Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Thailand, Kemboja tandatangan gencatan senjata kedua

Dec 27, 2025 | 6:37 PM
Thailand, Cambodia, ceasefire
Menteri Pertahanan Kemboja, Encik Tea Seiha (kiri), dan Menteri Pertahanan Thailand, Encik Nattaphon Narkphanit, bergambar bersama dokumen semasa mesyuarat khas Jawatankuasa Sempadan Am pada 27 Disember. - Foto AFP

BANGKOK: Thailand dan Kemboja pada 27 Disember bersetuju untuk menghentikan pertempuran sengit selama berminggu di sempadan selepas pertempuran terburuk dalam beberapa tahun antara kedua-dua negara Asia Tenggara itu. 

Pertempuran tersebut melibatkan serangan jet pejuang, tembakan roket dan serangan artileri.

Gencatan senjata kedua yang ditandatangani dalam tempoh beberapa bulan itu bermula pada 12 tengah hari waktu tempatan (1 petang waktu Singapura).

Menteri pertahanan kedua-dua negara, dalam satu kenyataan bersama, berkata:

“Kedua-dua pihak bersetuju untuk mengekalkan pengerahan tentera sedia ada tanpa sebarang pergerakan lanjut.

“Sebarang penambahan tentera boleh meningkatkan ketegangan dan menjejaskan usaha jangka panjang untuk menyelesaikan situasi ini.”

Kenyataan tersebut telah dimuat naik di media sosial oleh Kementerian Pertahanan Kemboja.

Perjanjian yang ditandatangani Menteri Pertahanan Thailand, Encik Natthaphon Nakrphanit, dan rakan sejawatnya dari Kemboja, Encik Tea Seiha, menamatkan 20 hari pertempuran yang meragut sekurang-kurangnya 101 nyawa dan memaksa lebih setengah juta orang berpindah.

Pertempuran tersebut kembali memuncak pada awal Disember selepas gencatan senjata terdahulu gagal dipatuhi – gencatan senjata yang dicapai dengan penglibatan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menghentikan pusingan pertempuran sebelumnya.

Selama lebih satu abad, Thailand dan Kemboja menuntut kedaulatan di beberapa kawasan sempadan sepanjang 817 kilometer yang tidak ditetapkan sempadannya – pertikaian ini kadangkala meletus menjadi pertempuran kecil mahupun besar.

Gencatan senjata terbaru akan dipantau oleh pasukan pemerhati dari blok serantau Asean serta melalui koordinasi langsung antara kedua-dua negara, kata Encik Natthaphon.

Kedua-dua negara itu anggota Asean.

Encik Natthaphon berkata: “Pada masa yang sama, di peringkat dasar, akan ada komunikasi langsung antara menteri pertahanan dan ketua angkatan tentera kedua-dua pihak.”

Ketegangan yang berlarutan antara kedua-dua negara memuncak pada Julai 2025, meletus dalam pertempuran sepanjang lima hari di beberapa bahagian sempadan.

Sekurang-kurangnya 48 orang terbunuh dan 300,000 orang terpaksa berpindah sebelum Encik Trump campur tangan untuk membantu dalam gencatan senjata.

Gencatan senjata itu gagal dipatuhi pada awal Disember selepas kedua-dua pihak saling menuduh antara satu sama lain melakukan tindakan yang membawa kepada pertempuran.

Sejak konflik bermula semula, kedua-dua Datuk Seri Anwar, yang merupakan pengerusi Asean, dan Encik Trump gagal memeterai gencatan senjata baru, apabila pertempuran merebak dari hutan berhampiran Laos ke pantai Teluk Thailand.

Rundingan semula diadakan selepas mesyuarat khas pada 22 Disember di Kuala Lumpur, diikuti tiga hari rundingan di pusat pemeriksaan sempadan, di mana kedua-dua menteri pertahanan bertemu pada 27 Disember. 

Dalam kenyataan bersama, mereka bersetuju memulangkan penduduk yang terpaksa berpindah dan menekankan tiada keganasan terhadap orang awam.

Thailand juga akan memulangkan 18 tentera Kemboja yang berada dalam tahanan sejak pertempuran Julai jika gencatan senjata dipatuhi sepenuhnya selama 72 jam.

Bagaimanapun, perjanjian terbaru itu tidak menjejaskan kegiatan penentuan sempadan yang sedang dijalankan, dan penyelesaian kawasan pertikaian tetap bergantung kepada mekanisme dua hala sedia ada.

Ketua Udara Thailand, Marshal Udara Prapas Sornjaidee, berkata:

“Perang dan pertempuran tidak membuatkan kedua-dua negara atau rakyatnya bahagia. Saya ingin menekankan bahawa rakyat Thailand dan rakyat Kemboja tidak berada dalam konflik antara satu sama lain.” – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg