BANGKOK: Thailand merancang untuk menyekat akses mudah kepada ganja dengan mewajibkan preskripsi perubatan, susulan peningkatan kes pelancong cuba menyeludup keluar ganja dalam jumlah besar.
Apabila pindaan peraturan berkuat kuasa dalam sekitar 40 hari, kedai ganja hanya dibenarkan menjual kepada individu yang memiliki lesen atau preskripsi daripada pengamal perubatan, termasuk pengamal perubatan tradisional. Jualan juga akan dihadkan kepada bekalan bagi 30 hari, menurut Kementerian Kesihatan Awam Thailand.
Peraturan baru ini akan dikenakan kepada penduduk tempatan dan warga asing. Ia diumumkan selepas pihak berkuasa Thai memintas 73 kilogram ganja di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok, awal minggu ini.
Menteri Kesihatan Awam, Encik Somsak Thepsuthin, berkata ganja yang diseludup keluar dari Thailand telah sampai ke Britain, India, Pakistan, Hong Kong dan pelbagai negara lain.
Beliau menegaskan bahawa akses kepada ganja akan diperketat dan hanya dibenarkan bagi tujuan perubatan.
Thailand merupakan negara pertama di Asia yang menghapuskan status jenayah ke atas ganja pada 2022.
Namun, ketiadaan undang-undang khusus menyebabkan lebih 10,700 kedai ganja dibuka di seluruh negara, termasuk di kawasan tumpuan pelancong dan perniagaan.
Isu ganja rekreasi turut mencetuskan kebimbangan masyarakat terhadap ketagihan, menyebabkan kerajaan membuat beberapa perubahan dasar.
Parti pemerintah, Pheu Thai, sebelum ini berjanji untuk menyenaraikan semula ganja sebagai dadah terlarang, tetapi tentangan daripada parti gabungan Bhumjaithai menyebabkan hasrat itu dibatalkan.
Walaupun ganja boleh digunakan di dalam Thailand, ia sering diseludup keluar melalui bagasi pelancong atau penghantaran pos.
Sejak kerjasama antara pihak berkuasa Britain dan Thailand pada 2024, lebih 50 rakyat Britain ditahan di Thailand kerana cuba menyeludup ganja.
Lebih 800 penyeludup telah dipintas, dengan lebih sembilan tan ganja dirampas.
Peraturan baru ini dijangka bersifat sementara kerana Thailand masih mengusahakan Rang Undang-Undang Ganja untuk mengawal penggunaan, penjualan, eksport dan pengeluaran ganja secara menyeluruh.
Rang Undang-Undang itu diumumkan pada September, namun belum dibentang di Parlimen.
“Rang Undang-Undang Ganja sedang dalam proses, tapi tidak dapat disiapkan dengan cepat. Mungkin ambil masa sekitar dua tahun untuk siap sepenuhnya,” kata Encik Somsak. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg