DARFUR: Di sebalik konflik sejagat yang menarik perhatian dunia seperti perang di Gaza dan Ukraine, Sudan mengalami krisis kemanusiaan terbesar dunia, namun ia kurang mendapat perhatian.
Sejak hampir dua tahun lalu, perang saudara telah menghancurkan negara itu dan kini menyebabkan lebih 25 juta penduduk kebuluran, termasuk 3.2 juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun yang mengalami kekurangan zat makanan penting.
Walaupun angka ini amat mengerikan, Sudan kerap disebut sebagai “perang yang dilupakan” kerana liputan media mengenainya yang terhad.
Keadaan semakin buruk apabila Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menggantung bantuan luar negara selama 90 hari, sekali gus mengancam untuk menjadikan bencana ini lebih parah.
Pada 2019, dunia menyaksikan harapan baru bagi Sudan apabila rakyat bangkit menumbangkan Encik Omar al-Bashir, diktator yang memerintah selama tiga dekad.
Namun, impian sebuah pemerintah awam tidak menjadi kenyataan.
Sebaliknya, dua jeneral tentera, Encik Mohamed Hamdan Daglo dan Encik Abdel Fattah al-Burhan, mengambil alih kuasa dengan janji menyerahkan kepimpinan kepada pentadbiran awam dalam tempoh dua tahun.
Malangnya, pada 2023, perpecahan antara mereka mencetuskan perang saudara yang memusnahkan negara itu sehingga hari ini.
Ketua Tentera Sudan, Encik Burhan, dan mantan timbalannya, Encik Daglo, mengetuai kumpulan sebahagian tentera, Pasukan Sokongan Pantas (RSF).
Ia bukan sahaja bertempur untuk merebut kuasa, malah turut menggunakan kekerasan dan sekatan makanan sebagai senjata terhadap rakyat Sudan sendiri.
Wilayah Darfur, al-Gezira, dan al-Fasher menjadi medan pertempuran paling sengit.
Bantuan kemanusiaan sukar disalurkan, dan ribuan penduduk terperangkap dalam keadaan yang tidak berperikemanusiaan.
Di kem-kem pelarian, keadaan semakin membimbangkan. Kanak-kanak yang baru tiba kelihatan terlalu lemah untuk menangis akibat kekurangan zat makanan yang teruk.
Ramai yang mengalami kekurangan air yang teruk, mengakibatkan keletihan melampau, tekanan darah rendah dan ketidakseimbangan elektrolit dalam badan.
Dalam kes lebih serius, keadaan itu boleh menyebabkan kelemahan otot, gangguan fungsi organ, dan kesukaran bernafas kerana tubuh kekurangan cecair yang diperlukan untuk mengekalkan fungsi normal, termasuk aliran oksigen di dalam darah.
Di Hospital Kanak-Kanak Al-Buluk di Omdurman, seorang doktor sukarelawan, Doctors Without Borders, Dr. Mohammed Fadlalla, mendedahkan keadaan yang semakin meruncing.
“Keadaan di Sudan sangat genting. Kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan teruk tidak dapat melawan jangkitan seperti biasa. Ramai daripada mereka akhirnya mati akibat jangkitan,” katanya.
Kes seperti Ibrahim Jafar, bayi berusia 13 bulan yang dimasukkan ke hospital dalam keadaan genting, menjadi bukti betapa buruknya krisis itu.
Neneknya, Cik Neamat Abubaker, menangis mengenang nasib keluarganya yang terperangkap di al-Gezira tanpa makanan dan air selama berbulan-bulan.
“Tiada makanan langsung. Kadang-kadang, bahkan air pun tidak ada,” katanya dengan penuh keperitan.
Doktor-doktor di hospital itu berusaha sebaik mungkin, tetapi tanpa bantuan kemanusiaan yang mencukupi, nyawa kanak-kanak seperti Ibrahim berada di hujung tanduk.
Salah satu penyumbang utama bantuan makanan ke Sudan adalah Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) dan Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan Amerika Syarikat menjadi penderma terbesar.
Di sebuah gudang WFP di Port Sudan, beribu-ribu guni gandum yang dibiayai oleh Amerika terkumpul tanpa dapat dihantar kepada yang memerlukan.
Masalah birokrasi dan sekatan bantuan oleh pihak bertelagah menjadikan makanan itu sekadar mengumpul debu sementara berjuta-juta rakyat Sudan mati kebuluran.
Kini, keadaan semakin genting dengan keputusan Encik Trump membekukan bantuan luar selama 90 hari.
Pegawai WFP, Cik Leni Kinzli, memberi amaran bahawa kesan tindakan itu boleh menjadi bencana besar bagi Sudan.
“Sekarang bukan masanya untuk mengurangkan dana bantuan. Sekarang masanya untuk meningkatkannya,” kata beliau.
Apabila ditanya sama ada rakyat Sudan mampu menunggu selama 90 hari, beliau menjawab: “Setiap kelewatan bermakna nyawa melayang.”
Menurutnya, apabila bantuan akhirnya tiba, ia mungkin sudah terlewat, dan petugas kemanusiaan akan menggali mayat, bukannya memberi makan kepada mereka yang kelaparan.
Encik Trump telah membawa perubahan besar kepada agensi Amerika yang menguruskan bantuan kemanusiaan ke luar negara, menyebabkan banyak pertubuhan bantuan bimbang sama ada mereka boleh meneruskan program seperti bantuan makanan untuk bayi dan kanak-kanak yang kekurangan zat makanan.
Dalam perintah eksekutif pada 20 Januari, diumumkan bahawa Encik Trump akan menggantung kebanyakan bantuan asing kerana katanya, “industri bantuan luar dan birokrasi Amerika Syarikat tidak selaras dengan kepentingan negara itu dan dalam kebanyakan kes, ia bahkan bertentangan dengan nilai-nilai Amerika”.
Di sebalik semua ini, perang saudara terus memuncak, dengan kedua-dua pihak menggunakan segala bentuk kekejaman.
Pelanggaran hak asasi manusia semakin menjadi-jadi – daripada keganasan seksual, pembunuhan etnik, hingga penggunaan makanan sebagai senjata perang.
RSF dituduh melakukan genosid, manakala tentera Sudan dikaitkan dengan jenayah perang lain.
Keadaan di Sudan membuktikan bahawa perang bukan sahaja membunuh dengan senjata, bahkan juga dengan kebuluran, keperitan, dan dunia yang tidak ambil peduli, ujar Cik Kinzli.
Ketika masyarakat antarabangsa memberi tumpuan kepada konflik besar seperti Gaza dan Ukraine, Sudan terus mengalami penderitaan tanpa perhatian.
Untuk menyelamatkan Sudan, dunia perlu bertindak segera.
Bantuan perlu dipercepat, tekanan diplomatik harus diperhebat, dan rakyat Sudan tidak boleh dibiarkan berjuang sendirian.
Setiap hari yang berlalu tanpa tindakan hanya bermaka satu lagi hari adanya nyawa yang tidak dapat diselamatkan.
“Kami tidak mahukan keajaiban, kami hanya mahu makanan untuk anak-anak kami dan keamanan untuk hidup,” ujar seorang ibu di kem pelarian Darfur. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg