Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Thailand cadang jualan ganja dihadkan kepada tujuan perubatan sahaja

Jun 26, 2025 | 5:18 PM
Orang ramai berjalan melepasi premis penjualan ganja Mary Jane di Bangkok pada 23 Mei 2025.
Orang ramai berjalan melepasi premis penjualan ganja Mary Jane di Bangkok pada 23 Mei 2025. - Foto AFP

BANGKOK: Pemilik kedai ganja dan aktivis Thailand pada 26 Jun menyuarakan bantahan terhadap rancangan kerajaan untuk mengetatkan peraturan penjualan ganja dengan mewajibkan kelulusan doktor, tiga tahun selepas ganja dikeluarkan daripada senarai bahan terlarang.

Thailand menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang membatalkan status jenayah terhadap ganja apabila mengeluarkannya daripada senarai narkotik terlarang pada Jun 2022. Matlamat asal adalah untuk membenarkan jualan bagi tujuan perubatan dan bukan rekreasi, namun langkah ini telah menyebabkan ratusan premis penjualan ganja dibuka di seluruh negara, terutamanya di Bangkok.

Walaupun peraturan longgar ini popular di kalangan pelancong, terdapat kebimbangan bahawa industri ini kekurangan kawalan yang betul. Menteri Kesihatan, Encik Somsak Thepsuthin, menandatangani satu perintah akhir 24 Jun lalu yang menetapkan agar doktor hadir di tapak untuk meluluskan penjualan ganja atas alasan perubatan.

Peraturan baharu ini hanya akan berkuat kuasa selepas diterbitkan dalam Warta Diraja, namun tiada tarikh diumumkan.

Encik Thanatat Chotiwong, seorang aktivis dan pemilik kedai ganja, berkata adalah tidak adil untuk merombak peraturan secara tiba-tiba terhadap satu sektor yang sudah kukuh:
“Ini adalah industri sepenuhnya bukan sekadar penanam jual bunga. Ia melibatkan pembekal lampu, pasukan pembinaan, petani, pembangun tanah dan baja, serta penyelidikan R&D serius. Kami telah labur jutaan baht untuk rumah hijau dan infrastruktur. Tiba-tiba, kerajaan campur tangan untuk tutup semuanya.”

Beliau mencadangkan agar kerajaan sebaliknya mewujudkan sistem cukai dan kawal selia yang betul, supaya hasilnya dapat dikembalikan kepada masyarakat secara bermakna.

Kerajaan pernah mengumumkan rancangan untuk mengawal semula ganja sebelum ini termasuk undang-undang pada Februari 2024 tetapi tiada tindakan konkrit dilaksanakan. Di bawah peraturan baru, ganja hanya boleh dijual atas preskripsi dan pengawasan profesional berlesen seperti doktor perubatan, doktor perubatan tradisional Thailand, pengamal perubatan rakyat atau doktor gigi.

“Begini caranya: pelanggan datang, nyatakan simptom, dan doktor tentukan berapa gram ganja sesuai dan strain mana yang hendak diberikan,” kata Encik Kajkanit Sakdisubha, pemilik The Dispensary di Bangkok. “Pilihan bukan ditentukan pelanggan seperti memilih menu di restoran lagi.”

Beliau turut memberi amaran bahawa banyak kedai ganja yang dibuka selepas penghapusan jenayah ganja tidak mampu menyesuaikan diri dengan perubahan ini. “Hakikatnya ialah terlalu sedikit doktor tersedia. Banyak usahawan tahu peraturan akan datang, tetapi tidak pasti bila,” tambahnya.

Sementara menunggu peraturan baru berkuat kuasa, The Dispensary menghentikan penjualan ganja sebagai langkah berjaga-jaga, kata pengurus kedai Bukoree Make. “Pelanggan sendiri tidak pasti sama ada apa yang mereka lakukan sah atau tidak. Saya terima banyak pertanyaan,” kata jurujual Encik Poramat Jaikla.

Langkah pelaksanaan ganja ini diumumkan ketika kerajaan di bawah Parti Pheu Thai yang dipimpin Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra sedang rapuh selepas sekutu utama mereka, Bhumjaithai, menarik diri.

Walaupun bersifat konservatif, Bhumjaithai menyokong undang-undang ganja yang lebih liberal dan menyerahkan sokongan kepada kerajaan bulan ini selepas konflik melibatkan panggilan telefon antara Paetongtarn dan bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen. - AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg