Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Thailand akan haramkan semula ganja jelang akhir 2024

May 9, 2024 | 1:34 PM
Perdana Menteri Thailand, Encik Srettha Thavisin, mengarahkan kementerian kesihatan negara itu supaya menyenaraikan ganja sebagai dadah dan digunakan hanya untuk tujuan kesihatan dan perubatan.
Perdana Menteri Thailand, Encik Srettha Thavisin, mengarahkan kementerian kesihatan negara itu supaya menyenaraikan ganja sebagai dadah dan digunakan hanya untuk tujuan kesihatan dan perubatan. - Foto REUTERS

BANGKOK: Thailand akan menyenaraikan semula ganja sebagai dadah menjelang akhir 2024, kata Perdana Menteri Thailand, Encik Srettha Thavisin, pada 8 Mei.

Pengumuman itu disifatkan sebagai berpatah balik hanya dua tahun selepas menjadi salah sebuah negara pertama di Asia yang tidak mengharamkan penggunaannya.

Langkah baru itu berlaku walaupun sektor runcit domestik untuk ganja berkembang pesat, dengan puluhan ribu kedai dan perniagaan muncul di Thailand dalam dua tahun lalu, yang diunjurkan bernilai sehingga AS$1.2 bilion ($1.63 bilion) menjelang 2025.

“Saya mahu kementerian kesihatan meminda peraturan dan menyenaraikan semula ganja sebagai narkotik,” kata Encik Srettha di platform media sosial X.

“Kementerian (kesihatan) perlu segera mengeluarkan peraturan untuk membenarkan penggunaannya bagi tujuan kesihatan dan perubatan sahaja,” katanya.

Ganja telah dibenarkan untuk kegunaan perubatan pada 2018 dan penggunaan riadah pada 2022 di bawah kerajaan terdahulu.

Namun, pengkritik mengatakan liberalisasinya telah disegerakan, menyebabkan kekeliruan besar tentang perintah dan peraturannya.

Kenyataan Encik Srettha dibuat semasa pertemuan dengan agensi yang terlibat dalam penindasan narkotik.

Beliau berikrar mengambil pendirian tegas terhadap dadah terlarang dan mengarahkan pihak berkuasa supaya menyampaikan keputusan dan menunjukkan “kemajuan yang jelas” dalam 90 hari akan datang.

“Dadah adalah masalah yang memusnahkan masa depan negara, ramai anak muda ketagih. Kita harus bertindak segera, rampas aset (pengedar dadah) dan luaskan rawatan,” katanya.

Beliau turut meminta pihak berkuasa mentakrifkan semula apa yang dimaksudkan dengan pemilikan dadah di bawah undang-undang, daripada “jumlah kecil” kepada “satu pil”, untuk membolehkan penguatkuasaan lebih ketat oleh pihak berkuasa.

Kerajaan Encik Srettha sebelum ini berkata, ia mahu menolak undang-undang ganja menjelang akhir 2024, yang akan mengharamkan ganja riadah dan membenarkan penggunaannya untuk tujuan perubatan dan kesihatan sahaja.

Bagaimanapun, masih belum jelas dengan segera bila ganja akan disenaraikan semula sebagai narkotik atau proses apa yang mesti dilakukan terlebih dahulu. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg