BANGKOK: Thailand menghidupkan semula rancangan mega membina koridor logistik rentas semenanjung bernilai 1 trilion baht ($39.2 bilion) bagi menghubungkan Laut Andaman dan Teluk Thailand dalam usaha mengurangkan kebergantungan pada Selat Melaka.

Projek yang dikenali sebagai ‘Jambatan Darat’ itu diusul selepas perang Iran serta penutupan Selat Hormuz baru-baru ini, yang menimbulkan kebimbangan mengenai pergantungan dunia terhadap laluan maritim strategik.

Kerajaan Thailand merancang membina dua pelabuhan laut baharu di Chumphon di timur dan Ranong di pantai Andaman di barat, disambung melalui jaringan kereta api dan lebuh raya sepanjang kira-kira 90 kilometer.

Namun, projek tersebut mula mencetuskan kebimbangan dalam kalangan nelayan dan petani tempatan yang bimbang mata pencarian mereka bakal terjejas.

Seorang nelayan di Ranong, Encik Chaiyaporn Arunrasamee, berkata beliau menolak projek itu kerana kawasan yang bakal dibangunkan merupakan sumber rezeki utama penduduk setempat.

“Secara peribadi saya langsung tidak mahu projek ini berlaku,” katanya ketika berada di perkampungan nelayan, Baan Hat Sai Dam.

“Tempat ini kawasan kami mencari rezeki. Kalau projek ini dibina, ke mana kami mahu pergi?” ujarnya.

Menurut dokumen pemerintah Thailand yang dilihat agensi berita, Reuters, koridor tersebut dijangka mampu mengurangkan kos logistik hampir 30 peratus dan memendekkan masa penghantaran sehingga 14 hari bagi kargo antara selatan China dengan Lautan Hindi yang menghubungkan Asia Selatan serta Timur Tengah.

Di tengah projek itu ialah pembinaan laluan kereta api standard yang mampu mengendalikan sehingga 20 juta TEU setahun.

TEU merujuk kapasiti kontena standard sepanjang 20 kaki yang digunakan dalam industri perkapalan.

Koridor itu juga akan disokong jaringan lebuh raya pelbagai lorong dan rel tambahan yang dihubungkan dengan rangkaian pengangkutan nasional Thailand.

Ketua Pengarah Pejabat Dasar, Perancangan Pengangkutan dan Trafik Thailand, Dr Jiraroth Sukolrat, berkata Bangkok mahu menarik sebahagian pasaran penghantaran transit yang kini tertumpu di pelabuhan sekitar Selat Melaka termasuk Singapura.

“Kami mahu mendapatkan sebahagian daripada 80 peratus pasaran penghantaran transit ini, khususnya segmen kapal pengangkut bersaiz sederhana,” katanya.

Menurut kerajaan Thailand, penghantaran kargo dari Teluk Thailand ke Laut Andaman melalui koridor darat itu berpotensi mencecah sekitar 10 peratus lebih murah dan enam hari lebih pantas berbanding laluan melalui Singapura kerana kesesakannya lebih rendah.

Bagaimanapun, beberapa penganalisis berkata projek tersebut masih berdepan cabaran besar termasuk kos tinggi, logistik rumit serta kesukaran menarik pelabur utama.

Penyelidik Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Eugene Mark, berkata projek itu mungkin sukar menyaingi Selat Melaka sebagai laluan perdagangan utama dunia.

“Buat masa ini projek ini kelihatan sangat bercita-cita tinggi dari sudut ekonomi,” katanya.

Namun beliau berkata, koridor tersebut mungkin lebih realistik jika dibangunkan sebagai aset strategik berskala kecil untuk memperkukuh keselamatan tenaga dan eksport Thailand sendiri.

Menurut Dr Mark, antara cabaran utama ialah meyakinkan syarikat perkapalan supaya sanggup memunggah kargo, mengangkutnya melalui darat dan memuatkannya semula ke kapal lain.

“Membuktikan model pengendalian berganda ini benar-benar mampu bersaing dengan laluan lancar melalui Selat Melaka masih menjadi cabaran besar,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa Thailand perlu berhati-hati dalam mengimbangi kepentingan geopolitik kuasa besar.

“Thailand perlu mengelakkan projek ini daripada menjadi titik ketegangan geopolitik,” katanya.

Beliau berkata syarikat milik negara China mungkin tidak akan melabur secara besar-besaran kecuali diberi pengaruh operasi yang kuat, sesuatu yang boleh mencetuskan bantahan politik di Thailand.

Projek itu juga dijangka bergantung kepada konsortium swasta melibatkan syarikat perkapalan, pengendali pelabuhan, institusi kewangan dan pemaju hartanah.

Menurut Dr Jiraroth, kerajaan hanya akan memainkan peranan sebagai penyelaras dan pengawal selia.

“Ia mesti melibatkan konsortium yang besar dan kukuh,” katanya.

Rancangan koridor darat Thailand sebenarnya bukan idea baharu.

Cadangan seumpama itu pernah diketengahkan sejak sekitar 2020 dan beberapa kali sebelum itu, tetapi gagal diteruskan akibat perubahan dasar serta kekurangan sokongan pelaburan.

Berbeza dengan rancangan terdahulu, projek terkini tidak lagi menumpukan industri petrokimia dan penapisan minyak, sebaliknya lebih tertumpu pada pelabuhan, rel dan industri ringan.

Penyelidik bebas Thailand, Dr Wipawadee Panyangnoi, berkata konsep projek itu sebenarnya tidak banyak berubah.

“Apa yang berubah hanyalah cara ia dipasarkan kepada orang ramai,” katanya.

“Dahulu mereka secara terbuka menyebut mengenai pembangunan kawasan industri dan petrokimia, yang mendapat tentangan masyarakat.

“Kini projek ini dipersembahkan sebagai prasarana pengangkutan dan logistik kerana pendekatan itu lebih mudah diterima orang ramai,” katanya.

Walaupun kerajaan Thailand melihat projek itu sebagai peluang strategik besar, tentangan penduduk tempatan terus meningkat.

Di daerah subur Phato yang terkenal dengan ladang durian dan kopi, ramai penduduk mempersoalkan keperluan pembangunan berskala besar tersebut.

Usahawan kopi tempatan, Encik Chalermchart Seekhiao, berkata ekonomi tempatan sudah berkembang tanpa memerlukan projek mega.

“Industri durian di kampung saya sahaja menjana sekitar 10 bilion baht ($394,000) setahun tanpa perlu membina apa-apa projek baharu,” katanya.

“Orang ramai perlu faham, ini bukan tanah kosong,” katanya.

Projek itu turut menerima tamparan selepas pihak pengawal selia Thailand mengarahkan penilaian baharu kesan pada alam sekitar dan kesihatan dijalankan susulan perbezaan besar data mengenai kepadatan hidupan marin berhampiran kawasan pelabuhan yang dicadangkan.

Sebuah panel yang dilantik kerajaan kini menyemak semula projek tersebut dan dijangka menyerahkan laporan sebelum akhir Julai. – Agensi berita.