Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Thailand, Kemboja bawa diplomat asing tinjau kerosakan di sempadan

Aug 1, 2025 | 12:36 PM
gencatan senjata Thailand-Kemboja
Atase tentera asing dari negara kuasa besar dan anggota Asean, bersama diplomat dari negara lain dan anggota tentera Thailand, menaiki pesawat tentera di Pangkalan Udara Sayap 6 Tentera Udara Diraja Thailand. Ia dirakam sebelum mereka sebelum berlepas bagi menjalankan tinjauan ke sempadan Thailand-Kemboja di wilayah Ubon Ratchathani dan Si Sa Ket, susulan perjanjian gencatan senjata antara Kemboja dengan Thailand, di Bangkok, pada 1 Ogos. - Foto REUTERS

BANGKOK: Thailand dan Kemboja secara berasingan menganjurkan lawatan ke kawasan sempadan untuk diplomat asing pada 1 Ogos bagi menunjukkan kesan pertempuran hampir seminggu yang berlaku di antara kedua-dua negara.

Lawatan itu dilihat sebagai usaha masing-masing untuk memaparkan versi kerosakan yang berlaku, di tengah-tengah suasana yang masih tegang meskipun terdapat perjanjian gencatan senjata.

Kementerian Luar Thailand memaklumkan bahawa lawatan pada 1 Ogos itu melibatkan atase tentera dari 23 negara, duta besar asing, wakil kedutaan dan lebih 200 wartawan tempatan dan antarabangsa.

Mereka dibawa meninjau kawasan yang terjejas di wilayah Si Sa Ket, termasuk sebuah stesen minyak dan kedai serbaneka yang didakwa menjadi sasaran serangan roket oleh tentera Kemboja.

“Tujuan utama lawatan ini adalah untuk menunjukkan kemusnahan ke atas prasarana awam termasuk sekolah, hospital dan kediaman orang awam yang menurut kami berpunca daripada tindakan agresif pihak Kemboja,” kata jurucakap Tentera Diraja Thailand dalam taklimat kepada media.

Menurut Tentera Diraja Thailand (RTA), serangan tersebut mengorbankan lapan orang awam Thai termasuk seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun dan mencederakan sekurang-kurangnya 10 orang lain.

Delegasi turut dibawa melawat Sekolah Phum Charon Witthaya dan Hospital Promosi Kesihatan Ban Chameng di daerah Sao Thong Chai, yang mengalami kerosakan teruk.

Lawatan kemudian berakhir di Kolej Teknikal Kantharalak, tempat perlindungan sementara bagi lebih 100,000 penduduk yang dipindahkan akibat pertempuran.

Meskipun jelas mahu menunjukkan kesan kepada rakyat dan prasarana, Thailand menegaskan mereka tidak akan memutarbelitkan fakta atau menuding jari kepada Kemboja secara terbuka.

“Kami tidak akan memanipulasi maklumat atau menuduh Kemboja seperti yang didakwa mereka lakukan terhadap Thailand.

“Apa yang kami paparkan adalah berdasarkan fakta dan pemerhatian langsung,” kata jurucakap Kementerian Luar Thailand, sambil menambah bahawa keselamatan delegasi menjadi keutamaan.

Lawatan serupa turut diadakan pada 30 Julai dan dihadiri diplomat dari 13 negara termasuk Amerika Syarikat dan China.

Usaha itu bertujuan membolehkan masyarakat antarabangsa menilai sendiri tahap kemusnahan yang berlaku.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet, mengesahkan tenteranya sedang berhubung dengan pihak Thailand untuk memulangkan sekitar 20 anggota tentera yang telah ditahan semasa pertempuran.

“Saya berharap Tentera Thailand akan memulangkan semua anggota kami yang kini berada dalam tahanan mereka secepat mungkin,” kata Encik Hun Manet, dalam satu kenyataan rasmi.

Menteri Luar Thailand, Encik Maris Sagniampongsa, mengesahkan semua tahanan tentera Kemboja berada dalam keadaan baik dan akan dihantar pulang setelah dinilai tidak lagi menjadi ancaman keselamatan.

“Keselamatan adalah keutamaan kami. Pemulangan mereka akan ditentukan oleh pihak keselamatan dan hanya apabila kami yakin keadaan terkawal,” katanya.

Pertempuran sengit di sempadan Thailand-Kemboja meletus pada 24 Julai selepas kejadian letupan periuk api yang mencederakan lima anggota tentera Thai.

Ketegangan telah meningkat sejak Mei, susulan kematian seorang askar Kemboja dalam kejadian yang mencetuskan krisis diplomatik.

Pada 28 Julai, Encik Hun Manet dan pemangku Perdana Menteri Thailand, Encik Phumtham Wechayachai, bersetuju menghentikan pertempuran secara tanpa syarat.

Rundingan damai itu dihoskan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Pengerusi Asean.

“Gencatan senjata ini adalah langkah penting pertama ke arah meredakan ketegangan dan memulihkan keamanan serta kestabilan di rantau ini,” kata Datuk Anwar dalam kenyataan selepas pertemuan.

Gencatan senjata itu juga dilaporkan disokong oleh tekanan dari Washington, apabila Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, memberi amaran bahawa perjanjian perdagangan baharu dengan kedua-dua negara tidak akan diteruskan jika konflik berlarutan.

Namun begitu, kedua-dua negara masih saling menyalahkan.

Thailand menuduh Kemboja melancarkan serangan baru pada 29 dan 30 Julai, selepas perjanjian gencatan kuasa berkuat kuasa.

Sebaliknya, Mejar Jeneral Chan Sopheaktra, dari wilayah Preah Vihear, Kemboja, mendakwa tenteranya mematuhi perjanjian gencatan senjata dan menuduh pihak Thailand pula melanggar perjanjian itu sebanyak dua kali.

Buat masa ini, keadaan di sempadan dilaporkan lebih tenang, tetapi pihak berkuasa di wilayah Surin di Thailand masih menasihatkan penduduk yang dipindahkan agar tidak kembali ke rumah, sementara operasi mencari bahan letupan yang belum meledak masih diteruskan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg