BANGKOK: Thailand telah mencadangkan satu rang undang-undang baru yang bertujuan mengawal industri ganja negara itu dan mengehadkan penggunaan ganja hanya untuk tujuan perubatan dan kesihatan.
Usul itu adalah langkah terkini kerajaan untuk mengawal penggunaan ganja untuk tujuan riadah selepas beberapa kali dasar berkaitan ganja diubah.
Menurut rang undang-undang tersebut, kanabis dan ekstraknya hanya dibenarkan untuk rawatan perubatan dan penyelidikan oleh agensi kerajaan, serta penggunaannya dalam produk herba, makanan, dan kosmetik.
Rang undang-undang itu diterbitkan antara 16 September dengan 18 September oleh Kementerian Kesihatan Awam, hanya beberapa hari selepas pentadbiran baharu Perdana Menteri, Cik Paetongtarn Shinawatra, mengambil alih tampuk pemerintahan, lapor Bloomberg.
Berbanding dengan usaha kerajaan terdahulu untuk mengawal industri itu, rang undang-undang baru dilihat lebih ‘lembut’.
Sebagai contoh, ia tidak lagi mengandungi klausa yang secara jelas mengharamkan penggunaan kanabis untuk tujuan riadah, yang pernah dicadangkan oleh pentadbiran bekas perdana menteri, Encik Srettha Thavisin.
Pindaan itu juga bermakna kerajaan baru telah meninggalkan usaha untuk mengklasifikasikan semula ganja sebagai “narkotik”.
Namun sesiapa yang menggunakan kanabis atau ekstraknya untuk tujuan yang tidak dinyatakan dalam rang undang-undang akan dikenakan denda sehingga 60,000 baht ($2,340).
Penjual ganja atau produk yang mengandungi ganja untuk kegunaan yang tidak dibenarkan pula boleh berdepan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda 100,000 baht atau kedua-duanya sekali.
Peraturan itu mungkin menghalang penggunaan bebas ganja di negara Asia Tenggara itu, yang menjadi negara pertama di Asia yang tidak menjadikan tumbuhan tersebut sebagai satu bentuk jenayah pada 2022.
Ketiadaan kawalan undang-undang yang jelas telah membolehkan lebih 9,400 kedai ganja dibuka di seluruh negara, termasuk di kawasan pelancongan popular dan daerah perniagaan di Bangkok.
Ketersediaan mudah ganja itu telah menjadi isu hangat politik semasa pilihan raya umum pada 2023.
Parti Pheu Thai yang memerintah telah berjanji untuk mengklasifikasikan semula ganja sebagai narkotik dan mengehadkan penggunaannya kepada tujuan perubatan sahaja, disebabkan kebimbangan mengenai ketagihan.
Namun, tentangan Parti Bhumjaithai, parti kedua terbesar dalam gabungan kerajaan, memaksa Parti Pheu Thai menarik balik janji tersebut dan mengekalkan status ganja sebagai tumbuhan yang sah di sisi undang-undang.
Rang undang-undang itu juga mencadangkan peraturan lebih ketat mengenai penanaman, penjualan, eksport dan import kanabis.
Pengusaha yang terlibat dalam industri itu perlu memiliki lesen atau permit yang sah atau mereka akan berdepan hukuman penjara atau denda yang berat.
Walaupun rang undang-undang itu dilihat sebagai langkah yang lebih mesra terhadap industri kanabis, ia masih mungkin menjadi cabaran kepatuhan bagi para penanam, dispensari dan syarikat yang menjual produk berasaskan kanabis di seluruh Thailand.
Produk yang dijual seperti bunga kanabis, minyak ekstrak, gula-gula infusi ganja, dan kuih-muih yang dijual mesti mematuhi undang-undang semasa yang menetapkan bahawa produk tersebut tidak boleh mengandungi lebih daripada 0.2 peratus tetrahydrocannabinol (THC) iaitu sebatian yang menyebabkan kesan rasa khayal.
Aktivis prokanabis, Encik Prasitchai Nunual, menyambut baik beberapa elemen dalam rang undang-undang tersebut, tetapi menyuarakan kebimbangan ia masih memerlukan pengawasan daripada pengamal perubatan berlesen.
“Rang undang-undang ini memberi ruang yang lebih luas kepada penggunaan kanabis, tetapi ia masih tertakluk kepada izin pengamal perubatan. Ia sepatutnya mengatakan bahawa penggunaannya tidak boleh menjejas hak orang lain,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Orang awam dan pemegang taruhan dalam industri mempunyai masa sehingga 30 September untuk memberi maklum balas terhadap rang undang-undang itu sebelum ia dihantar kepada Kabinet dan seterusnya ke Parlimen untuk diluluskan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg