nyawa, menyebabkan jumlah kecederaan yang tinggi, di samping menyasarkan tentera Pakistan.
Kumpulan militan Baloch berkata mereka telah berjuang untuk mendapatkan bahagian yang lebih besar daripada hasil lombong dan galian di wilayah Balochistan.
Menteri Muda Dalam Negeri, Encik Talal Chaudhry, memberitahu stesen televisyen Geo bahawa militan memakai jaket berani mati ketika mereka duduk dalam kalangan penumpang yang dijadikan tebusan, sekali gus merumitkan operasi menyelamat.
Menurutnya, hingga 70 militan telah merampas kereta api itu.
Tentera menghantar beratus-ratus askar dan turut mengerahkan tentera udara dan pasukan khas bagi menangani militan, kata Encik Chaudhry.
Dalam fasa terakhir operasi, beliau berkata pasukan khas terlebih dahulu menghapuskan pengebom berani mati sebelum anggota lain bergerak dari gerabak ke gerabak untuk membunuh seluruh militan.
Beliau tidak menyatakan bilangan mereka yang diselamatkan dalam fasa operasi itu dan tidak jelas bagaimana atau ke mana penumpang akan dipindahkan. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg