Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tentera selamatkan 155 tebusan dalam rampasan kereta api di Pakistan

Kumpulan bersenjata etnik mengaku bertanggungjawab; ancam bunuh ramai lagi yang dijadi tebusan
Mar 12, 2025 | 2:02 PM
Paramedik merawat mereka yang cedera selepas angkatan tentera Pakistan membebaskan sekitar 80 penumpang dalam operasi melibatkan militan pemisah yang menyerang sebuah kereta api di kawasan pergunungan di Mach, di barat daya Balochistan, pada 11 Mac.
Paramedik merawat mereka yang cedera selepas angkatan tentera Pakistan membebaskan sekitar 80 penumpang dalam operasi melibatkan militan pemisah yang menyerang sebuah kereta api di kawasan pergunungan di Mach, di barat daya Balochistan, pada 11 Mac. - Foto AFP

ISLAMABAD: Tentera Pakistan telah menyelamatkan 155 penumpang dari kereta api yang dirampas oleh militan pemisah di barat daya negara itu, kata sumber keselamatan pada 12 Mac.

Sementara itu, pemerintah berkata operasi sedang dijalankan untuk menyelamatkan berpuluh-puluh lain yang masih dijadikan tebusan.

Militan meletupkan landasan dan melepaskan tembakan ke arah kereta api pada 11 Mac ketika ia dalam perjalanan dari Quetta, ibu kota Balochistan, ke Peshawar di wilayah Khyber Pakhtunkhwa.

Tentera Pembebasan Baloch (BLA), kumpulan bersenjata etnik, mengaku bertanggungjawab atas serangan itu dan mengancam untuk membunuh tebusan melainkan tahanan politik Baloch, aktivis, dan orang hilang yang dikatakan telah diculik oleh tentera tidak dibebaskan dalam tempoh 48 jam.

Militan yang memakai “jaket berani mati” duduk di sebelah beberapa tebusan, kata beberapa sumber yang enggan namanya disiarkan.

Mereka tidak menyatakan bilangan orang yang ditahan tetapi Kementerian Dalam Negeri Pakistan berkata dalam satu kenyataan bahawa operasi sedang dijalankan untuk menyelamatkan penumpang.

BLA berkata pada 11 Mac bahawa ia menahan 214 orang sebagai tebusan, dan sumber keselamatan pula menyatakan terdapat 425 penumpang di dalam kereta api ketika serangan dilancarkan.

Jumlah militan yang terlibat dalam serangan itu tidak jelas.

Sumber keselamatan berkata pada 12 Mac bahawa 27 militan telah terbunuh setakat ini.

BLA adalah yang terbesar daripada beberapa kumpulan bersenjata etnik yang memerangi pemerintah Pakistan di wilayah yang kaya mineral Balochistan, bersempadan dengan Afghanistan dan Iran.

“Orang ramai mula bersembunyi di bawah tempat duduk dalam keadaan panik.

“Militan memisahkan lelaki daripada wanita,” kata Encik Allahditta, penumpang berusia 49 tahun, ketika ditemui di hospital sementara di stesen kereta api di Mach.

Pemandu kereta api, seorang pegawai polis dan tentera terbunuh dalam serangan itu, ujar paramedik, Encik Nazim Farooq, dan pegawai kereta api, Encik Muhammad Aslam.

Pasukan keselamatan telah bertempur selama beberapa dekad dalam pemberontakan di Balochistan yang miskin dan didakwa kumpulan militan sedang dieksploitasi oleh orang luar, dengan kekayaan sumber semula jadinya diselewengkan dengan sedikit manfaat kepada penduduk tempatan.

Tetapi keganasan telah meningkat di kawasan sempadan barat dengan Afghanistan, dari utara ke selatan, sejak Taleban mengambil semula kuasa pemerintahan pada 2021.

Pakistan menuduh pemerintah Taleban di Kabul menawarkan tempat selamat kepada militan untuk merancang serangan. Namun, Taleban menafikan tuduhan itu.

BLA telah melancarkan serangan berskala besar dalam beberapa bulan kebelakangan ini, termasuk mengadang lebuh raya dan mengenal pasti pelancong dari luar wilayah serta menembak mereka.

Militan BLA turut membunuh tujuh pengembara Punjabi pada Februari selepas mereka diarah turun dari bas.

Pada November 2024, BLA mengaku bertanggungjawab atas pengeboman di stesen kereta api utama Quetta yang membunuh 26 orang, termasuk 14 tentera.

Menurut Pusat Penyelidikan dan Kajian Keselamatan, sebuah kumpulan analisis yang berpangkalan di Islamabad, 2024 adalah tahun paling dahsyat dalam hampir sedekad, dengan lebih 1,600 orang terbunuh dalam serangan di Pakistan, kebanyakannya di kawasan sempadan. – AFP, Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg