Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Thailand bebaskan 18 askar Kemboja di bawah gencatan senjata kedua konflik sempadan

Dec 31, 2025 | 12:27 PM
Seorang anggota tentera Kemboja yang ditawan oleh tentera Thailand pada Julai lalu tersenyum selepas dibebaskan ketika berjalan di sebuah pusat pemeriksaan di sepanjang sempadan Thailand, di wilayah Pailin, Kemboja, pada 31 Disember 2025. Thailand pada 31 Disember membebaskan 18 anggota tentera Kemboja yang ditawan pada Julai, menurut kenyataan kedua-dua kerajaan, selepas gencatan senjata baharu antara negara jiran itu bertahan lebih daripada tiga hari susulan beberapa minggu pertempuran maut di kawasan sempadan.
Seorang anggota tentera Kemboja yang ditawan oleh tentera Thailand pada Julai lalu tersenyum selepas dibebaskan ketika berjalan di sebuah pusat pemeriksaan di sepanjang sempadan Thailand, di wilayah Pailin, Kemboja, pada 31 Disember 2025. Thailand pada 31 Disember membebaskan 18 anggota tentera Kemboja yang ditawan pada Julai, menurut kenyataan kedua-dua kerajaan, selepas gencatan senjata baharu antara negara jiran itu bertahan lebih daripada tiga hari susulan beberapa minggu pertempuran maut di kawasan sempadan. - Foto AFP

BANGKOK/PHNOM PENH: Thailand pada 31 Disember membebaskan 18 anggota tentera Kemboja yang ditahan sejak Julai lalu, di bawah pelaksanaan gencatan senjata baru yang dipersetujui kedua-dua negara pada 27 Disember lalu bagi menamatkan konflik bersenjata di sepanjang sempadan, menurut kenyataan pihak berkuasa Thailand dan Kemboja.

Pembebasan itu dibuat selepas Thailand dan Kemboja mencapai persetujuan gencatan senjata yang berkuat kuasa pada tengah hari 27 Disember, sekali gus menghentikan pertempuran selama 20 hari yang mengorbankan sekurang-kurangnya 101 nyawa dan memaksa lebih setengah juta penduduk di kedua-dua negara berpindah. Pertempuran tersebut melibatkan penggunaan jet pejuang, tembakan roket dan bedilan artileri.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Cik Maly Socheata, berkata kesemua askar tersebut diserahkan di sebuah pusat pemeriksaan sempadan pada jam 10 pagi waktu tempatan pada 31 Disember, selepas ditahan selama 155 hari oleh pihak Thailand. “Pembebasan ini berlaku hasil pelaksanaan perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui kedua-dua pihak,” katanya.

Kementerian Luar Thailand pula menegaskan bahawa kesemua anggota tentera Kemboja telah dilayan “selaras dengan undang-undang dan prinsip kemanusiaan antarabangsa” sepanjang tempoh tahanan mereka.

Pembebasan itu sepatutnya dilaksanakan pada 30 Disember, namun Thailand menangguhkan proses tersebut susulan dakwaan berlakunya pelanggaran perjanjian gencatan senjata oleh pihak Kemboja, dakwaan yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh Phnom Penh.

Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Encik Nikorndej Balankura, berkata Bangkok menilai semula masa pembebasan askar berkenaan selepas pihak tentera Thailand mengesan pencerobohan dron dari Kemboja ke ruang udara Thailand pada malam 28 Disember.

“Pertimbangan mengenai tarikh dan masa pembebasan bergantung kepada aspek keselamatan,” katanya dalam satu sidang media, sambil menambah bahawa proses penyerahan itu “boleh berlaku dalam masa terdekat”.

Kemboja bagaimanapun menolak dakwaan penggunaan dron tersebut dan mengeluarkan perintah larangan penggunaan dron di seluruh negara pada lewat 29 Disember.

Ketegangan sempadan antara Thailand dan Kemboja kembali memuncak awal bulan Disember selepas kegagalan satu perjanjian gencatan senjata terdahulu yang dimeterai pada Julai lalu dengan bantuan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dan Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim.

Di bawah perjanjian baru yang ditandatangani oleh menteri pertahanan kedua-dua negara pada 28 Disember itu, Thailand bersetuju untuk membebaskan 18 askar Kemboja sekiranya gencatan senjata kekal selama 72 jam, satu tempoh yang dianggap penting untuk membina asas keamanan yang lebih berkekalan.

Gencatan senjata itu melepasi tempoh 72 jam pada 30 Disember, sekali gus membuka laluan kepada pembebasan askar berkenaan, walaupun terdapat ketegangan susulan dakwaan pencerobohan dron.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Luar Thailand turut menghantar bantahan rasmi kepada Kemboja selepas seorang anggota tentera Thailand kehilangan anggota badan akibat letupan periuk api di kawasan sempadan pada 29 Disember. Insiden periuk api dikenal pasti sebagai antara pencetus utama kepada pusingan pertempuran terbaru antara kedua-dua negara.

China turut memainkan peranan diplomatik dalam meredakan ketegangan, apabila Menteri Luar China menjadi tuan rumah kepada rundingan selama dua hari dengan rakan sejawatnya dari Thailand dan Kemboja. Rundingan tersebut menghasilkan persetujuan pada Isnin untuk membina semula kepercayaan bersama dan secara berperingkat mengukuhkan pelaksanaan gencatan senjata.

Menteri Luar Thailand, Encik Sihasak Phuangketkeow, sebelum ini mengingatkan bahawa gencatan senjata berkenaan masih rapuh dan memerlukan komitmen penuh kedua-dua pihak.“Gencatan senjata ini baru sahaja dipersetujui, jadi ia masih rapuh,” katanya kepada wartawan pada 30 Disember.
“Kita perlu mengelakkan sebarang provokasi atau tindakan yang boleh menjejaskan gencatan senjata,” katanya lagi. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg