Topik diikuti
Pergi ke BHkuTerselamat sembilan hari dalam terowong, pekerja Nepal kembali ke pangkuan keluarga
Terselamat sembilan hari dalam terowong, pekerja Nepal kembali ke pangkuan keluarga
TILATHI KOILADI (Nepal): Selepas terperangkap selama sembilan hari dalam terowong stesen janakuasa hidro dan kemudian dirawat di hospital, Encik Sanjay Sah akhirnya pulang ke kampung halamannya pada Ahad, hampir tiga minggu selepas bencana glasier runtuh yang mengorbankan lebih 1,400 orang di Nepal.
Kepulangan pekerja berusia 30 tahun itu ke Tilathi Koiladi, berhampiran sempadan India, disambut dengan tangisan kegembiraan oleh keluarga dan penduduk kampung.
“Saya terperangkap dalam terowong. Di bilik hospital pun saya rasa seperti terperangkap. Akhirnya, saya rasa bebas di sini, di kampung saya,” katanya.
Kira-kira 60 penduduk, kebanyakannya wanita, menunggu kepulangannya.
Ibu bapa, bapa saudara, isteri dan anak perempuannya menyambut beliau dengan upacara tradisional, termasuk membasuh kakinya sebagai sebahagian daripada ritual penyucian.
Ibunya kemudian meletakkan tanda tika berwarna merah jambu pada dahinya sebelum kedua-duanya berpelukan dan menangis.
“Anakku!” jerit ibunya sambil memeluk dan mencium pipinya.
Namun, kegembiraan itu bercampur kesedihan kerana ramai penduduk kampung masih menunggu berita mengenai anggota keluarga mereka yang hilang ketika bekerja di stesen janakuasa hidro yang dilanda banjir.
Encik Sah merupakan penyelia mekanikal di Stesen Janakuasa Hidro Upper Trishuli 3A ketika bencana melanda pada 26 Ogos.
Banjir besar tercetus selepas runtuhan glasier di kawasan pergunungan berhampiran sempadan China-Nepal melepaskan arus deras lumpur dan air yang merempuh lembah Himalaya.
Bencana itu meragut sekurang-kurangnya 1,429 nyawa dan menyebabkan lebih 5,640 orang masih hilang, kebanyakannya di Nepal.
Ratusan pekerja di beberapa projek janakuasa hidro turut terperangkap, dengan kira-kira 900 pekerja masih belum ditemukan.
Encik Sah merupakan antara segelintir mangsa yang ditemukan hidup dalam terowong yang tertimbus jauh di bawah gunung.
Beliau berkata pekerja menerima amaran mengenai banjir yang sedang menuju ke kawasan mereka, tetapi tidak mempunyai masa mencukupi untuk menyelamatkan diri.
“Saya sedang bertugas apabila tiba-tiba banjir yang tidak dapat dibayangkan melanda kami, dengan ombak seperti tsunami setinggi beberapa meter,” katanya.
“Kami memang menerima maklumat supaya berjaga-jaga kerana banjir besar sedang datang. Sedaya upaya, kami cuba berjaga-jaga dan memindahkan rakan-rakan.
“Tetapi air tidak memberikan kami banyak masa.”
Dalam beberapa minit, air deras membanjiri terowong dan memisahkan Encik Sah daripada kebanyakan rakannya.
Terperangkap dalam kegelapan tanpa makanan dan air bersih, beliau hilang jejak masa.
Untuk terus hidup, Encik Sah meminum air banjir yang berlumpur serta air yang meresap daripada batu gunung.
“Ada air, tetapi ia berlumpur. Itu sahaja yang saya ada,” katanya.
Beliau berkata pegangan agamanya memberinya kekuatan untuk terus bertahan.
“Saya terselamat kerana kepercayaan dan keyakinan yang mendalam,” katanya.
Beliau terus membaca Maha Mantra, doa dalam agama Hindu, sepanjang berada dalam terowong.
“Saya tidak berasa takut atau berputus asa. Saya mampu terus bertahan di situ,” katanya.
Encik Sah juga tidak bersendirian sepenuhnya.
Seorang lagi pekerja, Encik Kabir Maharjan, 45 tahun, turut terperangkap berhampiran.
Walaupun terpisah, mereka masih dapat bercakap antara satu sama lain.
Suara rakannya itu membantu Encik Sah bertahan sehingga pasukan penyelamat akhirnya berjaya menembusi timbunan dan menemui mereka.
Apabila diselamatkan pada 4 September, soalan pertamanya kepada anggota penyelamat ialah berapa lama beliau sudah terperangkap.
“Dia berkata sudah sembilan hari. Saya fikir baru beberapa hari,” katanya.
Seorang pekerja China turut ditemukan hidup pada 5 September, sehari selepas Encik Sah diselamatkan. Sejak itu, pasukan penyelamat belum melaporkan tanda kehidupan lain dari terowong berkenaan.
Isterinya, Cik Lakshmi Kumari Sah, berkata beliau tidak pernah berputus asa berharap suaminya akan ditemukan hidup.
“Tuhan membantu kami. Kami terus berharap,” katanya sambil mendukung anak perempuan mereka.
Encik Sah berkata pengalaman itu memberinya perasaan bercampur-baur.
“Saya gembira, tetapi saya juga sedih. Saya seperti mendapat kehidupan kedua kerana dapat terselamat. Tetapi ramai rakan kami berada di sana,” katanya.
Beliau menggesa pemerintah Nepal supaya meneruskan operasi mencari dan menyelamat kerana percaya masih ada kemungkinan mangsa lain ditemukan hidup.
Sekiranya mereka sudah meninggal dunia, katanya, mayat mereka sekurang-kurangnya perlu ditemukan dan diserahkan kepada keluarga masing-masing.
Buat masa ini, Encik Sah mahu berehat di kampung dan meluangkan masa bersama keluarganya.
“Saya akan tinggal di kampung untuk beberapa waktu. Saya mahu bertemu semua orang di sini,” katanya.
Namun, selepas terselamat daripada pengalaman yang hampir meragut nyawanya, Encik Sah berkata beliau masih bersedia kembali bekerja.
“Jika saya dipanggil kembali bertugas, saya akan pergi.” - Agensi berita
