KHARTOUM: Tentera Sudan dilaporkan berjaya mengambil alih sepenuhnya kawalan ke atas Istana Presiden di ibu kota Khartoum pada 21 Mac, dalam satu pencapaian besar konflik berdarah yang telah berlarutan selama dua tahun dan mengancam memecah belahkan negara itu.
Laporan ini disahkan oleh stesen televisyen nasional Sudan dan sumber-sumber tentera.
Menurut pegawai tentera, Angkatan Bersenjata Sudan kini sedang menjalankan operasi mencari dan menahan anggota pasukan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF) di kawasan sekitar istana. RSF tidak memberikan sebarang kenyataan rasmi setakat ini.
Pada permulaan perang yang meletus pada April 2023, RSF bertindak pantas menguasai istana dan kebanyakan kawasan di Khartoum. Namun, sejak beberapa bulan lalu, Tentera Sudan memulakan kemaraan semula secara berperingkat dengan menguasai kawasan sepanjang Sungai Nil sehingga berjaya menghampiri istana bersejarah itu.
Konflik bermula pada 15 April apabila Angkatan Bersenjata Sudan dan RSF separa tentera bertempur di ibu negara Sudan, Khartoum dan wilayah lain. Pertempuran berlaku di antara ketua tentera Abdel Fattah al-Burhan dan bekas timbalannya Mohamed Hamdan Daglo, yang memerintah RSF.
Seorang pegawai kanan tentera, yang enggan namanya didedahkan, berkata:
“Penawanan Istana Presiden menandakan kejayaan penting dan membuka jalan untuk kami menguasai sepenuhnya kawasan tengah Sudan.”
Sementara itu, RSF yang sebelum ini telah mewujudkan pemerintahan selari di beberapa kawasan, masih mengekalkan pengaruh di bahagian selatan Khartoum, bandar jiran Omdurman, serta wilayah barat Sudan, termasuk Darfur, di mana mereka sedang berusaha menawan kubu terakhir tentera di Al-Fashir.
Penguasaan ibu kota oleh tentera mungkin mempercepatkan pengambilalihan keseluruhan kawasan tengah oleh pasukan tentera, dan secara tidak langsung mengukuhkan garis pemisah timur-barat antara dua kuasa bersenjata utama itu. Kedua-dua pihak telah berikrar untuk terus berjuang dan tiada usaha rundingan damai yang berjaya dimulakan sehingga kini.
Perang ini tercetus berikutan perebutan kuasa antara Angkatan Bersenjata dan RSF menjelang peralihan kuasa kepada pemerintahan awam yang dirancang sebelum ini.
Pertempuran yang berterusan telah membawa kepada krisis kemanusiaan paling besar di dunia menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kelaparan kini melanda beberapa kawasan dan penyakit berjangkit merebak dengan pantas.
Keganasan mengorbankan ribuan orang awam, menyebabkan jutaan hilang tempat tinggal dan memusnahkan banyak infrastruktur negara, terutamanya di Khartoum. Ia juga telah memburukkan lagi masalah ekonomi Sudan.
Kedua-dua pihak saling menuduh antara satu sama lain melakukan jenayah perang, manakala RSF turut dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai. Semua tuduhan ini dinafikan oleh kedua-dua pihak.
Beberapa minggu kebelakangan ini, Istana Presiden menjadi pusat pertempuran sengit apabila RSF berusaha mengekalkan kawalan dengan menempatkan penembak tepat di bangunan sekeliling.
Pemimpinnya, Encik Mohamed Hamdan Dagalo, telah mengarahkan tenteranya supaya tidak menyerah kalah.
Saksi-saksi dan sumber tentera memaklumkan bahawa letupan dan serangan udara berlaku dari malam 19 Mac sehingga ke awal pagi 20 Mac, apabila tentera melancarkan serangan dron ke arah kawasan tengah Khartoum.
Tentera Sudan kekal mempunyai kelebihan dari segi kuasa udara, meskipun RSF dilaporkan semakin cekap menggunakan teknologi dron.
Dalam satu kenyataan menerusi aplikasi Telegram, RSF mendakwa mereka sedang mara ke arah ibu pejabat Angkatan Tentera di pusat Khartoum, dengan saksi melaporkan serangan dari arah selatan bandar itu.
Kemaraan tentera di kawasan tengah Sudan sejak akhir tahun 2024 telah disambut baik oleh ramai penduduk yang sebelum ini diusir keluar oleh RSF. Pasukan itu dituduh melakukan rompakan, pembunuhan sewenang-wenangnya dan merampas kediaman penduduk. RSF menafikan tuduhan itu dan berkata mereka akan mengambil tindakan terhadap pelaku individu.
“Ramai yang kembali ke rumah mereka selepas tentera mara. Kami harap keadaan akan bertambah baik,” kata seorang penduduk Khartoum yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Hawa.
Namun, aktivis di Omdurman melaporkan beberapa insiden rompakan oleh anggota tentera sendiri pada malam 19 Mac. Tentera Sudan menafikan tuduhan tersebut.
“Ini bukan hanya soal kuasa atau strategi ketenteraan, ini soal kehidupan harian rakyat yang tersepit di tengah-tengah perang,” kata aktivis hak asasi, Encik Yasin Abdelrahman.
“Kami mahu keamanan dan kerajaan awam, bukan peluru dan rampasan kuasa,” ujarnya. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg